25 Februari 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerjaya jurubahasa merupakan kerjaya yang semakin berkembang pada masa ini terutamanya sejak negara dilanda pandemik COVID-19. Walaupun jarang-jarang sekali kerjaya profesional terutamanya dalam bidang bahasa bermula daripada platform pertandingan namun Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) buat julung-julung kalinya menganjurkan pertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke-30 pada tahun ini. Sehubungan dengan itu, satu sesi borak santai telah diadakan oleh pihak ITBM yang menampilkan dua ahli orang panel bagi mengupas lebih lanjut berkaitan dengan pertandingan ini.

Jurubahasa Profesional ITBM, Dr. Noorazrin Zakaria berkata, beliau tertarik dengan kerjaya sebagai jurubahasa kerana perlu menggunakan kapasiti berfikir hampir semaksimum mungkin.

Jurubahasa juga perlu memahirkan diri dalam tempoh masa yang singkat dan jika tidak pun, mereka perlu memahami kandungan bahan yang perlu diterjemahkan.

Menurut beliau, antara persediaan yang perlu ada bagi perantis dan pelapis jurubahasa ialah menambah kosa kata dan melatih diri mereka dengan kemahiran menterjemah sama ada kemahiran kejurubahasaan secara serentak mahu pun berturutan.

Pada peringkat awal, antara cabaran yang dihadapi termasuklah serangan panik dan kebuntuan mental terutama sekali apabila menjadi jurubahasa di mahkamah yang melibatkan kes perbicaraan jenayah berat.

Beliau juga berharap supaya bakal peserta boleh mengambil cabaran yang ada kerana kerjaya sebagai jurubahasa ialah kerjaya yang mencabar tetapi sangat menggembirakan.

Sementara itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan ITBM, Encik Nor Azanizan Anwar pula berkata, Pertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa Berturutan yang diadakan oleh pihak ITBM ini adalah untuk meramaikan jurubahasa dalam negara kita selain memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa jurubahasa merupakan satu bidang kerjaya yang boleh diceburi.

Melalui pertandingan ini, kita tidak hanya melihat dari segi kefasihan berbahasa bahkan dari aspek profesionalisme, etika dan pemakaian bahasa yang bersesuaian. Walau bagaimanapun, kriteria yang paling penting semestinya ialah kebolehan berbahasa dan berdisiplin kerana apabila dikatakan profesional, banyak yang perlu dlihat seperti tingkah laku, disiplin dan presentable.

Tambahnya, kemahiran berbahasa yang dimiliki oleh seseorang juga sebenarnya boleh menjadi nilai tambah tetapi segelintir masyarakat tidak melihat kebolehan ini sebagai ruang dan peluang tetapi hanya sekadar memudahkan komunikasi.

Jurubahasa di luar sana boleh berdaftar dengan ITBM kerana pihak ITBM juga menyediakan platform kepada mereka untuk menjadi jurubahasa sambilan bagi melakukan kerja-kerja terjemahan bagi pihaknya.

Ahli panel dan moderator ketika bersiaran dalam program Borak Santai ITBM baru-baru ini.

Pertandingan Mencungkil Bakat Perantis Jurubahasa oleh pihak ITBM ini akan bermula pada 1 Mac 2023 hingga 30 April 2023 dan pelbagai hadiah menarik ditawarkan bagi para pemenang. Bagi sesiapa yang berminat, bolehlah melayari segala bentuk platform media sosial ITBM bagi mengetahui dengan lebih lanjut tentang syarat penyertaan dan maklumat lain. Pihak ITBM juga akan menyediakan satu sesi taklimat ringkas sebelum pertandingan ini bermula.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.