Oleh S. Idzam Jamil
7 Julai 2023, 16:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Pertandingan Forum Remaja Piala Pusingan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sarawak (Peringkat Akhir) telah berlangsung dengan jayanya pada 6 Julai 2023 di Hotel Pullman, Miri. Sebanyak enam pasukan telah terpilih ke peringkat akhir. Terdahulu, sebanyak 10 pasukan telah berentap di peringkat separuh akhir pada 4 Julai 2023 di Pustaka Negeri Sarawak, Miri, Sarawak.

Pasukan dari SMK Riam, Miri yang membicarakan tajuk “Masyarakat Penyayang Negara Sejahtera” telah dinobatkan sebagai johan pertandingan dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2500.00, berserta buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan watikah pengiktirafan.

Naib johan dan tempat ketiga pula masing-masing disandang oleh SMK St. Luke, Sri Aman dan SMK Suai, Miri. Naib johan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM2000.00, berserta buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan, manakala tempat ketiga pula menerima RM1000.00, berserta buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan.

Tiga hadiah sagu hati pula disandang oleh SM Chung Hua No. 1 Kuching, SMK Agama Miri dan SM Jalan Riam, Miri. Masing-masing menerima hadiah wang tunai berjumlah RM500.00, berserta buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan.

Sementara itu, Rofarisa Rorudi dari SMK Riam, Miri telah dinobatkan sebagai Ahli Panel Terbaik, manakala Claudia Mayrosa Kipli dari SMK St. Luke, Sri Aman pula dipilih sebagai Pengerusi Terbaik. Kedua-duanya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM300.00, berserta buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan. Semua hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, Yang Berhormat (YB) Datuk Rosey Yunus.

Yang Berhormat Datuk Rosey Yunus, ketika membacakan teks ucapan Yang Amat Berhormat Premier Sarawak menyatakan bahawa kemahiran berforum penting bagi menyokong hasrat kerajaan Sarawak untuk mencapai visi Sarawak Maju Makmur 2030.

Beliau juga menjelaskan bahawa penganjuran acara seperti ini bukan sahaja mampu melahirkan pelajar yang kreatif, inovatif dan sensitif terhadap isu semasa, malah akan mewujudkan kepintaran emosi dan intelektual dalam kalangan pelajar untuk mendepani kehidupan yang semakin mencabar pada masa akan datang.

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai berkata bahawa kemahiran berhujah secara kritis merupakan satu daripada ciri penting untuk melahirkan pemimpin yang berwibawa.

Menurutnya lagi, pertandingan ini merupakan aktiviti kebahasaan yang dilaksanakan oleh DBP Cawangan Sarawak dengan dukungan penuh oleh TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak sejak tahun 1990 dan kini telah mencapai usia 33 tahun.

Dengan sejarah penganjuran yang begitu panjang, penganjuran Forum Remaja ini bukan sahaja telah membuktikan upayanya dalam menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang baik dalam kalangan pelajar, bahkan merupakan sebuah program yang dapat mempertingkat keyakinan dan kreativiti pelajar dalam pelbagai platform, serta berfikir dalam aras tinggi.

Antara tetamu kehormat lain yang turut serta dalam majlis tersebut termasuklah Datu Dr. Haji Azhar Haji Ahmad (Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak), Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBP Cawangan Sarawak), Encik Jamalie Busrie (Residen Bahagian Miri) dan Dr. Haji Santrol Abdullah (Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Malaysia Sarawak), yang merangkap Ketua Hakim.

Antara tetamu yang hadir.
Hakim Pertandingan (dari kiri): Dr. Magdeline Nor, Dr. Haji Santrol Abdullah (Ketua Hakim) dan Encik Ja’afar Haji Hamdan.
Encik Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.
Datuk Rosey Yunus, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak, mewakili Premier Sarawak.
Johan pertandingan disandang oleh SMK Riam, Miri, Sarawak.
Tempat Kedua pula dimenangi oleh SMK St. Luke, Sri Aman, Sarawak.
Pemenang tempat ketiga, iaitu SMK Suai, Miri bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.
Pengerusi Terbaik, Claudia Mayrosa Kipli dari SMK St. Luke, Sri Aman.
Ahli Panel Terbaik, Rofarisa Rorudi dari SMK Riam, Miri.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.