Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMoto “Bangsa membaca, bangsa berjaya” menjadi trend tertinggi di media massa sejak belakangan ini, yang menjadi pemangkin kepada masyarakat Malaysia MADANI untuk mencari bahan bacaan yang berkualiti sebagai santapan minda dan rohani. Hal ini berkemungkinan besar ada kaitannya dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 edisi ke- 40 yang telah bermula dari 26 Mei 2023 dan akan berakhir pada 4 Jun 2023.
Bahang kemeriahan sambutan PABKL dapat dirasai seakan-akan menyambut perayaan penting dalam negara. Begitulah yang kita harapkan agar semangat mencintai buku terus dilestarikan. Warganet juga sangat aktif dengan perkongsian di media sosial masing-masing, yang sedikit banyak membantu mempromosikan PBAKL. Perkara yang baik ini perlu diraikan dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarluaskan program penting ini sebagai tanda sokongan padu.
Masyarakat Malaysia MADANI yang masih belum berkesempatan hadir perlu mengambil peluang keemasan ini dengan berpakat beramai-ramai ke PBAKL yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, sementelah musim cuti sekolah jatuh pada tarikh yang sama. Justeru itu, bagi ibu bapa yang tinggal berdekatan, janganlah pula menjadikan alasan kesesakan jalan raya sebagai punca utama untuk tidak membawa anak-anak ke PBAKL. Perkara yang penting ialah memesrakan anak-anak dengan persekitaran gedung ilmu yang menyediakan pelbagai genre bacaan dan bentuk penyampaian yang mengikut arus teknologi perdana.
Pembangunan kualiti insan perlu dibentuk sejak dari kecil bagi melahirkan generasi yang cintakan ilmu. Jika tidak dilentur sedari awal lagi agak sukar untuk mengubah sikap golongan ini di kemudian hari. Ibarat ikat boleh diubah, takuk bagaimana mengubahnya? yang membawa maksud; perangai yang sudah menjadi tabiat adalah sukar sekali untuk mengubahnya. Buluh yang keras juga sukar untuk dilenturkan jika tidak dari rebungnya lagi. Tindakan awal dan pantas daripada ibu bapa tidak akan mendatangkan kerugian malah membawa kemaslahatan dengan memacu kemajuan dalam arena keilmuan.
Saban tahun, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak pernah ketinggalan menyertai PBAKL sebagai institusi yang berpengaruh dalam memacu perkembangan bahasa dan sastera negara. Pada kali ini, DBP telah membuka gelanggang promosinya menerusi media sosial di BERNAMA Radio pada 25 Mei 2023. Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP diundang menerusi Segmen Cakna Bahasa bagi berkongsi pelbagai aktiviti yang dianggarkan sebanyak 25 aktiviti yang akan diadakan di reruai DBP, yang terletak di Dewan Tun Razak, Aras 3, dengan keluasan tapak sebanyak 20 buah reruai.
DBP sebagai penerbit unggul negara menawarkan potongan harga buku dan majalah secara berstruktur dan mampu milik yang disediakan kepada para pencinta buku. Potongan sebanyak 25 peratus untuk kamus dan judul terpilih, judul am sebanyak 30-50 peratus, majalah bulanan semasa sebanyak 30 peratus, majalah bukan bulan semasa sebanyak 50 peratus, set majalah lama yang dijual pada harga RM10 dan majalah eceran (lama) yang boleh didapati dengan hanya RM1.
Penawaran diskaun sebegini perlu digunakan sebaik-baiknya oleh pembeli daripada pelbagai lapisan terutamanya penyelidik bahasa untuk mendapatkan buku-buku yang dihasilkan oleh tokoh-tokoh bahasa bagi mendapat maklumat terkini ataupun berkenaan sejarah dan sistem dalam bahasa Melayu.
Pemakluman carta 10 teratas buku terlaris oleh DBP di Facebook rasminya juga dapat membantu pembeli yang akan bertandang ke reruai DBP untuk memilih buku-buku tersebut. Perkhidmatan kaunter jual beli DBP dan staf yang mesra pengguna akan memudahkan pembeli mencari buku yang dikehendaki dengan lebih mudah.
