Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangEntahkan jahil, entahkan jumud, masih ada dalam kalangan warganegara Malaysia yang memandang rendah akan keupayaan dan kepentingan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar pendidikan, sekali gus sebagai bahasa ilmu pengetahuan yang setanding dengan bahasa-bahasa dunia yang lain. Bahkan dek kedangkalan fikiran dan kesingkatan akal, sesetengah pihak masih lagi berpandangan yang BM ialah bahasa yang mundur.
Ironinya, mereka yang berpandangan sinis dan sarkastik itu dalam kalangan yang terpelajar – sepatutnya mereka yang terpelajar itu lebih terdedah kepada perkembangan semasa serta mutakhir BM, dan tidak menyatakan pandangan yang memperlihatkan kedangkalan fikiran dan kejengkelan sikap mereka terhadap BM dengan menyatakan bahawa BM itu bahasa yang mundur.
Sebelum dilanjutkan pembicaraan tentang sama ada mundur atau tidak BM itu, molek kiranya diteliti terlebih dahulu akan maksud perkataan “mundur”. Dalam “mundur”. Antara erti kata adjektif “mundur” ialah berkenaan dengan kawasan, negara, bangsa dan lain-lain yang tidak maju atau membangun dari segi ekonomi, pembangunan dan sebagainya.
Selain itu, kata “mundur” juga membawa maksud berkenaan dengan pencapaian atau prestasi yang tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Seterusnya, dan sesuai dengan mauduk perbincangan dalam rencana ini, makna kata “mundur” adalah berkenaan dengan pemikiran yang kolot dan sukar menerima pembaharuan – kata “kolot” dalam Kamus Dewan Perdana (2020:1135) diertikan sebagai berkenaan dengan seseorang atau pemikirannya yang terkebelakang, tidak mahu berubah atau mengikut peredaran masa, tidak canggih, tidak moden dan ketinggalan zaman.
Sementara itu, dalam bahasa Inggeris terdapat pelbagai erti perkataan “mundur”, termasuklah decadent, decline, retrograde, degenerate, deteriorate, regress, dan backward. Jika demikianlah pandangan warganegara Malaysia sendiri terhadap BM, alangkah aibnya sikap dan kolotnya pemikiran rakyat kita sendiri terhadap bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara kita. Ironinya, mereka yang berpandangan bahawa BM itu mundur sebenarnya berfikiran mundur, serta kolot dan mengolotkan diri sendiri kerana tidak mengikut kemajuan mutakhir dan perkembangan semasa bahasa Melayu.
Justeru, tidak benar sekiranya dikatakan BM itu bahasa yang mundur berdasarkan hujah-hujah yang berikut. Pertama, BM bukan bahasa yang mundur kerana bahasa yang mundur tidak mungkin menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sesebuah negara, termasuklah bagi bangsa dan negara Malaysia. Bahkan BM sudah bertaraf antarabangsa sejak sekian lama yang sekali gus mengabsahkan sejarah kemajuan serta kewibawaan bahasa itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.
Menurut James T. Collins dalam buku Manifesto Budaya. Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa (1996:102): Sejarah bahasa Melayu antarabangsa tidak pudar dalam edaran zaman. Sekarang pun bahasa Melayu berwibawa sebagai bahasa kebangsaan di empat buah negara dan dituturkan juga sebagai bahasa minoriti di empat benua. Maka itu, BM diangkat sebagai bahasa kebangsaan negara kewibawaan bahasa itu sebagai bahasa yang moden dan maju.
Satu daripada fungsi utama BM sebagai bahasa yang moden dan maju dalam konteks status quonya sebagai bahasa rasmi negara adalah apabila bahasa itu dimaktubkan sebagai bahasa pengantar pendidikan dari peringkat rendah hinggalah ke peringkat pengajian tinggi dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini. Dari segi logiknya, tidak mungkin bahasa yang mundur diangkat dan diabsahkan sebagai bahasa rasmi negara, khususnya sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan, dan pembinaan peradaban bangsa.
