21 Februari 2023, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu –Bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Ke-23 Bandaraya Kota Kinabalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu telah menganjurkan program Bicara Bahasa yang bertajuk “Antara Jati Diri dengan Citra Tempatan”. Program ini berkonsepkan forum yang melibatkan perbincangan serta pertukaran pandangan dan pengalaman tentang pemerkasaan bahasa kebangsaan oleh DBP dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), khususnya di Sabah.

Para peserta tekun mendengar taklimat yang sedang berlangsung.

Tiga orang ahli panel telah diundang bagi mengupas isu ini, iaitu Tuan Lifred Wong, (Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Kewangan), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu), Encik Mahathir Abd. Hamid (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Korporat, Perbadanan Labuan) dan Encik Abd. Karim A. Bakar (Munsyi Bahasa DBP). Encik Nadin Saleh (mantan Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sabah) pula telah bertindak sebagai moderator bagi sesi forum ini.

Sesi Forum Bicara Bahasa “Antara Jati Diri dengan Citra Tempatan”.

Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, iaitu Puan Junainah Abbie yang mewakili Mayor Bandaraya Kota Kinabalu telah merasmikan program ini. Menurut beliau, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu sentiasa memberikan sokongan penuh terhadap usaha membentuk sikap positif terhadap bahasa kebangsaan dan peluasan penggunaannya dalam semua sektor, khususnya pada paparan di tempat awam.

Sementara itu, Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sabah pula menjelaskan bahawa penganjuran program ini membuktikan iltizam DBP untuk terus memperkasakan dan memartabatkan bahasa kebangsaan negara ini selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, serta tuntutan yang dicatatkan dalam wasiat Raja-raja Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 yang berbunyi, “Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu”. Seiring dengan perlembagaan tersebut, bahasa Melayu seharusnya digunakan dalam pelbagai konteks, lebih-lebih lagi dalam urusan rasmi.

Penyampaian cenderamata oleh Puan Aminah Awang Basar kepada Puan Junainah Abbie.

Program ini telah dihadiri oleh para peserta dari PBT seluruh negeri Sabah. Yang turut serta dalam program ini ialah delegasi dari Brunei Darussalam, yang diketuai oleh Yang Mulia Tuan Haji Awang Shuib Haji Abdul Wahab (Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei Darussalam). Sebelum sesi forum berlangsung, DBP Cawangan Sabah turut mengadakan program Jaguh Jawi, dengan mengedarkan soalan yang berkaitan dengan tulisan Jawi sebagai satu landasan meningkatkan kemahiran dalam tulisan Jawi dan seterusnya menyemarakkan penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.