Secara dominasinya, penggunaan tema yang berwarna biru telah menyerlahkan reruai DBP dengan keluasan lantai yang agak besar dan selesa bagi setiap pengunjung yang ingin mencari buku kegemaran masing-masing di samping pentas utama yang sesuai bagi mengadakan pelbagai aktiviti bersama-sama pelanggan.
Antara aktiviti yang menjadi keutamaan DBP termasuklah bual bicara karya, pelancaran buku dan sesi bersama-sama penulis bagi memperkenalkan karya-karya pelbagai genre yang telah diterbitkan oleh DBP. Program sebegini sangat penting untuk memperkenalkan penulis terutamanya penulis baharu dan juga penulis lama yang bergelumang dalam dunia penyelidikan dan penulisan.
Pelaksanaan aktiviti ini akan memberikan ruang kepada penulis untuk melakukan persuasif secara langsung terhadap penjualan dan pembelian buku. Sementara itu, audiens juga mendapat manfaat dengan mengetahui kandungan utama dan perkara penting yang ingin dijelaskan oleh penulis. Hal ini juga akan dapat dijadikan panduan bagi para penulis muda yang ingin menerbitkan buku dan penerbit juga mampu mendapat keuntungan daripada penjualan dan permintaan buku daripada pembaca. Hubungan timbal balik ini adalah strategi terbaik hasil daripada aktiviti DBP yang dapat mengeratkan lagi hubungan tiga serangkai antara penulis, penerbit dan pembaca.
Satu lagi aktiviti menarik yang diadakan ialah “Seronoknya Membaca: Ceritalah Lagi dan Kuiz”. Aktiviti ini telah menarik minat pelajar prasekolah dan sekolah rendah tahap satu untuk hadir ke reruai DBP. Teknik bercerita dengan menggunakan buku bergambar dan teknik boneka dan kostum haiwan sangat digemari oleh kanak-kanak kerana berjaya membawa alam fantasi dan imaginasi golongan ini.
Kanak-kanak juga mudah faham dan menimbulkan keterujaan mereka terhadap buku yang dibaca oleh pencerita. Sementara itu, cadangan menganjurkan pertandingan kanak-kanak bercerita pendek dan secara spontan juga boleh dilakukan agar dapat menonjolkan bakat terpendam mereka.
Gandingan aktiviti bersama-sama kuiz juga sangat membantu meningkatkan ketajaman ingatan kanak-kanak melalui ulang tanya seusai sesi bercerita. Selain itu, aktiviti mengeja dan membaca dengan lancar dapat meningkatkan kemahiran berbahasa, membina keterampilan serta memupuk nilai murni, malahan hadiah yang diberikan oleh pihak DBP juga merangsang kepada pembacaan bahan-bahan ilmiah.
Pendekatan ini sekali gus akan memberikan motivasi dan elemen kegembiraan kepada kanak-kanak apatah lagi para staf DBP yang bertugas sememangnya arif melayani kanak-kanak dan berbakat dalam menjayakan aktiviti tersebut. Usaha DBP ini secara langsung telah menyemai minat kanak-kanak untuk membaca dan menyokong pembentukan masyarakat celik ilmu.
Sembang Akademi DBP bersama dengan Cikgu Zack Kirana pada 30 Mei 2023 juga antara alternatif DBP dalam usaha membudayakan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat. Dalam program ini, Cikgu Zack Kirana berkongsi kaedah penggunaan bahasa Melayu dengan betul di samping memperkenalkan kursus-kursus yang ditawarkan oleh DBP bagi meningkatkan penguasaan bahasa Melayu. Mungkin juga slot seperti ini perlu diperbanyak pada masa akan datang agar pengunjung yang singgah mendapat informasi yang banyak khususnya dengan memperkenalkan istilah baharu yang terdapat dalam Kamus Perdana.
DBP di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 sering menjadi tumpuan para pencinta buku. Koleksi buku yang bervariasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang dirancangkan adalah sebagai pemangkin kepada masyarakat agar terus erat dengan dunia ilmu. DBP sentiasa mengikut arus perdana dalam menerbitkan buku-buku untuk keperluan umum. Oleh itu, sebagai tanda sokongan, marilah kita bersama-sama mengunjungi reruai DBP dan menyokong aktiviti yang dijalankan. Ingat buku, ingat DBP!
Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.