Arkian, oleh sebab BM itu bahasa yang maju, bahasa itu juga diajarkan dan dipelajari di pelbagai universiti di luar negara, terutama di Republik Rakyat China, khususnya di Beijing Foreign Studies University (BFSU). Sehubungan dengan itu, disebabkan BM bahasa yang maju dan berwibawa sebagai bahasa pengantar pelbagai bidang ilmu, maka ramai pelajar dari luar negara menyambung pengajian tinggi masing-masing, dan mengambil kursus Pengajian Melayu di negara ini selain melanjutkan pengajian pada peringkat sarjana dan doktor falsafah dalam BM.
Bukti yang sahih tentang betapa majunya, dan tidak mundurnya BM sebagai pengantar pendidikan dari peringkat rendah hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi di negara ini disebabkan oleh Sistem Pendidikan Kebangsaan yang BM ialah bahasa pengantarnya telah melahirkan jutaan graduan, tenaga pakar pelbagai bidang ilmu, golongan profesional, profesor, sarjana dan lain-lain yang menjadi tonggak serta modal insan utama yang memajukan bangsa serta membangunkan negara ini dengan cemerlangnya.
Menurut Tun Abdul Rahman dalam edaran Syarahan Perdana Bahasa Melayu dalam Pembinaan Tamadun Tinggi (DBP, 2004:33-34): Tidak kurang daripada 5.4 juta lepasan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia telah berjaya menamatkan Pendidikan menengah dengan berbahasa pengantar BM. Selama kira-kira 30 tahun, berlangsungnya Sistem Pendidikan Kebangsaan sepenuhnya, iaitu sejak tahun 1970. Mereka itulah yang kemudian melanjutkan pengajian di peringkat diploma, ijazah pertama dan ijazah lanjutan, baik di dalam mahupun di luar negara, dan merekalah yang menjadi tenaga penggerak pembangunan negara dalam pelbagai bidang.
Tegasnya, mana mungkin bahasa yang dikatakan mundur oleh kalangan yang berpendirian serta bersemangat yang keterlaluan dalam memperjuangkan kepentingan bahasa Inggeris (BI), dan sebaliknya memperlihatkan sikap negatif serta tidak konstruktif terhadap kepentingan dan kewibawaan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan di negara yang bermaruah lagi berdaulat ini. Sementara itu, paling tidak pun, kalangan tersebut tidak wajar memperlihatkan tindak-tanduk, apatah lagi menonjolkan sikap meremehkan keupayaan serta kepentingan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan yang maju, dan bahasa yang berwibawa dalam mengilmukan umat Malaysia yang tercinta ini, khususnya anak bangsa bumiputeranya.
Perihal betapa tidak mundurnya BM juga sudah terbukti dengan kewibawaan dan kecemerlangan BM sebagai bahasa persuratan, dan penunjang peradaban bangsa. Malahan, BM sudah bertaraf bahasa moden yang tidak dapat dipertikaikan keabsahannya. BM yang moden itu juga bahasa yang telah dibakukan – bahasa baku ialah satu ragam bahasa yang digunakan untuk suasana dan keperluan rasmi serta formal. Menurut Awang Sariyan dalam bukunya, Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia Edisi Kedua (DBP, 2006:32): Bahasa baku dapat juga dikatakan sebagai bahasa golongan terpelajar, iaitu golongan yang berperanan menggerakkan sektor-sektor penting seperti pentadbiran, Pendidikan, kehakiman, perdagangan, dan sebagainya.
Paradoksnya, hanya golongan terpelajar yang dekaden jati dirinya serta yang jahil tentang kemajuan BM sahaja yang tidak mahu menerima hakikat bahawa bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara itu sudah terbukti berjaya memainkan peranannya sebagai bahasa pengantar pendidikan dan ilmu. Tidak mustahil juga golongan terpelajar yang segelintir itu tetap bertanggapan bahawa BM ialah bahasa yang mundur kerana mereka sudah ketinggalan nun jauh di belakang dalam soal dan selok-belok BM yang sudah berkembang pesat sebagai bahasa moden dan bahasa ilmu.
