11 April 2023, 14:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Sesuatu penulisan dalam bahasa Melayu terutamanya yang berbentuk digital mampu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kerana cirinya yang boleh diakses tanpa sempadan. Dalam usaha untuk menyebarluaskan peluang dan ruang penulisan yang ada kepada masyarakat, Institut Aminuddin Baki (IAB) Cawangan Sarawak dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menganjurkan wacana bahasa yang bertajuk “Jendela DBP: Ingin Menulis Makalah Popular?” pada pukul 9.30 pagi tadi bersama-sama dua orang tetamu undangan, iaitu Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dan Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar. Moderator wacana ialah YBrs. Dr. Haji Aswandi Haji Laman, iaitu Ketua Jabatan Kepimpinan Bahasa dan Komunikasi  (JKBK), IAB Cawangan Sarawak.

Pengarah IAB Cawangan Sarawak, Tuan Haji Edmund Shah Thambi dalam ucapan alu-aluannya berkata bahawa pihaknya sekali lagi mengundang pihak DBP untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan portal JendelaDBP pada tahun ini kerana sambutan yang diterima cukup menggalakkan daripada para pelayar pada tahun lepas.

Perkongsian ilmu daripada dua tetamu hebat yang diundang dalam wacana ini boleh membantu khalayak untuk lebih memahami cara menghasilkan karya yang boleh diterbitkan.

Tambahnya, ilmu yang diperoleh daripada wacana ini juga mampu meningkatkan kemahiran penulisan kreatif dan bukan kreatif para pelayar terutamanya dalam kalangan warga pendidik.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari dalam ucapannya berkata bahawa enam teras penubuhan DBP adalah untuk membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi serta memperkembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan bagi membina ketamadunan bangsa dan negara.

Tambahnya lagi, misi besar DBP adalah untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dengan kata keramatnya, “Bahasa Jiwa Bangsa”. Jelas beliau:

Pemerkasaan bahasa kebangsaan mesti dilaksanakan melalui institusi pendidikan dan pihaknya akan mempertingkatkan dan memperteguhkan lagi sinergi pelibatan dalam kalangan institusi KPM bagi memartabatkan bahasa kebangsaan.

Beliau turut berkata bahawa tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan guru bukan opsyen Bahasa Melayu adalah baik dari aspek kemahiran mendengar dan bertutur dan perlu dipertingkatkan dari aspek kemahiran menulis. Oleh itu, dalam usaha meningkatkan pengkaryaan, beliau mengajak guru menyerlahkan bakat mereka menerusi penulisan makalah popular kerana DBP menyediakan ruang dan peluang kepada masyarakat untuk melatih kemahiran menulis dalam pelbagai bidang melalui majalah bercetak dan portal JendelaDBP.

Mengakhiri bicaranya, YBhg. Dr. Hazami berkata bahawa pembentangan Belanjawan 2023 juga menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada DBP, Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) dan Yayasan Karyawan bagi meningkatkan bidang penerbitan yang bertujuan untuk memperkasakan bahasa kebangsaan dan memandaikan bangsa Malaysia khususnya dalam bidang politik dan falsafah.

Dalam perkongsian berkaitan dengan penulisan makalah popular, YBrs. Dr. Rosmani Omar berkata bahawa gagasan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPM) yang ingin melahirkan Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC) boleh direalisasikan melalui pembacaan.

Dalam konteks pendidikan, bahan bacaan perlu diperkasakan dengan menerbitkan bahan bacaan yang berkualiti dan sekurang-kurangnya satu peratus bahan bacaan perlu diterbitkan daripada jumlah penduduk di negara ini.

Katanya lagi, selain bahan penerbitan secara bercetak, DBP juga menyediakan bahan bacaan digital kepada khalayak masyarakat dengan pembangunan portal JendelaDBP pada tahun 2021.

Pembangunan JendelaDBP yang mengambil masa lebih kurang empat bulan adalah untuk menyebarluaskan bahan terbitan digital DBP kepada masyarakat agar bahasa Melayu dapat diantarabangsakan dan hingga kini portal ini telah diakses oleh hampir 30 juta pelayar dari 146 buah negara.

Tambahnya lagi, penerbitan secara digital membolehkan pihak DBP mengenal pasti jenis artikel atau makalah yang mendapat tempat di hati para pembaca melalui Google Analytics.

Beliau juga berkata bahawa empat buah majalah yang paling diminati oleh masyarakat di portal JendelaDBP ialah Dewan Masyarakat, Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Dewan Budaya.

Terdapat lapan jenis majalah digital yang ada di portal JendelaDBP berbanding dengan  11 majalah secara bercetak.

Dalam mengajak guru berkarya, beliau turut berkongsi lapan panduan untuk menghasilkan penulisan makalah popular yang baik, iaitu tajuk yang menarik, fakta yang jelas, maklumat yang padat, kandungan yang objektif, penyampaian idea secara langsung, garapan penulisan yang mudah difahami, penggunaan bahasa yang pelbagai seperti metafora dan perumpamaan serta kesimpulan yang menarik.

Tambahnya lagi, penulis juga perlu mengetahui sebab dan alasan penulisannya tidak terpilih untuk disiarkan agar boleh ditambah baik pada masa hadapan. Antara sebab sesuatu artikel itu ditolak kerana tidak mempunyai tema yang menarik, karya yang mengandungi unsur negatif, sensitif dan subversif, kandungan tidak berfokus dan terlalu banyak kesalahan bahasa, maklumat peribadi penulis tidak lengkap, karya dihantar dalam bentuk salinan fotokopi, karya yang dihantar pernah diterbitkan sama ada dalam bentuk bercetak ataupun elektronik dan perkara yang paling utama sekali ialah karya ciplak. Jelas beliau:

Bagi yang berminat untuk menghantar karya kepada pihak DBP, mereka perlu memastikan bahawa karya mereka ialah karya asli, ditulis dalam bahasa Melayu dan berbentuk penulisan majalah, karya tersebut tidak dihantar kepada penerbit lain dan perlu menyertakan butiran peribadi penulis bersama-sama karyanya.

Tambahnya, pihaknya akan menghubungi penulis jika ada antara karya yang dihantar telah melebihi tempoh yang ditetapkan telah dipilih untuk siaran kerana tempoh masa penilaian dan penerbitan sesuatu karya yang dihantar adalah dalam jangka masa enam bulan sahaja.

Dalam wacana tersebut juga, beliau memperincikan kandungan setiap majalah terbitan DBP agar para pelayar lebih memahami dan boleh mengenal pasti ruang yang boleh digunakan untuk mereka berkarya bersama-sama DBP.

Ketua Pengarah DBP, YBhg. Dr. Hazami Jahari ketika menyampaikan ucapan dalam wacana pada pagi tadi.

 

Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, Dr. Rosmani Omar ketika memperincikan kandungan setiap majalah terbitan DBP.

Menerusi wacana bahasa yang berlangsung selama dua jam menerusi media sosial, Pengarah IAB Cawangan Sarawak turut berharap agar khalayak dapat meneroka peluang bagi menerbitkan karya dan seterusnya menyemarakkan lagi semangat menulis serta menggilap bakat baharu dalam bidang penulisan.

Wacana bahasa tersebut dapat ditonton secara dalam talian melalui laman Youtube IAB Cawangan Sarawak di https://www.youtube.com/watch?v=bxWxSVpX8mk.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.