Oleh Kho Thong Eng
24 Jun 2024, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia dapat menyampaikan maklumat dalam pernyataan positif atau negatif. Pernyataan negatif diperlukan untuk menafikan sesuatu perkara atau keadaan. Satu caranya ialah penggunaan kata nafi tidak dan bukan. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia bukan guru.

1b.  Hadiah ini bukan untuk adiknya.

1c.  Dia tidak berusaha.

1d.  Dia tidak pandai.

 

Dalam kelompok ayat 1, kata bukan menafikan kata nama guru dan frasa sendi nama untuk adiknya, manakala kata tidak menafikan kata kerja berusaha dan kata adjektif pandai.

Sama seperti dalam Matematik, dua kata negatif atau kata nafi membawa maksud positif. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Bukan dia tidak tahu tentang hal itu.

2b.  Dia tahu tentang hal itu.

 

3a.  Takkan dia tak tahu tentang hal itu.

3b.  Memang dia tahu tentang hal itu.

 

4a.  Yang layak tak lain tak bukan ialah mereka yang berpengalaman.

4b.  Yang layak memanglah/hanyalah mereka yang berpengalaman.

 

5a.  Tidak boleh tidak kita harus menjemputnya.

5b.  Kita harus menjemputnya.

 

Dalam ayat 2a, 3a, 4a dan 5a, kehadiran bersama kata nafi tidak dengan kata nafi tidak atau bukan menjadikan pernyataannya positif (bandingkan ayat-ayat tersebut dengan ayat 2b, 3b, 4b dan 5b).

Jika kata nafi tidak atau bukan digandakan, hal yang dinyatakan masih negatif.  Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia bercakap tentang hal yang bukan-bukan.

6b.  Dia bercakap tentang hal yang tidak-tidak.

6c.  Dia bercakap tentang hal yang tidak munasabah.

 

Dalam ayat 6a dan 6b, kata nafi ganda bukan-bukan dan tidak-tidak membawa maksud negatif, iaitu “tidak munasabah” (lihat ayat 6c).

7a.  Jangan awak hadir.

7b.  Jangan awak tidak hadir.

7c.  Awak harus hadir.

 

8a.  Jangan-jangan dia hadir.

8b.  Harap-harap dia tidak hadir.

 

9a.  Jangan-jangan dia tidak hadir.

9b.  Harap-harap dia hadir.

 

Dalam ayat 7a, kata larangan jangan bermaksud negatif, manakala dalam ayat 7b, gandingan jangan dengan tidak bererti ‘harus’ (lihat ayat 7c). Dalam ayat 8a, kata jangan-jangan membawa konotasi negatif (lihat ayat 8b), manakala dalam ayat 9a, kata jangan-jangan yang diiringi kata nafi tidak membawa konotasi positif (lihat ayat 9b).

Ada sesetengah kata yang cenderung bersifat positif atau sebaliknya. Sila lihat contoh yang  berikut:

10a.  Saya menjamin bahawa dia akan lulus.

10b.  *Saya menjamin bahawa dia tidak akan lulus.

 

11a.  Dia bukan calang-calang orang.

11b.  *Dia calang-calang orang.

11c.  Dia orang yang hebat.

 

12a.  Dia bukan sebarang orang.

12b.  *Dia sebarang orang.

12c.  Dia orang yang hebat.

 

13a.  Kecantikannya tiada tolok bandingnya.

13b.  *Kecantikannya ada tolok bandingnya.

13c.  Dia paling cantik.

 

14a.  Sumbangannya bukan (alang) kepalang besar.

14b.  *Sumbangannya (alang) kepalang besar

14c.  Sumbangannya banyak.

 

15a.  Tentera musuh tidak terpermanai banyaknya.

15b.  *Tentera musuh terpermanai banyaknya.

15c.  Tentera musuh banyak sekali.

 

Dalam ayat 10a, kata menjamin biasanya membawa konotasi positif. Dalam ayat 11a, 12a, 13a dan 14a, kata calang-calang, sebarang, kepalang, tolok bandingnya dan terpermanai biasanya dinyatakan secara negatif, tetapi maksudnya positif (bandingkan ayat-ayat tersebut dengan ayat 11c, 12c, 13c, 14c dan 15c).

Ada kalanya sesuatu yang dinyatakan tanpa kata nafi atau kata larangan, tetapi maksudnya tetap negatif. Sila lihat contoh yang berikut:

16a.  Usah layan orang itu.

16b.  Tak usah layan orang itu.

 

17a.  Pedulikan orang itu.

17b.  Jangan pedulikan orang itu.

17c.  Layanlah orang itu.

 

Dalam ayat 16a dan 17a, kata usaha sama erti dengan tak usah (lihat ayat 16b), dan kata pedulikan sama dengan jangan pedulikan (lihat ayat 17b). Contoh pernyataan positif ialah ayat 17c.

Kalau sesuatu dinyatakan secara positif atau negatif dalam bahasa terbalik, maksudnya ialah yang sebaliknya. Sila lihat contoh yang berikut:

18b.  Lepas ini tak usahlah belajar. Bermain sahajalah hingga peperiksaan tiba.

18b.  Berlumbalah sepuas hati. Kalau dilanggar kereta hospitalkan ada!

 

Ada bahasa kecil atau bahasa merendah yang kedengaran negatif, tetapi sebenarnya positif.  Bahasa itu digunakan untuk merendah diri sahaja. Sila lihat contoh yang berikut:

19a.  Silalah makan hidangan yang tidak sepertinya ini.

19b.  Silalah masuk ke teratak buruk saya.

19c.  Terima pemberian yang tidak seberapa ini.

 

Dalam kelompok ayat19, kata-kata seperti tidak sepertinya, teratak buruk dan tidak seberapa bukan menyatakan kekurangan atau ketidaksempurnaan pada sesuatu, tetapi bertujuan untuk merendah diri.

Ada kata yang membawa maksud yang positif atau negatif, bergantung pada konteks ayatnya. Sila lihat contoh yang berikut:

20a.  Ubat itu memang manjur.  Pesakit yang mengambilnya pasti sembuh.

20b.  Racun itu memang manjur.  Sesiapa yang mengambilnya pastinya mati.

 

21a.  Geram hatinya apabila dia melihat bayi yang comel itu.

21b.  Geram hatinya apabila anaknya melawannya.

 

Dalam ayat 20a dan 21a, kata manjur dan geram bermaksud positif, tetapi dalam ayat 20b dan 21b, kata-kata tersebut bermaksud negatif.

Ada sesetengah kata yang biasanya bernada negatif dalam simpulan bahasa.Contohnya ialah kata kaki. Sila lihat contoh yang berikut:

kaki arak kaki botol kaki bangkang kaki ponteng
kaki buli kaki gaduh kaki umpat kaki perempuan
kaki tengkar kaki tunggang kaki judi kaki ampu
kaki bodek kaki betina kaki gebang kaki joli
kaki pukul kaki rambu kaki todi kaki tidur

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.