Diterbitkan pada 27 Julai 2023, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Wilayah Persekutuan Labuan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah melaksanakan Kajian Tahap Penggunaan Bahasa Kebangsaan di Tempat Awam di Wilayah Persekutuan Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan (PL) pada 25 Julai 2023  hingga 27 Julai 2023.

Kajian ini dilaksanakan untuk mengenal pasti tahap penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam di WP Labuan, khususnya pada papan tanda premis dan paparan awam seperti kain rentang dan gegantung yang terdapat di taman rekreasi, bangunan kerajaan, pusat beli-belah, taman perumahan, nama jalan dan sebagainya.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif (Pengurusan) PL, Dato’ Dr. Hj. Othman Che Jusoh, pihak mereka berbesar hati dan mengalu-alukan kerjasama untuk melaksanakan kajian lapangan ini dan berharap agar hasil dapatan kajian dapat didokumentasikan dalam buku ataupun jurnal dan menjadi garis panduan dan penambahbaikan bagi PL dari aspek penguatkuasaan dan pemartabatan penggunaan bahasa kebangsaan di tempat awam pada masa hadapan.

Beliau juga berharap agar pihak DBP dapat mengadakan Kursus Pembugaran Penulisan Dokumen Rasmi dan mengadakan lebih banyak program kebahasaan di Labuan.

Selain itu, melalui pelaksanaan kajian ini, sikap masyarakat terhadap bahasa kebangsaan di tempat awam juga dapat diketahui, selain mengusulkan saranan dan cadangan kepada pihak berkuasa tempatan sebagai tindakan susulan untuk penambahbaikan bagi memantapkan dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penggunaan bahasa kebangsaan.

Puan Julianah Kuli menyampaikan cenderamata kepada Dato’ Dr. Hj. Othman Che Jusoh, Timbalan Ketua Eksekutif  (Pengurusan) PL.
Petugas turun ke lapangan untuk pemantauan paparan awam di WP Labuan.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi