3 Mac 2023, 17:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Program Bicara Ilmu “Struktur Warkah Perjanjian Melayu Lama Abad ke-19” anjuran Muzium Warisan Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) menarik minat khalayak di luar jangkaan yang terdiri daripada generasi baharu negara.

Pada awalnya, program ini menyasarkan 100 peserta sahaja. Namun begitu, jumlah penyertaannya mencecah hampir sekali ganda daripada sasaran asal dengan fokus audiens yang tidak berganjak.

Dr. Azhar (kanan) ketika program Bicara Ilmu “Struktur Warkah Perjanjian Melayu Lama Abad ke-19” anjuran Muzium Warisan Melayu, FBMK, UPM.

Bicara ilmu tersebut telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Dr. Azhar Md Sabil secara hibrid di Muzium Warisan Melayu UPM, dan dikendalikan oleh Dr. Sharil Nizam Sha’ri, Pensyarah Kanan, UPM, sebagai moderator.

Yang menariknya, program ini dimulakan dengan surah an-Nahl, ayat 92, iaitu berhubung dengan keutamaan memelihara perjanjian.

Dan janganlah kamu seperti perempuan yang menguraikan benang yang sudah kukuh dipintalnya sehingga tercerai-berai kembali – dengan menjadikan perjanjian sebagai alat penipuan antara kamu disebabkan adanya golongan yang lebih ramai berbanding dengan golongan yang lain. Sesungguhnya Allah mahu menguji kamu dengan hal demikian dan pasti akan dijelaskan kepada kamu pada hari kiamat berkenaan apa yang kamu perselisihkan”.

Dr. Azhar juga mengajak para peserta untuk menghargai warkah lama sebagai khazanah bangsa lantaran kesemuanya mewakili ketertinggian intelektual, sosiopolitik, dan sempadan geografi masyarakat secara tersirat dan tersurat selama ratusan tahun.

Misalnya, kesemua warkah perjanjian pada abad ke-19 memiliki struktur yang agak moden dan kandungannya lebih berfokus berbanding dengan kurun sebelum itu.

Beliau turut memetik pandangan Sasterawan Negara Muhammad Hj. Salleh pada tahun 2000, iaitu “Daya keintelektualan pengarang Melayu ketika itu kian berkembang serta mampu mengungkapkan gambaran sebenar amalan dan budaya masyarakat pada zaman tersebut”.

Selanjutnya, beliau juga menjelaskan bahawa terdapat dua kategori utama warkah abad ke-19. Kategori pertama ialah Perjanjian Diplomatik dan Pemerintahan, yang melibatkan persefahaman, persetiaan, pelantikan, perisytiharan, pengurusan, notis tawaran, dan surat kuasa. Kategori kedua pula ialah Perjanjian Sosial, yang merangkumi hutang piutang, pajakan, kontrak, wasiat, surat sumpah, ikatan pertunangan, dan ikrar pernikahan.

Meskipun berbeza, setiap warkah abad ke-19 memiliki lima struktur asas yang sama, iaitu kesemuanya kepala surat, kandungan, penutup, cap dan tandatangan. Peranan kepala surat itu menurut sarjana di British Library, Annabel T. Gallop adalah bertujuan untuk menentukan darjat dan pangkat bagi pengirim dan penerimanya.

Walau bagaimanapun, amalan menandatangani perjanjian hanya menjadi kelaziman bagi warkah abad ke-19 sahaja. Hal ini menurut Annabel T. Gallop bukanlah tradisi orang Melayu.

Contoh cap mohor warkah Melayu lama yang mewakili kekuasaan dan ketulenan sesebuah warkah.

Beberapa warkah yang masih terpelihara ditampilkan kepada para peserta. Tambah menarik apabila sejumlah besar peserta generasi baharu boleh membaca tulisan Jawi lama pada warkah tersebut dengan amat fasih. Hal ini sekali gus meringankan kegusaran sesetengah pihak yang berasa bimbang akan tahap keprihatinan generasi baharu terhadap artifak pensejarahan bangsa Malaysia.

Antara yang dipaparkan termasuklah Perjanjian Pangkor, 1874; Wasiat Yang Dipertuan Muda Raja Ali, 1856; Surat Hutang Orang Bugis, 1858; dan Notis Tawaran Penangkapan Dol Said, 1832.

Program tersebut dinaungi oleh Naib Canselor UPM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman, bersama-sama barisan penasihat yang diketuai oleh Dekan, Prof. Madya Dr. Hazlina Halim, dan dijayakan oleh Penyelaras Muzium Melayu UPM, Dr. Halis Azhan Md. Hanafiah. Rakaman Bicara Ilmu yang dianjurkan secara percuma itu boleh diakses menerusi laman https://www.facebook.com/MuziumWarisanMelayu/videos/169582068759443

Antara peserta program yang hadir di FBMK, UPM baru-baru ini.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.