8 April 2023, 10:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kejurubahasaan merupakan perbuatan menterjemahkan sesuatu bahasa kepada bahasa lain dengan lisan dan tulisan melalui kaedah secara serentak atau berturut-turut yang telah sekian lama dilakukan oleh manusia. Walau bagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi kini telah wujudnya Artificial Intelligence (AI) yang mampu melaksanakan tugasan tersebut.

Bagi mengupas lanjut tentang pengaruh dan impak AI terhadap kejurubahasaan, Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM) telah menjemput dua orang ahli panel untuk Program Wawancara Layar Putih ITBM pada 7 April 2023.

Jurubahasa Profesional ITBM, Encik Bashir Basalamah sebagai panel pertama membuka bicaranya dengan menyatakan bahawa AI dalam bidang penterjemahan sebenarnya telah lama wujud dan Google Translate diambil sebagai contohnya.

Semasa pra-COVID, sebenarnya sudah ada sistem daripada ucapan kepada teks dalam satu forum yang berlangsung di Shanghai. Jika diambil selangkah ke hadapan, berkemungkinan telah atau akan wujud interpretasi daripada sari kata atau teks kepada ucapan.

Beliau berkata, interpretasi bukan semata-mata perkataan tetapi membabitkan gerak tangan dan air muka dan tidak dapat dibayangkan bagaimana AI mampu menangkapnya dan menterjemahkannya dengan tepat sebagaimana yang dilakukan oleh manusia.

Tambahnya, AI sebenarnya akan terus berkembang tetapi sebenarnya agak sukar bagi AI menginterpretasikan gerak tangan dan air muka.

Cabaran jurubahasa untuk hilang pekerjaan bukan hanya disebabkan mesin seperti AI semata-mata tetapi oleh faktor lain seperti kurangnya peruntukan. Sebenarnya seorang jurubahasa tidak perlu khuatir kerana mesin akan membantu mengembangkan bidang jurubahasa.

Menurutnya lagi, teknologi ialah sahabat penterjemah dan jurubahasa dan seseorang itu perlu membuka minda serta bersedia mengikuti perkembangannya.

Sementara itu, ahli panel kedua yang juga Jurubahasa Profesional ITBM, Encik Ahmad Najib Ariffin pula mendefinisikan AI sebagai kecerdikan tiruan yang manusia masukkan kecerdikan mereka ke dalam mesin atau teknologi kerana mesin tidak mempunyai kecerdikan induknya sendiri.

Contoh yang paling mudah boleh dilihat adalah melalui terjemahan Google Translate yang ada kalanya boleh membuatkan kita tertawa apabila membaca terjemahannya kerana tidak mempunyai kecerdikan induk untuk menyesuaikan perkataan.

Tambah beliau, AI agak kurang sesuai digunakan untuk bidang dan perkara yang penting seperti undang-undang dan akademik.

Katanya lagi, AI juga masih belum memberikan sentuhan manusia kepada hasilnya terutamanya yang melibatkan simpati dan empati.

Menurut beliau, selagi ada orang yang boleh pelanggan harapkan, meraka akan menggunakan manusia tetapi jika tiada barulah mereka akan beralih kepada teknologi seperti AI kerana sebenarnya tiada mesin yang boleh menandingi otak manusia.

Ahli panel ketika bersiaran dalam Program Wawancara Layar Putih ITBM.

Program ini boleh ditonton secara dalam talian melalui laman media sosial Facebook ITBM, https://www.facebook.com/rakanITBM/videos/5866114596847457.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.