Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Tiga orang pakar bidang dalam pembinaan dan penerbitan ensiklopedia berkongsi ilmu dan pengalaman yang hebat menerusi forum Wacana Ensiklopedia Bahasa Melayu di Balai Seminar Tun Hamdan Syeikh Tahir, Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dapat disaksikan secara langsung menerusi media sosial DBP pada siang tadi.
Dalam wacana tersebut, pakar bidang dan penulis, YBhg. Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar berkongsi pengalamannya yang berjaya menghasilkan Ensiklopedia Bahasa Melayu dengan membuat kajian dan merujuk sebanyak sembilan naskhah ensiklopedia daripada pelbagai bahasa termasuklah bahasa Inggeris, bahasa Indonesia dan bahasa Melayu.
Menurut beliau, tiada panduan tertentu untuk menghasilkan pembinaan dan penerbitan ensiklopedia. Dalam hal ini, beliau mendapati bahawa penerbitan DBP menetapkan kategori sesuatu bidang itu sama ada yang bersifat am ataupun khusus. Namun demikian, beliau menetapkan tiga ciri penting yang perlu dititikberatkan untuk pembinaan ensiklopedia, iaitu dengan cara menentukan ciri kandungan, format dan genre tertentu.
Terdapat satu tema atau tajuk yang digunakan untuk penetapan pembinaan ensiklopedia. Malangnya, apabila melibatkan bidang sains selalu dirujuk sebagai subjek khusus sahaja. Di negara Barat juga melihat bidang sains mempunyai pengkhususan tertentu, sedangkan bidang lain seperti sains sosial atau kemanusiaan mempunyai kategori khusus dan am.
Berdasarkan penelitian terhadap kandungan daripada sembilan naskhah ensiklopedia yang dikaji, ensiklopedia tersebut mengunakan satu subjek perkara. Ensiklopedia Bahasa Melayu hasil tulisan beliau bersifat am dan khusus kerana mempunyai cabang linguistik yang termuat dalam ensiklopedia tersebut.
Bagi beliau, ensiklopedia kategori am secara umumnya mempunyai liputan yang mampu menarik minat semua orang. Secara keseluruhan, makna bagi etimologi ensiklopedia berkisar tentang pengetahuan sesuatu bidang dengan satu tema.
Selain beliau, ahli panel yang juga pakar bidang dan penulis Ensiklopedia Astronomi, YBhg. Profesor Kehormat Dato’ Dr. Mohd Zambri Zainuddin turut berkongsi ilmu berkaitan dengan bidang astronomi dari segi sejarah dan perkembangannya dari zaman Greek, Yunani hingga sekarang sehingga melahirkan pakar astronomi dalam kalangan ahli falsafah dan pemikir sehingga terhasillah buku Almages, yang menjadi rujukan Barat dan mampu bertahan sejak 1400 tahun dahulu. Namun demikian, kedatangan Islam yang melahirkan banyak astronomis Islam telah mengubah dimensi pandangan terhadap astronomi.
Sementara itu, Pengarah Urusan Telaga Biru Sdn. Bhd, YBhg. Datuk Dr. Zahazan Mohamed turut berkongsi tentang ulama terkemuka yang hidup pada kira-kira 1500 tahun dahulu, iaitu Imam ibn Djari Thobri Abdur Rahman, yang menulis risalah sebanyak 30 ribu muka surat tafsir al-Quran. Tafsir tersebut disalin dan diringkaskan oleh anak muridnya sehingga menghasilkan 3000 muka surat. Yang penting, kandungan ilmu yang ingin disampaikan dalam penulisan tersebut menepati sasaran.
Pengalaman beliau adalah semasa menangani penerbitan ensiklopedia dan buku agama termasuklah buku karangan Allahyarham Datuk Ismail Kamus yang bertajuk Hidup Bertakwa, yang ditulis pada 15 tahun lalu. Buku tersebut telah diubah suai dengan tajuk baharu, Hidup Bersyariat dengan penambahan gambar hiasan yang lebih edukatif, banyak panduan yang berguna, dan menarik serta mudah dibaca, difahami dan diamalkan oleh khalayak pembaca. Buku ini berjaya terjual hingga mencecah satu juta naskhah serta diterjemahkan dalam bahasa Iban dan bahasa Jepun pada masa ini.
Sebagai penerbit, kita menyasarkan buku khazanah Islam yang menjadi panduan berguna dan boleh dipasarkan kepada masyarakat.
Wacana Ensiklopedia Bahasa Melayu yang penuh dengan pengisian ilmu ini dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin dan dipengerusikan oleh Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, YBrs. Dr. Azizul Ismail.