Oleh Rahimah Jais
27 Mei 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sabah – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Daerah Keningau dengan kerjasama Majlis Daerah Keningau pada 24 Mei hingga 26 Mei 2023.

Antara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di Daerah Keningau, khususnya pada papan tanda dan paparan awam seperti kain rentang, gegantung, poster dan brosur yang terdapat di taman rekreasi, bangunan kerajaan, sekolah, pusat beli-belah, hospital, taman perumahan, nama jalan dan sebagainya.

Selain itu, melalui pelaksanaan kajian ini, sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan mahupun bahasa sukuan di tempat awam dapat diketahui, selain mengusulkan saranan dan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan sebagai tindakan susulan untuk penambahbaikan bagi memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan yang selaras dengan Perkara 152 (I) yang menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu.

Menurut Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, Encik Mohd Fawzi Abdul Kadir menyatakan bahawa pihak mereka berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama untuk melaksanakan kajian ini bersama-sama agensi luar khususnya dengan DBP.

Selain itu, hasil dapatan kajian ini juga dapat menjadi garis panduan dan penambahbaikan bagi Majlis Daerah Keningau untuk membantu dan memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam pada masa hadapan.

Kajian rintis di Sabah telah dilaksanakan di Bandaraya Kota Kinabalu pada tahun 2022 dan pada tahun ini akan diteruskan ke daerah lain di Sabah bagi mengumpul data terkini tentang tahap penggunaan bahasa di tempat awam.

Puan Julianah Kuli menyampaikan cenderamata kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Keningau, iaitu Encik Mohd Fauzi Abdul Kadir.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.