Hatta, untuk menutup kelemahan dan kekurangan diri, mereka memainkan sentimen klise dengan mengatakan bahawa BM itu bahasa yang mundur, jadi tidak layak menjadi bahasa pengantar pendidikan dan ilmu pengetahuan. Berkemungkinan juga golongan yang kononnya terpelajar itu masih lagi sendeng ke Barat pemikiran mereka, lantas gemar amat untuk membanding-bandingkan BM dengan BI, dan berpersepsi bahawa BI sahaja yang maju, serta wajar menjadi bahasa pengantar pendidikan dan ilmu pengetahuan waima BM terbukti lebih wajar serta pragmatik diteruskan peranannya sebagai bahasa pengantar pendidikan dan ilmu pengetahuan di negara ini.
Barang diingat, masing-masing bahasa mempunyai kelebihan dan kekuatannya yang tersendiri. Begitu juga dengan BM, bahasa itu ada kelebihan dan kekuatannya sendiri yang mewajarkan bahasa itu menjadi bahasa pengantar pendidikan serta ilmu pengetahuan, dan sebagai bangsa yang bermaruah dan mempunyai harga diri, setiap lapisan masyarakat di negara ini, tidak wajar memandang rendah akan kekuatan dan kemampuan BM. Satu daripada kekuatan BM ialah bahasa itu dinamik sifatnya, serta mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai perkembangan dan perubahan yang berlaku di sekitarnya.
Chew Fong Peng dalam bukunya, Bahasa Melayu Titian Ilmu Jilid II (JKKN, 2008:4) menegaskan bahawa: Kekuatan bahasa Melayu berbeza daripada bahasa Sanskrit atau Greek – Roman yang pupus akibat tidak dapat menyesuaikan diri. BM mempunyai kemampuan untuk puluhan abad menyesuaikan diri dengan apa-apa jua perubahan persekitarannya. Oleh yang demikian, pandangan-pandangan bahawa bahasa Melayu kurang mampu menghadapi zaman moden patut dibetulkan.
Kemajuan yang cukup ketara yang telah dicapai oleh BM ialah dalam bidang persuratan – BM ternyata bahasa yang begitu maju, dan jauh daripada berunsur kemunduran, dan sebaliknya berjaya menjadi bahasa persuratan yang sangat tinggi nilai ilmunya, nilai keindahannya, nilai keseniannya dan nilai kesusasteraannya. Kamus Dewan Perdana (2020:2185) mengertikan istilah persuratan sebagai: Semua buku, terbitan, hasil karya, tulisan dan sebagainya tentang sesuatu bidang ilmu, topik, kajian dan sebagainya; kepustakaan ilmu dan pengetahuan dalam hal yang berkaitan dengan sastera; kesusasteraan.
Persuratan Melayu, yakni buku, terbitan, hasil karya tulisan dan sebagainya yang ditulis dalam BM sudah berkembang maju berabad-abad lamanya, terutama yang terserlah dalam karya-karya agung Melayu yang ditulis dalam bahasa persuratan yang serba tinggi nilainya. Karya agung Melayu seperti yang ditakrifkan oleh Hassan Ahmad dalam makalahnya karya agung Melayu, Sulalat-Al-Salatin dan Hikayat Hang Tuah: Keunggulan Akal Budi Bangsa Melayu Sepanjang Zaman (Yayasan Karyawan, November 2011:4) mentakrifkan karya agung Melayu sebagai: Karya yang nilainya tahan zaman, yakni kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu hingga hari ini. Nilai yang dimaksudkan ialah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah – semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa.
Sesungguhnya, kelahiran karya-karya agung Melayu yang bersepadu dari segi bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa serta nilai bahasanya yang tinggi dan indah jelas menunjukkan bahawa BM itu bukan bahasa yang mundur seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak yang jahil bahasa, dan tanpa fakta serta data yang autentik untuk menyokong dakwaan mereka – dakwaan mereka bahawa BM itu bahasa yang mundur hanya semata-mata berupa pandangan dangkal dan tanggapan nakal mereka, sekali gus memperlihatkan sikap cauvinis dan prejudis setengah-setengah pihak terhadap kewibawaan dan juga keberhasilan BM sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa rasmi negara, khususnya sebagai bahasa pengantar pendidikan di nusa bangsa Malaysia yang bertuah ini.
