Oleh Kho Thong Eng
2 Jun 2024, 21:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut peribahasa Melayu, “Masa itu emas”. Hal ini menunjukkan bahawa masa ialah perkara perdana dalam hidup setiap orang. Jadi, menarik juga untuk kita mendalami hal masa.

Masa bagi setiap hari dinyatakan mengikut tempoh tertentu. Dalam hal ini, cara pembahagian tempoh bagi setiap hari berbeza antara cara kita (di negara ini) dengan cara Barat. Sila lihat contoh yang berikut:

Tempoh Masa Kita
pagi 1.00  – 11.59 pagi
tengah hari 12.00 – 1.59 tengah hari
petang 2.00 – 6.59 petang
malam 7.00 – 11.59 malam

Pada umumnya, waktu hujung minggu di Malaysia sama seperti waktu hujung minggu di seluruh dunia. Namun begitu, di negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor, hujung minggu jatuh pada hari Jumaat dan hari Sabtu. Selain itu, cara penyataan malam mungkin juga berbeza. Sebagai contoh, Saturday night ialah malam minggu atau malam pada hari Sabtu di Malaysia.

Dari segi penyataan masa, waktu jam dinyatakan dalam bentuk kata kalau melibatkan angka satu digit, tetapi dinyatakan dalam bentuk nombor jika melibatkan angka dua digit. Contohnya ialah jam tujuh pagi dan jam 12.00 tengah hari. Jika masa berkaitan dengan jam dan pecahannya, adakalanya kita menyatakannya dalam bentuk penuh dan adakalanya dalam bentuk angka.

Contohnya ialah satu jam setengah, satu jam suku, satu jam 20 minit, jam 7.30 pagi dan sebagainya. Bagi tarikh, kita menyatakannya dalam bentuk angka bagi hari dan tahun, tetapi bentuk penuh bagi bulan. Contohnya ialah 1 Januari 2023.

Penganut agama Islam juga menyatakan masa mengikut waktu sembahyang. Contohnya ialah waktu subuh, zuhur, asar, maghrib dan isyak.  Selain itu, ada waktu imsak, waktu bada subuh, waktu syuruk, waktu duha dan sebagainya. Walau bagaimanapun, waktu tersebut mungkin berbeza sedikit antara tempat yang berkenaan. Sila lihat jadual yang berikut:

Waktu Masa Huraian
subuh lebih kurang jam 6.00 pagi – 7.00 pagi waktu terbit fajar hingga waktu terbit matahari
zuhur lebih kurang jam 1.15 tengah hari hingga 4.00 petang waktu matahari tergelincir hingga awal petang
asar lebih kurang jam 4.00 petang – 7.15 malam waktu matahari tergelincir (bayang-bayang sesuatu objek lebih panjang daripada tinggi objek tersebut) hingga matahari terbenam
maghrib lebih kurang jam 7.15 malam hingga 8.15 malam sejurus selepas matahari terbenam hingga hilang cahaya merah di langit
isyak lebih kurang jam 8.15 malam hingga terbit fajar selepas hilang cahaya merah di langit hingga terbit fajar
imsak kira-kira 10 minit sebelum subuh
bada subuh jam 7.00 – 7.30 pagi selepas subuh

 

Kita dapat juga menyatakan masa mengikut waktu makan. Contohnya ialah waktu sarapan, waktu makan tengah hari, waktu makan malam atau waktu kudapan pagi, petang dan malam. Pilihan lain ialah kita menyatakan masa mengikut kejadian tertentu.

Contohnya ialah waktu matahari terbit atau terbenam, waktu fajar menyingsing, waktu pagi-pagi (kira-kira pukul enam pagi), waktu matahari sepenggalah tingginya (lebih kurang jam tujuh hingga jam lapan pagi), waktu kering embun (kira-kira jam lapan hingga jam sembilan pagi), waktu matahari rembang (rembang tengah hari), waktu rembang petang, waktu matahari ayun-temayun (matahari mulai turun), waktu remang-remang malam, waktu tirai malam melabuh, waktu rehat, waktu mesyuarat, masa lapang/senggang, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Hari Krismas, menujuh bulan, meniga hari, menujuh hari, menyeratus hari, menyeribu hari dan sebagainya.

