Oleh Kho Thong Eng
10 Jun 2024, 10:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semua manusia ingin hidup sihat dan sempurna pada sepanjang masa. Namun demikian, ada kalanya terdapat kelainan atau ketumbuhan pada badan kita. Hal sedemikian merupakan sebahagian daripada asam garam atau dugaan hidup.  Dalam hal ini, kelainan dan ketumbuhan tersebut menawarkan sejumlah istilah yang patut kita kenali.

Sejak lahir lagi, sesetengah manusia mungkin ada porong (birth marks) pada badan mereka. Porong ialah tanda hitam yang wujud pada mana-mana bahagian badan sejak seseorang lahir ke dunia, dan tanda itu kekal seumur hidup. Sesetengah orang mengalami keadaan balar (albino), iaitu lahir tanpa bahan pewarna semula jadi pada rambut dan kulit yang menyebabkan rambut dan kulit menjadi putih, bulai, sabun atau  salih.

Sesetengah orang yang malang pula mungkin dihinggapi sopak (vitiligo), iaitu kehilangan warna dan pigmen pada kulit badan. Tompok-tompok ini pada asalnya kecil, kemudiannya membesar dan berubah bentuk. Tompok-tompok itu paling menonjol pada muka, tangan dan pergelangan. Kehilangan pigmen kulit juga amat ketara di sekitar bukaan badan seperti mulut, mata, lubang hidung, alat kelamin dan pusat. Sesetengah tompok itu meningkatkan pigmen kulit di sekeliling tepinya. Dalam hal ini, mereka yang dihinggapi oleh keadaan sopak mungkin mengalami kemurungan atau kecelaruan angin (mood).

Tahi lalat (mole) ialah bintik kecil yang berwarna coklat atau kehitam-hitaman pada permukaan kulit. Tahi lalat tumbuh akibat pengelompokan sel melanosit (melanocytes), iaitu sel penghasil warna kulit. Adakalanya, tumbuh juga bulu pada tahi lalat.

Pada zaman remaja, ada kemungkinan seseorang ditumbuhi jerawat (pimple) atau jeragat (black heads). Jerawat ialah bisul kecil pada muka, dan meliputi jerawat batu yang besar dan keras, dan jerawat nasi yang kecil yang apabila dipicit, keluarlah benda kecil seperti nasi.  Jeragat pula ialah bintik atau tompok gelap pada muka.

Bagi mereka yang berusia pula, mungkin terdapat tetua atau jagat (age spots) pada badan mereka, iaitu bintik-bintik yang perang kehitaman yang biasanya kelihatan pada muka atau pipi sebagai kesan pendedahan kepada cahaya matahari. Bayi atau kanak-kanak pula mungkin dtitumbuhi ruam (rashes) atau ruam panas, iaitu bintil-bintil merah yang gatal-gatal sebagai akibat daripada radang pada kelenjar peluh.

Panyakit cacar (pox) ialah penyakit kulit yang mudah berjangkit yang berbintik-bintik dan meninggalkan kesan atau parut pada kulit. Cacar mencakupi cacar air, cacar betul/nanah, cacar monyet dan cacar palsu atau campak. Cacar air ialah cengkering atau jeluntung, iaitu cacar yang mengandungi air. Cacar betul/nanah ialah cacar yang mengandungi nanah dan menjadikan warna kulit kelihatan lebih cerah atau putih daripada yang asal. Cacar monyet ialah cacar yang kecil-kecil. Cacar palsu atau campak (measles) ialah sejenis penyakit berjangkit yang menyebabkan penghidapnya demam dan ditumbuhi bintil-bintil merah pada kulit.

Ada manusia yang badannya ada pelbagai kelainan atau ketumbuhan (growth). Ketuat atau mata ikan (corn, wart) ialah biji atau bintil yang kecil dan keras pada anggota atau badan.

Ada manusia yang dihinggapi hernia, iaitu tonjolan lebihan tisu badan ke permukaan kulit melalui rongga atau liang.

Ada manusia yang mengalami burut (sakit pasang-pasang, sakit bodek, sakit ulur-ulur), iaitu isi perut turun dan biasanya kantung kemaluan menjadi besar.

Jika kaki atau tangan kita sering terdedah kepada tekanan atau geseran, kematu, kapal atau belulang (callouses) mungkin terjadi, iaitu kulit menjadi keras atau tebal.

