Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBunga ialah sejenis tumbuhan yang menjadi kegemaran manusia sejak zaman-berzaman di seantero dunia. Ada bunga yang tumbuh meliar dan ada juga bunga yang ditanam khas oleh manusia. Daya tarikan bunga terbit daripada warnanya yang beraneka rona dan baunya yang harum semerbak. Jelaslah bahawa bunga sering menjadi hiasan perdana yang menyerikan halaman rumah dan suasana majlis
Bunga yang menjadi hiasan halaman, rumah, orang atau tempat majlis mungkin merupakan bunga hidup, bunga kering atau bunga buatan/tiruan. Bunga hidup ialah bunga segar yang dipetik dari pokoknya, bukan bunga buatan/tiruan. Bunga kering ialah bunga hidup yang dikeringkan untuk dijadikan hiasan, jambangan, dan sebagainya. Bunga buatan/tiruan pula ialah bunga yang dibuat daripada kertas, plastik, logam dan lain-lain.
Bunga yang tumbuh secara semula jadi atau ditanam terdiri daripada pelbagai spesies, seperti bunga kertas, dahlia, melur, melati, cempaka, kenanga, kemboja, bunga raya/sepatu, bunga sena, bunga teluki, bunga serunai, bunga tanjung dan sebagainya. Selain itu, bunga berkaitan dengan pelbagai istilah khusus. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga betina | bunga yang berpistil sahaja |
Bunga jantan | bunga yang berstamen sahaja |
Bunga dua jantina | bunga yang stamen dan pistilnya terdapat pada kuntum bunga yang sama |
Bunga sejantina | bunga yang stamen dan pistilnya terdapat pada kuntum bunga yang berlainan |
Bunga dulu betina | bunga yang pistilnya lebih dahulu masak daripada stamen |
Bunga dulu jantan | bunga yang stamennya lebih dahulu masak daripada pistil |
Bunga (se)lengkap | sekuntum bunga yang mempunyai salut, ranggi, stamen
dan pistil |
Ada juga benda tertentu yang dikaitkan dengan bunga kerana bentuknya menyerupai bunga atau bercorak. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga pamor | lukisan yang ditempa pada bilah keris dengan waja putih |
Bunga tayar | permukaan tayar yang bercorak |
Bunga api | kembang api, mercun yang mengeluarkan api yang berupa bunga |
Bunga barah (puru, kusta) | bintik putih-putih pada kulit tanda mulai dihinggapi penyakit |
Bunga badam | tompok-tompok merah pada kulit tanda penyakit kusta |
Bunga padi | jahitan sulaman yang bermotifkan bunga padi |
Bunga pending | tepi pada bakul |
Bunga sena | nira nyiur sewaktu mulai menggelegak pada masa membuat gula melaka |
Bunga pasir | pasir halus-halus yang terapung-apung pada permukaan air |
Bunga kuku | bahagian yang putih pada pangkal kuku |
Bunga silat | pergerakan asas dalam seni silat |
Sifat bunga yang cantik menjadikannya sebagai nama pilihan untuk sebilangan wanita. Contoh nama wanita yang berkaitan dengan bunga ialah Melur, Dahlia, Cempaka, Mawar, Melati dan sebagainya. Selain itu, bunga dikaitkan dengan orang, benda atau perkara yang cantik, indah atau baik, seperti yang berikut:
Bunga majlis | wanita cantik yang menyerikan majlis |
Bunga bahasa | ungkapan yang meliputi kiasan, simpulan bahasa dan
peribahasa untuk memperindah percakapan |
Bunga bibir | kata-kata yang manis |
Bunga karang | sejenis tumbuhan pada karang |
Bunga lagu | patah lagu yang biasanya terletak pada hujung lagu supaya iramanya lebih merdu |
Bunga kehidupan | kesenangan hidup |
Bunga bangsa | generasi muda harapan bangsa, orang yang berjuang untuk bangsa dan negara dalam bidang tertentu |
Bunga rampai | campuran bunga yang dicerai-ceraikan, kumpulan cerita yang baik-baik, lagu-lagu pilihan |
Bunga tanah | lapisan tanah sebelah atas yang subur |