Waktu juga dapat juga dinyatakan secara umum seperti awal pagi, lewat petang, jauh malam (lewat malam, larut malam) dan sebagainya. Selain itu, waktu dapat dinyatakan mengikut urutan masanya, seperti hari pertama, hari kedua, hari ketujuh dan sebagainya.

Tempoh masa melibatkan masa hari, minggu, bulan, tahun, dekad/dasawarsa (tahun 0 hingga tahun 9), kurun/abad (tahun 00 hingga tahun 99) dan alaf/milenium (tahun 000 hingga tahun 999). Dari segi zamannya, kita boleh menyatakannya sebagai zaman dua puluhan atau zaman 20-an, zaman Jepun, zaman penjajahan, zaman pascamerdeka dan sebagainya.

Di negara kita, kita ada musim kering atau musim kemarau dan musim hujan atau musim tengkujuh, tetapi di negara tertentu, terdapat musim bunga, musim panas, musim luruh dan musim sejuk. Tempoh masa dapat juga dinyatakan secara umum seperti sepanjang tahun, kira-kira jam 12 tengah hari, hampir jam tiga petang, selama dua tahun, sebelum tahun 2023, selepas tahun 2020, lebih atau kurang daripada dua tahun,  sejak/semenjak tahun 2021, sehingga tahun 2000, pada atau sebelum 1 Februari 2024, masa kecil, masa lampau, masa depan dan sebagainya. Urutan masa dari hari ke hari dapat dinyatakan seperti yang berikut:

Hari Urutan Hari Urutan
hari ini 0 esok/besok (bp) +1
kelmarin/semalam -1 lusa +2
kelmarin dulu/selumbari -2 tulat/langkat +3
kelmarin dulu balik sana -3 tubin/tonggeng +4

Nama bulan dapat dinyatakan mengikut takwim Barat atau takwim Islam.  Takwim Barat mengandungi 12 bulan, iaitu bulan Januari, Februari, Mac, April, Mei, Jun, Julai, Ogos, September, Oktober, November dan Disember. Takwim Islam juga mengandungi 12 bulan, iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.

Nama tahun juga dapat dinyatakan mengikut cara Barat atau cara Islam.  Takwim Barat meliputi tahun-tahun Sebelum Masihi (SM/BC) dan tahun-tahun Masihi (M/AD). Takwim Islam atau Takwim Hijrah pula bermula dari hari pertama bulan Muharam tahun 622 Masihi hingga kini.

Waktu dapat menjadi penerang frasa nama. Contohnya ialah kabus pagi, baju musim sejuk, senaman pagi, safari malam, berita hari ini, akhbar harian, majalah mingguan, langit malam, cuti musim panas, kursus tiga bulan, kursus waktu cuti dan sebagainya. Adakalanya masa berkaitan dengan sukan. Contohnya ialah separuh masa pertama, separuh masa kedua dan masa tambahan dalam permainan bola sepak.

Waktu berkaitan dengan sendi nama. Contohnya ialah sendi nama pada yang berkaitan dengan detik waktu tertentu, sendi nama sejak/semenjak yang berkaitan dengan permulaan waktu, sendi nama hingga/sehingga/sampai yang berkaitan dengan tamatnya waktu, sendi nama dari … hingga/sehingga/sampai yang berkaitan dengan tempoh waktu dan sebagainya. Waktu juga berkaitan dengan kata hubung keterangan waktu seperti apabila, setelah, sesudah, selepas, semasa, sewaktu, tatkala, ketika dan sebagainya. Selain itu, waktu berkaitan dengan kata bantu aspek seperti telah, sudah, baru, pernah, sedang, masih, akan dan sebagainya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.