Ada kalanya seseorang mungkin ditumbuhi bisul (boils), iaitu bengkak yang bernanah dan bermata pada kulit. Bisul merangkumi bisul lada, bisul sabut, bisul selinap dan bisul atau ulser mulut. Bisul lada ialah sejenis bisul yang amat kecil, manakala bisul sabut  ialah bisul besar yang ada banyak mata. Bisul selinap ialah bisul yang tidak pecah dan lama-lama lisut. Bisul mulut atau ulser mulut pula merupakan bengkak merah yang mengandungi nanah pada gusi.

Ada juga orang yang dihinggapi kudis (sores), iaitu sejenis penyakit kulit yang gatal dan menjangkit. Kudis api/anjing ialah kudis yang besar, manakala kudis buta (scabies) ialah kudis yang kecil-kecil pada badan. Tokak atau borok pula ialah kudis yang bernanah dan busuk.

Selain kelainan atau ketumbuhan di atas, seseorang mungkin dihinggapi penyakit berikut yang kelihatan pada badan mereka seperti yang berikut:

  • Buasir (piles), hemoroid atau puru sembilik ialah penyakit yang disebabkan urat darah pada dubur membengkak.
  • Kurap (ringworm) – penyakit kulit yang berjangkit yang berupa bintik-bintik merah yang bulat dan gatal.  penyakit ini disebabkan oleh jangkitan fungi.
  • Ekzema (eczema) ialah keradangan pada kulit yang turut mendatangkan bengkak, gatal dan ruam merah.  dalam hal ini, kulit kelihatan seperti melecur.
  • Herpes atau kayap – sejenis penyakit berjangkit yang disebabkan oleh virus, yang menyebabkan terjadinya lepuh-lepuh kecil berair pada kulit.  Herpes meliputi herpes zoster otikus, herpes okular, herpes genital, herpes simpleks, herpes labialis dan sebagainya.
  • Kusta (leprosy) – sejenis penyakit yang merosakkan tisu atau daging dengan menyebabkan bahagian-bahagian anggota atau tubuh pecah-pecah dan bernanah serta merosakkan jari-jari tangan dan kaki.
  • Untut (elephantiasis), sakit gajah atau elefantiasis – penyakit yang menyebabkan anggota badan, terutamanya kaki, menjadi tebal akibat jangkitan cacing filaria.
  • Beguk (goitre) atau serah beruk, bengkak cantik, goiter dan degum ialah bengkak pada bahagian hadapan leher yang disebabkan oleh pembesaran luar biasa pada kelenjar tiroid, iaitu kelenjar yang menghasilkan hormon pertumbuhan dan perkembangan tubuh

Selain penyakit yang kelihatan di luar badan, ada juga penyakit atau ketumbuhan yang mungkin terjadi di dalam badan, seperti yang berikut:

  • Sista (cyst)– ketumbuhan di dalam tubuh atau di bawah kulit yang mengandungi cecair.
  • Fibroid– sejenis ketumbuhan yang benigna (benign) atau tidak mengakibatkan barah terjadi. Biasanya, fibroid terjadi pada rahim wanita.
  • Polip (polyps) – sejenis ketumbuhan yang berlaku pada sebarang membran mukus, misalnya di dalam hidung.
  • Tumor – tisu atau gumpalan sel yang membesar atau membengkak secara berpenyakit atau tidak normal.

Terdapat peribahasa yang berkaitan dengan kelainan atau ketumbuhan pada badan, seperti yang berikut:

  • Sebagai bisul hampir memecah –  kesulitan yang hampir diatasi.
  • Bagai tokak lekat di kening –  malu yang tidak dapat disembunyikan.
  • Bagai rupa tokak dibasuh –  sangat buruk rupa.
  • Kudis menjadi tokak –  perkara yang kecil menjadi besar.
  • Mengubik kepala kudis orang –  membuka rahsia orang.
  • Harapkan si untut menggamit, kain koyak diupahkan – percaya akan orang yang malas.
  • Kaki untut dipakaikan gelang – hendak memperelok sesuatu tetapi keadaannya menjadi bertambah buruk.
  • Lain yang bengkak, maka yang bernanah lain, yang untut lain, yang mengisut lain – lain yang bersalah, lain yang kena hukum.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.