Oleh Chiew Anak Serit
17 Februari 2023, 09:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Program Syarahan Hari Pejuang Bahasa 152 (2023) telah berlangsung dengan jayanya di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS). Syarahan tahunan itu dianjurkan oleh DBPCS dengan kerjasama Badan Keluarga DBPCS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Syarahan ini merupakan satu daripada kaedah yang telah diambil oleh DBPCS sebagai usaha yang berkesan dalam memupuk semangat mencintai bahasa kebangsaan di Sarawak, dengan menampilkan tokoh bahasa untuk berkongsi ilmu dan pengalaman khususnya dalam bidang kebahasaan.

Encik Chuah Kee Man, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, berkongsi ilmu dan pengalaman dengan para hadirin. (Foto: Norfazrie Isquandy Nurol)

Dalam syarahannya, Encik Chuah Kee Man, Pensyarah Kanan di Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak, telah menggariskan tiga cabaran dalam menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dalam era digital, iaitu keleluasaan media sosial, kepesatan aplikasi dan teknologi kecerdasan buatan, dan kecelaruan konsep kenegaraan. Selain itu, beliau turut menyatakan peluang yang boleh diambil daripada kemajuan teknologi digital dalam usaha melestarikan bahasa Melayu sebagai alat penyatuan di Sarawak yang mempunyai lebih daripada 40 etnik.

Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol turut berucap dalam program ini.(Foto: Norfazrie Isquandy Nurol)

Sementara itu, menurut Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), majlis ini sesungguhnya amat bermakna dalam memperluas peranan dan wibawa bahasa, sastera dan persuratan untuk memperkukuh perpaduan pelbagai kaum di Sarawak.

Tambah beliau, soal kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh dinafikan dalam memperkasakan dan memelihara bahasa dan sastera untuk perpaduan supaya generasi akan datang mengetahui, menghargai dan seterusnya menyedari akan realiti tentang keunikan, kebudayaan dan kepelbagaian kaum di Sarawak.

Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak. (Foto oleh Norfazrie Isquandy Nurol)

Sebelum itu, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS, dalam ucapannya menyatakan bahawa idea baharu, pandangan yang segar dan pendapat berwibawa dalam mencanangkan bahasa Melayu sebagai alat perpaduan sudah tentu akan membuka jendela fikir untuk melipatgandakan usaha yang bersesuaian dan selaras dengan perkembangan semasa.

Beliau menambah, menyedari akan hakikat ini, DBPCS telah merancang kegiatan kebahasaan, kesusasteraan, penerbitan korporat dan budaya belajar sepanjang hayat menerusi pelbagai program yang akan dilaksanakan pada tahun ini bersama-sama rakan-rakan sinergi DBPCS.

Yang turut hadir dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Japri Bujang Masli (Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak) dan Puan Noor Seela Noor Sulaiman (Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Sarawak).

Yang Berhormat Datuk Abdullah Saidol menyampaikan cenderamata kepada Encik Chuah Kee Man. (Foto: Norfazrie Isquandy Nurol)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.