Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur ̶ BORPIKA merupakan akronim daripada Borang Rangka Persembahan Isi Karangan, yang membantu pelajar berfikir untuk menghuraikan isi karangan. Teknik ini dicipta dan dihasilkan oleh Encik Nawi Ismail atau lebih dikenali dengan nama Cikgu Nawi, seorang penulis yang juga pesara guru dan Munsyi Dewan.
Teknik BORPIKA oleh Cikgu Nawi tersebut digabungkan dalam sebuah buku yang berjudul Teknik BORPIKA: Panduan Penulisan Karangan, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
Sehubungan dengan itu, Rancangan Bicara Karyawan pada kali ini menjemput Cikgu Nawi Ismail untuk membicarakan buku ini yang berlangsung di Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada 20 Mac 2023, yang bersiaran pada pukul 10.00 pagi.
Buku ini merupakan bimbingan dan panduan khusus pembelajaran karangan bagi pelajar peringkat Sijil Pelajaran Malaysia yang berpandukan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP).
Menurut Cikgu Nawi, melalui karangan pelajar, guru dapat menilai sama ada pelajar tersebut bermaklumat atau sebaliknya.
Karangan pelajar dapat mencirikan keperibadian pelajar.
Tambah beliau, hasil pembacaan yang banyak dapat membantu pelajar meningkatkkan pengetahuan umum, menambah maklumat baharu, menambah kosa kata, dan mengetahui gaya bahasa yang betul.
Bagi guru dan pelajar yang sudah mempunyai kaedah tersendiri yang membantu dalam penghasilan karangan, kaedah itu perlu diteruskan. Walau bagaimanapun, bagi guru dan pelajar yang masih mencari atau mungkin ingin mencuba kaedah penulisan karangan yang baharu, bolehlah mendapatkan buku ini yang boleh dilayari menerusi DBPNiaga.my yang bermula pada April 2023.
Untuk rekod, buku ini mengandungi 16 bab yang merangkumi tiga tumpuan, iaitu aspek kepengarangan, kebahasaan dan penyuntingan.
Buku ini juga merupakan koleksi hasil tulisan Cikgu Nawi menerusi majalah Dewan Siswa dan contoh yang terdapat dalam buku ini juga sebenarnya hasil karangan dan pemikiran pelajar di sekolah.