8 Mac 2023, 13:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serian –Bagi merealisasikan manifestasi program yang terkandung dalam AGENDA 2023, tiga unit di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, iaitu Unit Pemasaran dan Pengedaran, Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) dan Unit Pembinaan dan Penyelidikan telah mengorak langkah dengan menerima jemputan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Triang, Serian, Sarawak, untuk mengadakan program Pameran dan Jualan Buku terbitan DBP baru-baru ini.

Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk mempromosikan bahan terbitan DBP kepada khalayak umum terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah melalui program “Bersahabat dengan Kamus”, menyediakan kegiatan yang mampu memanfaatkan buku dan majalah DBP sebagai satu wahana memupuk, mendidik dan menyemai ilmu pengetahuan para pelajar terutamanya di luar bandar serta menarik minat para pelajar untuk mengetahui dengan lebih lanjut cara menggunakan perkhidmatan DBP.

Program ini bermula dengan sesi pendaftaran oleh para pelajar dari Tahun Satu hingga Tahun Enam. Kemudian, disusuli dengan sesi pengenalan “Bersahabat dengan Kamus”, yang disampaikan oleh Puan Coretta Herliana Kura dari Unit Pembinaan dan Penyelidikan Bahasa.

Selain daripada jualan buku, pameran dan kuiz bahasa yang dikelolakan oleh Puan Fatin Nabilah Nor Ekhsan dari PDM, turut diadakan bagi menarik minat para pelajar untuk belajar sambil bermain kuiz secara digital dalam mendalami penggunaan bahasa Melayu dengan betul.  Antara bahan pameran tersebut termasuklah aplikasi dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh DBP seperti Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), JendelaDBP, Portal e-Borneo dan Gerbang Kata.

Sesi penerangan program “Bersahabat dengan Kamus” oleh Puan Coretta Herliana Kura.
Kuiz Bahasa Melayu secara digital dikelolakan oleh Puan Fatin Nabilah Nor Ekhsan.

Terdahulu, Encik Janie Limin (Guru Besar SK Triang) dan Puan Nurul Qamarina Dais (Guru Perpustakaan dan Media SK Triang), menzahirkan penghargaan kepada DBP Cawangan Sarawak kerana sudi memenuhi jemputan pihak sekolah untuk mengadakan pameran dan jualan di sekolah tersebut.

Encik Janie Limin menambah, kehadiran pihak DBP secara tidak langsung dapat membantu para pelajar, guru serta ibu bapa di kawasan pedalaman di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) N.22 Kedup membeli buku dan majalah tanpa perlu pergi ke bandar yang jauh perjalanannya.

Tambah beliau lagi, aktiviti kebahasaan yang diadakan bersempena dengan program tersebut berupaya menambah minat pelajar mendalami serta memantapkan penggunaan bahasa Melayu dengan betul. Antara buku yang mendapat sambutan hangat di gerai jualan dalam program tersebut termasuklah Tatabahasa Dewan Edisi Sekolah Rendah, buku kanak-kanak dan buku cerita.

Guru Besar SK Triang, Encik Janie Limin bersama-sama warga sekolah tidak melepaskan peluang melawat ruang jualan buku.
Encik Janie Limin (dua dari kiri) menerima cenderamata daripada Puan Veronica Kueh dari Unit Pemasaran dan Pengedaran, DBP Cawangan Sarawak.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.