Oleh Kho Thong Eng
25 Disember 2023, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awalan teR- ialah imbuhan yang dapat ditambah pada kata nama, kata kerja, kata adjektif, kata tugas dan frasa. Pengimbuhan tersebut mungkin menyebabkan perubahan golongan kata atau makna kata. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Beliau merupakan tokoh yang ternama.

1b.  Buku itu terdiri daripada lapan bab.

1c.  Pengerusi persatuan yang terdahulu masih bersama kita.

1d.  Golongan terpelajar merupakan aset negara.

1e.  Golongan yang terpinggir harus kita bantu.

1f.  Taman negara yang terwarta tidak boleh diteroka.

 

2a.  Dia tidak terdaya untuk mengatasi cabaran itu.

2b.  Dia terperdaya oleh orang jahat.

Dalam kelompok ayat 1 dan 2, awalan teR- ditambah pada kata nama yang pelbagai. Dalam ayat 1a, kata ternama berfungsi seperti kata adjektif masyhur. Dalam ayat 1b, kata terdiri merupakan kata kerja tak transitif yang harus diikuti pelengkap seperti daripada lapan bab. Dalam ayat 1c, kata terdahulu berfungsi sebagai kata adjektif. Dalam ayat 1d, kata adjektif terpelajar terbentuk apabila awalan teR- ditambah pada kata nama pelajar yang sedia berawalan pel-.

Dalam ayat 1e, kata terpinggir ialah kata kerja yang bererti “diketepikan”. Dalam ayat 1f, kata terwarta ialah kata kerja yang bererti “telah diwartakan”. Dalam hal ini, ada antara kata berimbuhan teR- dapat ditambah lagi dengan imbuhan ke-…-an.  Contohnya ialah kata keterdahuluan, keterpelajaran dan keterpinggiran. Dalam kelompok ayat 2, kata nama daya dapat ditambah imbuhan seperti teR- dan terpeR-,

Awalan teR- dapat ditambah pada kata kerja. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia terjatuh.

3b.  Hal ini terpulang pada keputusan jawatankuasa.

 

4a.  Dia terlanggar kanak-kanak itu.

4b.  Dia terlanggar oleh kanak-kanak itu.

Dalam ayat 3a, awalan teR- yang ditambah pada kata kerja dasar jatuh menghasilkan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap terjatuh. Dalam ayat 3b, awalan teR- yang ditambah pada kata kerja dasar pulang menghasilkan kata kerja tak transitif terpulang yang harus diikuti pelengkap seperti pada keputusan jawatankuasa. Dalam ayat 4a, kata terlanggar merupakan kata kerja aktif transitif, manakala dalam 4b, kata terlanggar yang diikuti sendi nama oleh merupakan kata kerja pasif.

5a.  Sikapnya terbuka.

5b.  Antara bunga yang ada termasuklah bunga teratai.

5c.  Terdapat ramai orang di pasar itu.

6a.  Beliau merupakan tokoh yang terkenal.

6b.  Beliau merupakan pahlawan yang terbilang.

Dalam kelompok ayat 5 dan 6, awalan teR- yang ditambah pada kata kerja dasar mengubah golongan katanya atau memberikan maksud khusus kepadanya. Dalam ayat 5a, awalan teR- yang ditambah pada kata kerja buka menghasilkan kata adjektif terbuka, iaitu “mudah menerima sesuatu perkara tanpa prasangka”. Dalam ayat 5b, kata termasuk bererti “tergolong”, dan dalam ayat 5c, kata kerja terdapat bererti “ada”. Dalam ayat 6a dan 6b, kata kerja terkenal dan terbilang berfungsi seperti kata adjektif masyhur.

Ada antara kata kerja yang berimbuhan teR- yang dapat ditambah imbuhan lagi atau digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia mentertawakan orang miskin itu.

7b.  Meja itu diterbalikkan olehnya.

7c.  Keterbatasan kuasanya ketara.

7d.  Buku itu mempunyai ciri keterbacaan yang tinggi.

 

8a.  Dia tidak terkalahkan oleh musuhnya.

8b.  Tasik yang dalam itu terselami olehnya.

 

9a.  Dia sering tertanya-tanya tentang hal itu.

9b.  Dia terhuyung-hayang kerana mabuk.

9c.  Gadis itu tersipu-sipu apabila disapa.

Dalam kelompok ayat 7, terdapat kata kerja berimbuhan teR- yang ditambah imbuhan lagi. Contohnya ialah kata mentertawakan, diterbalikkan, keterbatasan dan keterbacaan. Dalam kelompok ayat 8, terdapat contoh kata kerja berapitan teR-…-kan dan teR-… -i, iaitu kata terkalahkan dan terselami. Dalam kelompok ayat 9, terdapat pelbagai contoh kata ganda dengan awalan teR-, iaitu kata ganda separa tertanya-tanya, kata ganda berentak terhuyung-hayang dan kata ganda semu tersipu-sipu.  

Awalan teR- boleh ditambah pada kata adjektif. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia terpandai dalam kelasnya.

10c.  Dia sudah terbiasa dengan cara hidup begitu.

Dalam ayat 10a, awalan teR- yang ditambah pada kata adjektif pandai membawa maksud “paling”. Dalam ayat 10b, awalan teR- yang ditambah pada kata adjektif biasa menjadikannya sebagai kata kerja tak transitif terbiasa.

Ada kata tugas yang sedia berawalan teR-. Selain itu, awalan teR- boleh juga ditambah pada sesetengah kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Dia benci terhadap kepura-puraan.

11b.  Dia terlalu jahat.

 

12a.  Dia teramat/tersangat pandai.

12b.  Dialah yang terkemudian sampai di tempat majlis.

12c.  Dia berada pada kedudukan yang terbawah.

12d.  Dia mengalami penderitaan yang tidak terhingga.

12e.  Tiada manusia yang terkecuali daripada melakukan kesilapan.

12f.  Dia melakukan kerja itu secara tersendiri.

 

Dalam kelompok ayat 11, terdapat kata tugas yang sedia berawalan teR-, iaitu kata sendi nama terhadap dan kata penguat terlalu. Dalam kelompok ayat 12, awalan teR- dapat ditambah pada pelbagai kata tugas. Dalam ayat 12a, awalan teR- ditambah pada kata penguat amat dan sangat.

Dalam ayat 12b, awalan teR- ditambah pada kata hubung gabungan kemudian. Dalam ayat 12c, awalan teR- ditambah pada kata arah bawah.  Dalam ayat 12d, awalan teR- ditambah pada kata sendi nama hingga. Dalam ayat 12e, awalan teR- ditambah pada kata sendi nama kecuali. Dalam ayat 12f, awalan teR- ditambah pada kata adverba sendiri.

Awalan teR-, boleh juga ditambah pada frasa. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  Beliau merupakan pemimpin yang terkemuka.

13b.  Taraf hidup orang kampung itu terkebelakang.

13c.  Fikirannya terkedepan berbanding dengan masyarakat sezamannya.

Dalam ayat 13a, awalan teR- ditambah pada frasa ke muka untuk menghasilkan kata terkemuka. Dalam ayat 13b, awalan teR- ditambah pada frasa ke belakang untuk menghasilkan kata terkebelakang. Dalam ayat 13c, awalan teR- ditambah pada frasa ke depan untuk menghasilkan kata terkedepan.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.