Oleh Ezura As'ad Azam
22 September 2023, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Seperti yang kita sedia maklum, bahasa Melayu telah termaktub sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, Seksyen 9 menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi bagi bahasa kebangsaan. Hal ini menunjukkan bahawa sebagai rakyat Malaysia, usaha memperkasakan tulisan Jawi seharusnya dipikul bersama.

Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Nadwah Serantau Sastera Islam Sabah yang diadakan pada 20 September hingga 21 September 2023 di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah (DBPCS), berlangsungnya forum khas yang bertajuk, “Pembudayaan Tulisan Jawi dalam Masyarakat Madani”.

Forum yang julung-julung kalinya diadakan di Sabah ini bermatlamat untuk mengetengahkan peranan dan potensi tulisan Jawi dalam kerangka Malaysia MADANI, di samping bertujuan menggalakkan usaha pemerkasaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat serantau.

Forum ini menampilkan tiga orang ahli panel undangan yang terlibat secara langsung dalam usaha pengembangan tulisan Jawi di Malaysia. Ahli panel pertama ialah Profesor Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz, pensyarah di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang sering menjadi pakar rujuk dan pembimbing bengkel pemantapan tulisan Jawi.

Ahli panel kedua pula merupakan Perancang Bahasa dari Bahagian Perkamusan, Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Tuan Syed Mohd Yasir Syed Ahmad, yang bertanggungjawab secara langsung dalam kerja-kerja transliterasi entri daripada tulisan Rumi kepada tulisan Jawi untuk Kamus Dewan Perdana.

Sementara itu, ahli panel ketiga ialah Ustaz Herwan Harun, seorang guru Pendidikan Islam yang telah ditauliahkan sebagai Munsyi Dewan (Jawi) dan memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Khat Sabah (PSKS). Sesi forum pula dikendalikan oleh Encik Asrar Ab Latif, Perancang Bahasa dari DBPCS.

Menerusi forum selama dua jam ini, ahli-ahli panel telah membincangkan beberapa perkara mustahak yang bersangkut-paut dengan tulisan Jawi dan yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Antaranya termasuklah aspek sejarah perkembangan tulisan Jawi, usaha pemerkasaan tulisan Jawi yang telah dilaksanakan, cabaran memartabatkan tulisan Jawi, serta kepentingan melestarikan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat.

Perbincangan turut menyentuh sedikit banyak tentang penyusunan Pedoman Umum Ejaan Jawi Bahasa Melayu Dewan oleh DBP yang menjadi rujukan utama masyarakat untuk mengeja perkataan dalam tulisan Jawi dengan betul. Hadirin juga didedahkan kepada perkembangan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat di Sabah yang begitu memberangsangkan pada masa ini.

Bagi menguji pengetahuan mengeja kata dalam tulisan Jawi khususnya dalam kalangan generasi muda, Kuiz Jaguh Jawi secara dalam talian turut diadakan sebelum forum ini berlangsung. Para peserta yang rata-ratanya terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi memberikan sambutan yang menggalakkan terhadap program ini.

Program turut diserikan dengan pameran dan demonstrasi dari Persatuan Seni Khat Sabah, iaitu antara pertubuhan bukan kerajaan yang banyak terlibat sama dalam usaha pemerkasaan tulisan Jawi di Sabah.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.