10 Mac 2023, 18:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Majlis penyerahan buku Kerangka Standard Bahasa Melayu telah diadakan pada pukul 10.00 pagi tadi di Akademi DBP, Wisma DBP, yang mempertemukan tiga pihak, iaitu Institut Perguruan Malaysia (IPGM), Institut Perguruan Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Buku tersebut diserahkan oleh Rektor IPGM, iaitu YBrs. Dr. Rosli Yacob kepada Ketua Pengarah DBP, iaitu Dr. Hazami Jahari sebagai simbolik bahawa DBP sebagai institusi yang memartabatkan bahasa Melayu bertanggungjawab untuk memperluas, mengembangkan dan menyebarkan penggunaan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) dalam semua bidang seperti pendidikan, perkhidmatan, pekerjaan di Malaysia dan seterusnya ke peringkat antarabangsa. Pengukuran ini meliputi penutur jati bahasa Melayu dan juga kepada warga asing yang mempelajari bahasa Melayu.

KSBM merupakan rujukan penting kerana dokumen ini merupakan rujukan bagi menentukan tahap kompetensi berbahasa Melayu, mengawal kualiti bahasa pengguna bahasa Melayu dan menyetarakan standard kompetensi bahasa Melayu.  Bagi memastikan penyebaran dan penggunaan KSBM ini, DBP telah dipertanggungjawabkan sebagai sekretariat KSBM melalui Jawatankuasa Penarafan KSBM (JPKSBM), yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP.

Majlis penyerahan buku ini turut dihadiri oleh Dr. Zanariah Ibrahim (Ketua Penolong Pengarah IPGM), Puan Nor Asilah Othman (Pengarah IPGKBM), serta panel JPKSBM, iaitu Tuan Haji Md. Johari Hasan (Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP selaku Pengerusi JPKSBM), Dr. Wan Norlidza Wan Mohd. Zain (IPGKBM), Prof. Madya Dr. Karim Harun (Universiti Kebangsaan Malaysia), Dr. Mazlan Ismail (BPK), Dr. Azhar Md. Sabil (Universiti Putra Malaysia), Tuan Haji Khaidir Othman (Lembaga Peperiksaan Malaysia), dan Encik Khairulanuar Ismail, (IPG Kampus Ipoh). Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Akademi DBP, Dr. Haji Santrol Abdullah, serta pegawai Akademi DBP, selaku urus setia.

Ketua Pengarah DBP dalam ucapan penutupannya semasa Majlis Penyerahan KSBM berkata bahawa KSBM akan menjadi agenda utama dalam Pelan Pemerkasaan Bahasa Melayu oleh DBP dan akan mewujudkan unit khusus di DBP dalam menyelaraskan hala tuju dan pengoperasian KSBM. Majlis Penyerahan ini juga disusuli dengan Mesyuarat Sekretariat JPKSBM bagi menyelaraskan hal pengoperasian KSBM di bawah JPKSBM.

Untuk rekod, usaha untuk mewujudkan kerangka rujukan standard berbahasa Melayu ini telah diterjemahkan melalui pembangunan KSBM yang bermula pada tahun 2016 oleh sekumpulan panel yang mempunyai kepakaran dalam bahasa Melayu. Penguasaan berbahasa Melayu rakyat Malaysia perlu diukur melalui suatu mekanisme untuk melihat tahap kecekapan dan kemahiran mereka dalam menggunakan bahasa Melayu. Kemahiran ini meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. 

Usaha pembangunan ini berterusan sehinggalah pembentangan KSBM kepada Lembaga Pengelola DBP pada tahun 2021 dan telah diperakukan sebagai rujukan standard kompetensi bahasa Melayu. Bermula daripada perakuan tersebut, KSBM telah digunakan sebagai rujukan kurikulum, pentaksiran dan modul di Kementerian Pendidikan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.