Kecantikan bunga juga menjadikannya sebagai penyeri majlis, terutamanya majlis perkahwinan. Ada juga bunga yang dijadikan hiasan badan atau pakaian. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga serunai | cincin yang dibawa sewaktu pergi meminang sebagai tanda bertanya |
Bunga sirih | sirih junjung, sirih pengantin |
Bunga rampai | beberapa jenis bunga yang dicerai-ceraikan kelopaknya dan dicampurkan dengan daun pandan yang dihiris halus-halus |
Bunga ketar/goyang/getar | bunga kertas pada dawai sebagai perhiasan rambut pengantin perempuan |
Bunga manggar | sejenis perhiasan daripada kertas berwarna-warni yang
berupa seperti manggar yang dipasangkan pada sebatang kayu dan digunakan dalam upacara keraian seperti perkahwinan, sambutan orang besar-besar, dll) |
Bunga telur | telur yang dihadiahkan kepada tetamu yang hadir dalam sesuatu majlis perkahwinan (biasanya bertangkai dan disertai oleh hiasan bunga atau diberi berbekas) |
Bunga jurai | perhiasan rambut yang berupa bunga yang bergantung
berumbai-rumbai daripada logam atau bunga segar dan biasanya dipakai oleh penari tradisional dan pengantin |
Bunga malai | kalungan bunga daripada kuntum-kuntum segar |
Bunga songkok | kerongsang yang disemat pada bahagian hadapan songkok sebagai hiasan |
Bunga tangan/pegang | bunga jambangan buatan atau bunga segar yang dipegang oleh pengantin perempuan |
Bunga dada/roset | sejambak bunga kecil yang disemat pada bahagian dada
baju penyambut tetamu, penanggah, dsb |
Bunga sikat | bunga buatan yang dipasang pada sikat sebagai perhiasan rambut |
Bunga kundai (sanggul, sisir) | bunga buatan untuk perhiasan kundai (sanggul, sisir) |
Bunga sunting | 1. cucuk sanggul yang dibuat daripada emas kuningan,
permata dsb, bermotif bunga-bungaan dan disusun pada sanggul, 2. bunga yang diselitkan pada sanggul atau di belakang telinga |
Bunga tabur | hiasan dengan corak yang berasingan pada songket |
Bunga tampal | kepingan bunga daripada kain yang dijahit sebagai hiasan pada baju, cadar, alas meja, dsb |
Bunga mas | 1. Bunga yang dibuat daripada emas, 2. Bunga daripada emas yang dahulu diberikan oleh Sultan Kedah sebagai ufti kepada raja Siam |
Bunga juga membawa maksud tanda atau alamat akan terjadinya sesuatu perkara. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga-bunga kekacauan | alamat atau tanda kekacauan yang akan berlaku |
Bunga angin | ribut permulaan, angin sepoi-sepoi yang mendahului angin ribut |
Bunga merupakan bahagian pokok yang berkaitan dengan pembiakan. Hal ini dikaitkan dengan wang yang dijanakan dengan pinjaman yang diberikan. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga wang | bayaran tambahan yang dikenakan pada wang yang
dipinjamkan |
Bunga biasa/tepat | bunga mudah yang dikira secara tahunan |
Bunga/faedah kompaun | jumlah faedah yang dikira dengan mendarabkan kadar faedah dengan jumlah pokok yang telah dicampurkan dengannya jumlah faedah yang diperoleh bagi tempoh yang terdahulu |
Ada bunga yang dijadikan sebagai perasa masakan dan rempah-ratus atau merupakan herba. Sila lihat contoh yang berikut:
Bunga kantan | bunga yang berbau kuat, biasanya dijadikan perasa makanan, atau dihiris halus dan dimakan sebagai ulam |
Bunga cengkih | kudup bunga yang kecil daripada pokok cengkih yang dikeringkan untuk dijadikan rempah dalam masakan, kosmetik dan ubat-ubatan tradisional
|
Bunga telang | bunga berwarna biru yang menarik dan boleh digunakan untuk mewarnakan makanan, terutamanya nasi kerabu |
Selain bunga yang mendukung maksud positif, ada simpulan bahasa dengan kata bunga yang bermaksud kiasan negatif. Contohnya ialah bunga raya yang bermaksud kiasan “perempuan jalang” dan bunga dedap yang bermaksud kiasan ‘orang yang rupanya elok tetapi tidak berbudi bahasa’.