Oleh Lily Joo
19 Jun 2023, 10:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bintulu – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan Bahagian Buku Umum, DBP Kuala Lumpur dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu (UPMKB) telah mengadakan Bengkel Perolehan Manuskrip pada 15 Jun hingga 16 Jun 2023 di UPMKB.

Dr. Zamri Rosli, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan yang mewakili Prof. Dr. Shahrul Razid Sarbini, iaitu Pengarah Kampus UPMKB telah menyampaikan ucapan perasmian bengkel tersebut, manakala ucapan penghargaan disampaikan oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, iaitu Pengarah DBP Cawangan Sarawak. Para peserta bengkel pula terdiri daripada pensyarah UPMKB daripada pelbagai bidang.

Lazimnya, para pensyarah menulis manuskrip untuk penerbitan saintifik dan menjadi rujukan dalam kalangan ilmuwan bidang tertentu. Penulisan yang dihasilkan itu tidak sampai kepada khalayak umum kerana agak teknikal dan sukar bagi pembaca yang bukan dalam bidang tersebut. Sehubungan dengan itu, penganjuran Bengkel Perolehan Manuskrip Buku Umum ini adalah sebagai satu daripada cara untuk menggiatkan usaha menerbitkan buku-buku umum dan ilmiah dalam pelbagai bidang.

Bengkel ini memfokuskan bimbingan dalam penulisan buku umum bagi menggalakkan penulisan akademik dalam bahasa kebangsaan dan mempromosikan peranan, fungsi dan kepentingan bahasa, sastera dan penerbitan sebagai satu daripada elemen teras pembinaan tamadun dan negara bangsa Malaysia.

Bengkel ini dibimbing oleh Puan Norhanifah Mohamed dan Puan Zalimah Yahya dari Bahagian Buku Umum, manakala Puan Hajijah Mainol dan Puan Lily Joo pula dari DBP Cawangan Sarawak.

Hasil bengkel yang berlangsung selama dua hari tersebut, sebanyak sembilan Kertas Cadangan Judul (KCJ) yang merangkumi bidang sains pertanian, kimia, fizik, perhutanan dan sains sosial telah dibentangkan oleh para peserta.

Ucapan perasmian oleh Dr. Zamri Rosli, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan.
Ucapan penghargaan oleh Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.
Penyampaian cenderamata kepada Dr. Zamri Rosli, Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Perhutanan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.