Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata dalam bahasa Melayu mempunyai pelbagai hubungan antara satu sama lain. Satu daripada hubungan tersebut ialah hubungan sebagai sinonim. Sinonim berasal daripada kata Yunani kuno, iaitu onoma yang bernama “nama” dan syn yang bererti “dengan”. Ringkasnya, sinonim ialah kata yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama.
Ada kata bahasa Melayu yang tidak mempunyai sinonim. Kata tersebut meliputi kata umum, istilah khusus dan kata pinjaman. Contohnya ialah kata oksigen, laser, salji, bakteria, batu, salji dan air. Ada kata yang maksud asalnya tiada sinonim tetapi maksud kiasannya ada sinonim. Contohnya ialah kata putih yang tiada sinonim secara tersurat tetapi mempunyai sinonim bersih, murni atau suci secara kiasan atau tersirat.
Ada bentuk terikat yang bersinonim dengan kata tunggal. Sila lihat contoh yang berikut:
Kata Tunggal | Bentuk Terikat | Contoh |
aku, saya | ku-, -ku | kubaca, bukuku |
engkau | kau- | kaulipat |
kamu | -mu | bajumu |
dia | -nya | rumahnya |
Hubungan sinonim bersifat dua hala. Sebagai contohnya, jika kata kasih bersinonim dengan kata sayang, kata sayang juga bersinonim dengan kata kasih.
Kata yang bersinonim meliputi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas. Sinonimnya mungkin satu atau lebih. Sila lihat contoh yang berikut:
Golongan Kata | Contoh Kata | Sinonim |
Kata nama | bunga | kembang, puspa |
hutan | rimba, belantara | |
Kata kerja | berbahas | berdebat |
berusaha | berikhtiar | |
Kata adjektif | cantik | lawa, jelita |
sedih | pilu, hiba, sayu, sebak | |
Kata tugas | telah | sudah |
kalau | jika, seandainya, sekiranya, andai kata, jikalau |
Ada kata yang bersinonim pada peringkat kata tunggal tetapi tidak bersinonim pada peringkat kata terbitan, atau sebaliknya. Sila lihat contoh yang berikut:
Sinonim | Bukan Sinonim |
betul = benar | kebetulan, kebenaran |
berjemur = berpanas | jemur, panas |
meninggikan = meningkatkan | tinggi, tingkat |
Ada juga kata yang bersinonim sebelum atau selepas ditambah imbuhan. Sila lihat contoh yang berikut:
Sinonim | Sinonim |
telah = sudah | setelah = sesudah |
tiba = sampai | setibanya = sesampainya |
kail = pancing | mengail = memancing |
jerit = teriak | jeritan = teriakan |
Ada kata yang bersinonim walaupun imbuhannya berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:
Sinonim | Sinonim |
bernyanyi = menyanyi | berotan = merotan (‘mencari rotan’) |
membaiki = membaikkan | melupai = melupakan |
Ada sinonim yang ejaan katanya hampir sama atau susunan hurufnya sahaja berbeza. Sila lihat contoh yang berikut:
Bentuk Kata | Contoh 1 | Contoh 2 |
Ejaan hampir sama | mengkarung = bengkarung | kecipak = kecibak |
Susunan huruf berbeza | kerikil = kelikir | bergejolak = bergelojak |
Ada kata ganda penuh yang bersinonim dengan kata ganda separa. Contohnya ialah kata pohon-pohon yang sama maksudnya dengan kata pepohon dan kata daun-daun yang sama maksudnya dengan kata dedaun. Ada kata ganda semu yang bersinonim dengan kata ganda separa. Contohnya ialah kata layang-layang yang sama ertinya dengan lelayang dan kata tupai-tupai yang sama ertinya dengan kata tetupai.
