Oleh Chiew Anak Serit
16 Februari 2023, 10:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Bersempena dengan sambutan Ulang Tahun ke-60 Sarawak Merdeka dalam Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Badan Keluarga DBPCS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), telah menganjurkan Sayembara Pidato Perpaduan Peringkat Negeri Sarawak 2023, di Balai Budaya, DBPCS pada 13 Februari hingga 14 Februari. Sayembara ini bertemakan perpaduan dalam usaha menerapkan nilai serta memupuk semangat bersatu padu yang utuh dalam kalangan masyarakat majmuk di Sarawak.

Antara objektif penganjuran sayembara ini adalah untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat pelbagai kaum akan kepentingan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan, memperluas dan memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dan mencungkil bakat baharu dalam bidang pidato dalam kalangan masyarakat di Sarawak. Oleh itu, sayembara seumpama ini amat penting diadakan bagi melahirkan generasi yang berhemah dan petah ketika berucap di khalayak ramai dengan menggunakan bahasa Melayu secara fasih, formal dan lancar.

Johan Kategori Sekolah Menengah, Nor Arissya Yackub menerima hadiah daripada Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS).

Sayembara ini dibahagikan kepada tiga kategori, iaitu Kategori Umum, Institut Pengajian Tinggi dan Sekolah Menengah. Bagi Kategori Sekolah Menengah, johan dimenangi oleh Nor Arissya Yackub (Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah), dengan hadiah wang tunai RM500.00. Naib johan pula dimenangi oleh Aimuni Bunsu (SMK Agama Matang 2) dengan hadiah wang tunai RM400.00, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nathan Lu Jun Xi (Sekolah Menengah Chung Hua No. 1) dengan membawa pulang wang tunai RM300.00.

Pemenang Kategori Institut Pengajian Tinggi merakamkan foto bersama-sama tetamu kehormat.

bagi Kategori Institut Pengajian Tinggi pula, johan dimenangi oleh Aedryana Lata George (Universiti Institut Teknologi MARA) dengan hadiah wang tunai RM800.00. Naib johan dimenangi oleh Dylan Jelai (Universiti Institut Teknologi MARA) dengan wang tunai RM600.00, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Yvea Grace Litad Kajan (Politeknik Kuching) dengan membawa pulang wang tunai RM400.00.

Johan Kategori Umum, Nur Hasziana Hassim, menerima hadiah daripada Yang Berhormat Datuk Abdullah Haji Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS).

Bagi Kategori Umum, johan diungguli oleh Nur Hasziana Hassim (Kementerian Kesihatan Awam), dengan menggondol hadiah wang tunai RM1000.00, manakala naib johan disandang oleh Zakia Setu (Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak) yang menerima wang tunai RM600.00, dan tempat ketiga dimenangi oleh Ayuni Hazirah Daniel Liting (Universiti Malaysia Sarawak) dengan membawa pulang wang tunai RM500.00. Selain memenangi hadiah wang tunai, kesemua pemenang bagi ketiga-tiga kategori turut membawa pulang watikah pengiktirafan dan buku terbitan DBP.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS). Antara lain dalam ucapannya, Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol turut berkeyakinan bahawa program yang dianjurkan oleh DBPCS berupaya melahirkan bakat baharu dan menghasilkan karya bermutu dengan daya diri, daya saing dan daya sahsiah terutama perihal yang berkaitan dengan Sarawak, yang akan lebih banyak didokumentasikan. Menerusi program tersebut, beliau berharap agar bakat yang dimiliki oleh para pemenang dalam sayembara pidato perpaduan akan dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi.

Sebelum itu, Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBPCS, dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa DBPCS menyambut dengan penuh keyakinan dan kesungguhan untuk mengadakan Sayembara Pidato Perpaduan ini. Beliau menambah bahawa DBP sudah sekian lama memperlihatkan bahasa Melayu sebagai wahana perpaduan yang paling rasional, ampuh dan signifikan untuk sebuah masyarakat majmuk seperti Sarawak.

Yang hadir sama dalam majlis penyampaian hadiah sayembara tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli (Ketua Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak), Puan Noor Seela Noor Sulaiman (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak) dan Encik Chuah Kee Man (Pensayarah Kanan, Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Malaysia Sarawak).

Peserta Kategori Institut Pengajian Tinggi memakai pakaian tradisional etnik masing-masing.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.