Oleh Kho Thong Eng
16 Oktober 2023, 10:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam kehidupan seharian, sesuatu perkara boleh kita nyatakan secara tepat atau secara lebih kurang. Penyataan maklumat secara tepat sangat penting dalam urusan rasmi, kajian saintifik dan perniagaan. Namun demikian, ada kalanya sesuatu perkara dinyatakan secara lebih kurang dalam situasi komunikasi yang tidak rasmi atau bersahaja. Hal ini berlaku demikian kerana sudah sebati sebagai budaya hidup masyarakat.

1a.  Mesyuarat itu bermula pada pukul 8.30 pagi.

1b.  Jarak di antara Taiping dengan Ipoh ialah 69 kilometer.

1c.  Dia membeli lima kilogram beras pulut.

 

Dalam kelompok ayat 1, terdapat unit ukuran yang tepat, iaitu pukul 8.30 pagi, 69 kilometer dan lima kilogram. Unit ukuran itu dinyatakan dengan tepatnya agar mesyuarat bermula tepat pada masanya, tuntutan perjalanan dari segi kiraan kilometer betul dan jumlah beras pulut yang dibeli menepati kehendak pembelinya.

Sebelum masyarakat setempat dahulu mengenali sistem ukuran tepat yang diajarkan di sekolah, masyarakat kita menggunakan gambaran yang lebih kurang untuk menyatakan pelbagai perkara. Sebagai contoh, pernyataannya mungkin seperti yang berikut:

2a.  Pokok itu tiga pemeluk/pendakap besarnya.

2b.  Dia meminta kawannya menunggunya sepenanak nasi.

2c.  Matahari sepenggalah tingginya.

 

3a.  Rumahnya sepemanah dari rumahku.

3b.  Rumahnya sepelaung dari rumahku.

3c.  Rumahnya sepelontar/sepelontaran dari rumahku.

3d.  Dia duduk sepelompat/sepelompatan dari kerusiku.

3e.  Dia berdiri sepeliuk dari diriku.

3f.   Penjenayah sepelarian telah ditangkap semula.

3g.  Bajunya sejangkauan/sepenjangkauan/sejengkau/sepencapai darinya.

3h.  Kira-kira empat keruh bumi berjalan, sampailah ia di sebatang sungai.

 

4a.  Kawasan sawah itu terbentang luas sepenjulat mata.

4b.  Tanahnya hanya sekangkang kera.

4c.  Umurnya setahun/seumur jagung sahaja.

Pemeluk atau pendakap ialah saiz lilitan batang pokok sebesar lingkungan tangan yang memeluk. Sepenanak nasi ialah waktu yang lamanya serupa dengan lama orang menanak nasi, iaitu lebih kurang 20 minit. Sepenggalah tingginya bermaksud antara pukul 7 hingga pukul 8 pagi.

Dalam kelompok ayat 3, kata sepemanah, sepelaung, sepelontar/sepelontaran, sepelompat/sepelompatan, sepeliuk, sepelarian, sejangkauan/sepenjangkauan/sejengkau/sepencapai dan keruh bumi berkaitan dengan ukuran jarak yang lebih kurang. Sepemanah bererti sejauh tibanya panah yang dilepaskan, sepelaung bermakna sejauh yang dapat didengar teriakan orang, sepelontar/sepelontaran bermaksud sejauh yang dapat dilontarkan sesuatu, sepelompat/sepelompatan bererti sejauh orang dapat melompat, sepeliuk bermakna sejauh orang dapat meliuk ke kiri atau ke kanan, sepelarian bererti sejauh yang terdaya berlari, sejangkauan/sepenjangkauan/sejengkau/sepencapai bermaksud sejauh dapat dijangkau dengan tangan, dan keruh bumi ialah jarak kira-kira dua hingga tiga batu.

Dalam kelompok ayat 4, sepenjulat mata bererti sejauh mata memandang, sekangkang kera bermaksud tidak luas, dan setahun/seumur jagung bererti terlalu muda.

Satu lagi cara untuk menyatakan ukuran yang lebih kurang adalah dengan menggunakan anggota badan. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Kail itu panjangnya sejengkal.

5b.  Keris itu sehasta panjangnya.

5c.  Tali itu panjangnya tiga depa.

 

Jengkel ialah panjang di antara hujung ibu jari dengan hujung jari yang lain, hasta ialah panjang dari hujung siku ke hujung jari hantu, dan depa ialah panjang di antara dua hujung tangan yang didepangkan, iaitu empat hasta atau kira-kira enam kaki.

Selain itu, untuk menyatakan jumlah yang lebih kurang, terdapat beberapa kata berawalan se- yang dapat kita gunakan. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia mengambil secekak sirih dari talam itu.

6b.  Dia menyuapkan sekepal nasi ke dalam mulutnya.

6c.  Dia melontar segenggam tanah ke arah kambing itu.

6d.  Dia mengambil sejemput/secekut kuih dari pinggan itu.

6e.  Dia mengikat karung itu dengan sekerat dawai.

6f.   Dia membalut lukanya dengan secebis/secarik/secebir kain.

 

Secekak ialah ukuran yang ditentukan oleh lingkaran (bulatan) yang dibuat dengan mempertemukan ibu jari dengan jari lain.  Sekepal ialah seisi genggaman tangan. Segenggam ialah sebanyak yang dapat dipegang dalam kepalan tangan. Sejemput/secekut ialah sebanyak yang dapat diambil dengan hujung jari.  Sekerat bererti sebanyak yang dipotong. Secebis/Secarik/Secebir bermaksud sebanyak yang dicarik.

Kata bilangan tak tentu juga menyatakan bilangan orang, barang, benda atau perkara secara lebih kurang. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Hanya sebilangan/sebahagian daripada guru hadir.

7b.  Banyak/Ramai guru hadir.

7c.  Semua guru hadir.

7d.  Sesetengah guru hadir.

7e.  Beberapa orang guru hadir.

 

Dalam kelompok ayat 6, kata sebilangan/sebahagian, banyak/ramai, semua, sesetengah dan beberapa merupakan kata bilangan tak tentu, iaitu bilangannya tidak dinyatakan dengan jelas dan tepat.

Kata bandingan seperti lebih, kurang atau lebih kurang juga menyatakan bilangan secara tidak tentu. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Lebih daripada 100 orang tetamu hadir.

8b.  Kurang daripada 100 orang tetamu hadir.

8c.  Lebih kurang 100 orang tetamu hadir.

 

Pada zaman moden, ada kalanya kita juga menyatakan sesuatu secara lebih kurang, tanpa menggunakan nilai ukuran yang tepat. Hal sedemikian biasanya melibatkan perbandingan dengan benda lain. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Dari rumah ke jalan besar jaraknya kira-kira 150 langkah.

9b.  Air banjir naik setinggi pahanya.

9c.  Kayu dipotong sepanjang/sebesar lengannya.

9d.  Cuaca sejuk sampai meresap ke tulang sumsum.

9e.  Udang yang dibelinya sebesar jari kelengkengnya.

9f.   Dia makan pau yang sebesar penumbuknya.

9g.  Bangunan itu menggunung tingginya.

9h.  Kasih sayangnya seluas laut yang tidak bertepi, sedalam laut yang tidak

terselami.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.