Oleh Maznah Daud
22 Jun 2024, 17:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seremban  Program Gotong-Royong MADANI Tahun 2024, Sekolah Kebangsaan Lavender Heights, Seremban telah berjaya disempurnakan dengan pelibatan warga sekolah, peserta Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) SRBE 13 Ambilan 1 (Januari) Institut Aminuddin Baki, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan komuniti setempat Taman Bandar Senawang, hari ini.

Program Gotong-Royong MADANI di sekolah yang terkenal dengan slogan “Mewangi Seharum Lavender” ini bagi menyahut usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memupuk perpaduan dalam kalangan warga pendidikan dan mengaktifkan peranan ibu bapa, masyarakat dan komuniti melalui pelibatan PIBG. Peruntukan khas juga disalurkan oleh KPM kepada semua sekolah melalui PIBG untuk menjayakan program ini.

Pelaksanaan program yang menjangkau usia dua tahun yang bermula pada tahun 2023 ini dilaksanakan di bawah Jawatankuasa Induk Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan (3K) Sekolah Kebangsaan Lavender Heights yang diterajui oleh YBrs. Puan Hajjah Normahwti Japar sebagai Penyelaras Program bagi memantau dan menambah baik aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan sekolah bagi mencapai hasrat “Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara” bagi menuju kemenjadian murid yang holistik.

Program hari ini diserikan lagi dengan kehadiran 13 orang peserta NPQEL, SRBE 13 Ambilan 1 (Januari) Institut Aminudin Baki bagi melengkapkan Modul Jalinan Pintar Korporat (JPK) yang menyiapkan Stesen Nilam Lavender melalui pengumpulan dana dengan agensi luar bagi melukis mural dan menyediakan stesen bacaan.

Stesen ini merupakan anjakan paradigm sekolah untuk turut terlibat bahawa eksosistem pembelajaran Abad Ke-21 telah berubah konsep kepada sistem pembelajaran (e-learning) yang meluas cakupannya. Hal ini sejajar juga untuk menjayakan Program UP NILAM SK Lavender Heights, dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan murid-murid.

Laman santai Stesen NILAM Lavender.

YBrs. Puan Suziana Awaludin, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Lavender Heights dalam ucapan alu-aluan pada majlis perasmian penutupan program berkata, pelibatan semua pihak dalam aktiviti pada hari ini menunjukkan jalinan rapat dalam memastikan persekitaran sekolah kondusif untuk sesi pengajaran dan pembelajaran dan kegunaan warga sekolah.

Sementara itu, YBrs. Tuan Megat Affandi Datuk Wira Haji Ismail, Timbalan Pengarah Kanan (Kluster Khidmat Latihan), Institut Aminuddin Baki, Bandar Enstek dalam ucapan perasmian penutupan pula berkata bahawa Program UP NILAM yang merupakan jaringan dan jalinan terbaik peserta NPQEL dengan pihak sekolah dan pihak luar untuk mencapai titik persamaan untuk kemenjadian murid.

Peserta program perlu belajar daripada guru besar dan pentadbir cara mengendalikan program-program yang berimpak tinggi kepada kemenjadian murid.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sepanjang aktiviti gotong-royong termasuklah mengecat bilik-bilik khas, pembersihan dan menutup longkang, mengemas sudut-sudut panitia dan bawah tangga serta mengemas selia Stesen Nilam Lavender dan membersihkan dataran perhimpunan.

Pagar utama sekolah berwajah baharu.

 

Ibu bapa yang hadir bergotong-royong membersihkan dan mencantikkan kawasan sekolah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.