Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKundasang – Pertandingan Jejak Bahasa berjaya dilaksanakan selama hampir dua jam lebih yang melibatkan penyertaan sebanyak 40 orang pelajar daripada sembilan buah sekolah menengah di Daerah Ranau. Pertandingan ini anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBPCS) yang berkonsepkan aktiviti kebahasaan yang menggunakan Kamus Dewan Perdana sebagai rujukan utama.
Dalam pertandingan tersebut yang bersempena dengan Festival Seni dan Alam (FESA), setiap kumpulan terdiri daripada empat orang peserta dan perlu menyelesaikan lima tugasan, iaitu “Jana Perkataan”, “Betulkan yang Salah”, “Kenali DBP”, “Dami Kamus Dwibahasa dan Penanda Buku” dan “Swafoto Kreatif”. Kumpulan yang terawal menyelesaikan kesemua tugasan akan mendapat markah bonus.
Hadiah untuk para pemenang disampaikan oleh YBrs. Puan Aminah Awang Basar, iaitu Pengarah DBPCS semasa majlis Penutupan FESA yang berlangsung pada pagi tadi di Pentas Budaya, Pekan Kundasang.
Johan Pertandingan Jejak Bahasa ini dimenangi oleh SMK Timbua, yang membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1200.00 dan sijil penghargaan. Naib johan pula disandang oleh SMK (A) Mohd Ali, Ranau ,yang menerima hadiah wang tunai bernilai RM800.00 dan sijil penghargaan. SMK Mat Salleh (B) pula muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai bernilai RM600.00 dan sijil penghargaan.
Penerima hadiah sagu hati pula dimenangi oleh SMK Mat Salleh (A), SMK Lohan, SMK Bundu Tuhan, SMK Matupang Jaya, SMK Ulu Sugut, SMK Kemburongoh dan SMK Kundasang. Masing-masing menerima hadiah wang tunai sebanyak RM200.00 dan sijil penghargaan.