Kebanyakan sinonim tidak seratus peratus sama maksudnya. Biasanya ada nuansa maksud atau konteks penggunaan yang berbeza. Sebagai contoh, kata ganti nama diri orang pertama aku sama erti dengan kata saya, tetapi kata aku digunakan dalam hubungan mesra dengan orang yang berkedudukan sama atau lebih rendah daripada seseorang, manakala kata saya digunakan dalam hubungan rasmi atau dengan orang yang berkedudukan lebih tinggi daripada seseorang.
Ada sinonim yang berkaitan dengan susun lapis sosial. Contohnya ialah kata ganti nama diri orang pertama beta digunakan oleh raja, manakala kata patik digunakan oleh rakyat apabila berlawan cakap dengan raja.
Kata perempuan bermakna “lawan lelaki” seperti wanita, tetapi kata wanita juga menandakan kedudukan sosial yang lebih tinggi dan lebih dihormati. Kata wanita dikaitkan dengan pergerakan tertentu, seperti pergerakan wanita, persatuan wanita, penumpang wanita, koc wanita dan sebagainya. Kata emak dan ayah lebih digunakan dalam konteks kekeluargaan berbanding dengan kata ibu dan bapa yang boleh juga digunakan dalam konteks umum.
Oleh itu, kita ada Hari Ibu/Bapa, bukan Hari Emak/Ayah, dan persatuan ibu bapa guru, bukan persatuan emak ayah dan guru. Selain itu, bentuk kata seperti ayahanda, bonda, nenda dan kakanda biasanya dikaitkan dengan bahasa dalam hal surat-menyurat.
Kata mati boleh digunakan untuk manusia, haiwan, tumbuhan atau benda, tetapi meninggal dunia hanya digunakan untuk manusia. Kata cantik sama erti dengan indah jika berkaitan dengan pemandangan, tetapi kata indah tidak boleh dikaitkan dengan rupa paras manusia. Sejuk dan dingin bersinonim dalam hal yang berkaitan dengan cuaca, tetapi sejuk tidak boleh digunakan untuk suasana sambutan. Kata emas sama dengan kencana, kata perak sama dengan selaka, dan kata pawana sama dengan angin, tetapi kata kencana, selaka dan pawana lebih berkaitan dengan bahasa sastera atau bahasa klasik.
Ada sinonim yang merupakan kata daripada sumber bahasa yang berbeza. Contohnya ialah kata perempuan daripada bahasa Melayu bersinonim dengan kata wanita daripada bahasa Jawa, kata manusia daripada bahasa Sanskrit bersinonim dengan kata insan daripada bahasa Arab, dan kata ekonomi daripada bahasa Inggeris bersinonim dengan kata iktisad daripada bahasa Arab.
Ada kata umum yang bersinonim dengan istilah. Contohnya ialah kata majmuk kencing manis bersinonim dengan kata istilah diabetes, kata majmuk angin ahmar yang bersinonim dengan kata istilah strok, dan kata lelah yang bersinonim dengan kata istilah asma. Ada juga kata umum yang diberi sinonim kerana mempunyai maksud tabu dalam konteks tertentu. Contohnya ialah kata harimau bersinonim dengan Pak Belang, dan kata buaya bersinonim dengan Sang Rangkak.
Selain kata yang bersinonim, ada juga frasa yang sama makna dengan kata atau frasa. Sila lihat contoh yang berikut:
Frasa = frasa | Frasa = kata |
ibu bapa = orang tua | pemuda pemudi = remaja, belia |
meninggal dunia = pulang ke rahmatullah (orang Islam) | tubuh badan = tubuh, badan |
miskin papa = sangat miskin | tidak siuman = gila |
Ada juga peribahasa yang seerti. Sila lihat contoh yang berikut:
Jenis Peribahasa | Peribahasa | Sinonim |
Simpulan Bahasa | panjang tangan | cepat tangan |
Peribahasa | alang-alang berminyak biar licin | 1. alang-alang mandi biar basah
2. alang-alang berdakwat biar hitam 3. alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan 4. genggam bara api, biar sampai menjadi arang 5. berjalan sampai ke batas, belayar sampai ke pulau |