Sementara itu, perlu juga dibahaskan tentang kayu ukur atau penanda aras yang digunakan oleh pihak-pihak tertentu yang berpandangan bahawa BM itu bahasa yang mundur. Pandangan serong dan tanggapan tidak berasas terhadap BM itu bukan suatu gejala yang baharu, tetapi sudah dipropagandakan dan dipolemikkan sejak sekian lama dengan menggunakan pelbagai ungkapan seperti maju dan tidak maju (tidak maju sama maksudnya dengan mundur). Menurut Charles A. Ferguson (dalam Hassan Ahmad, 2016:259): …Dialek baharu akan menjadi “bahasa maju” apabila ia sudah mencapai taraf atau bentuk yang disebut sebagai “bahasa standard” atau “bahasa baku”, yakni bahasa yang telah mengatasi segala ragam dialek daerah dan dialek sosial bahasa itu.
Justeru, berdasarkan pernyataan Ferguson tersebut, maka boleh ditegaskan BM ialah bahasa yang maju atau tidak mundur kerana bahasa itu telah distandardkan atau dibakukan. Dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (DBP, 1999:325), takrifan bahasa baku ialah: Ragam bahasa yang digunakan sebagai alat komunikasi oleh semua penutur dari pelbagai latar belakang wilayah dan sosiobudaya yang berbeza. Ragam ini dapat diterima dan difahami oleh semua golongan. Bahasa baku mengatasi perbezaan tempatan dan perbezaan kelas yang ada dalam dialek atau ragam lain. Bahasa Melayu menjadi bahasa baku negara ini apabila bahasa Melayu digunakan dalam segala urusan rasmi negara.
Ironinya, mereka yang mengata-ngatai BM itu sebagai bahasa yang mundur sebenarnya berfikiran jumud, dan mundur dari aspek pengetahuan am serta jahil maklumat mutakhir tentang kemajuan yang luar biasa yang telah dicapai oleh BM, terutamanya keberadaan bahasa itu sebagai bahasa rasmi negara, dan berkembang maju dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini.
Sementara itu, perlu juga disinggung akan peri perlunya BM yang maju itu terus dimartabatkan sebagai bahasa pengantar pendidikan, dan apa-apa juga kesangsian terhadap kemampuan bahasa itu sebagai bahasa ilmu yang dicetuskan oleh pelbagai pihak yang jahil, prejudis dan cauvinis bahasa, tidak harus dilayan. Sebaliknya, berbagai-bagai insiatif untuk memartabatkan dan memantapkan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan hendaklah dilipatgandakan.
Terkait dengan persoalan itu, dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 –2025 (Laporan Tahunan 2021) dengan jelas dinyatakan bahawa: Inisiatif Pemartabatan Pendidikan Bahasa Melayu diwujudkan untuk menyokong program memartabatkan BM bagi mempertingkatkan keterampilan berbahasa murid dalam BM. Pernyataan itu jelas memperlihatkan bahawa BM bukanlah bahasa yang mundur.
Begitu juga dengan Kerangka Standard Bahasa Melayu (KSBM) yang telah dibangunkan ialah dokumen rujukan untuk memastikan standard bahasa yang digunakan dalam kurikulum dan pentaksiran serta penyediaan bahan bantu mengajar mata pelajaran BM.
Seyogianya, kemajuan yang telah dicapai oleh BM setanding dengan BI, khususnya sebagai bahasa pengantar pendidikan. Hatta, pandangan sinis, skeptikal, sarkastik dan negatif terhadap kemodenan serta kecanggihan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan yang berwibawa tidak harus menjadi stigma yang merencatkan jati diri mereka yang mengaku sebagai warganegara Malaysia, serta yang telah menikmati banyak kesenangan dan kemakmuran kerana status kewarganegaraan mereka, kendati ada antara mereka yang bersikap cauvinis dan prejudis terhadap kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan, serta peranan BM sebagai bahasa rasmi yang sudah jauh lebih maju dari segala aspek.
Maka itu, bolehlah dikatakan bahawa hanya orang yang berfikiran sempit serta pemuja tegar bahasa asing, khususnya yang berpandangan dangkal bahawa BI sahaja yang berkemampuan menjadi bahasa pengantar pendidikan dan bahasa ilmu yang masih menjadi kera sumbang, dan malu alah serta cacing naik ke mata sejauh yang berhubung kait dengan kewibawaan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan mahupun sebagai bahasa pengantar ilmu pengetahuan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan di negara ini.
Bagi mereka yang memandang rendah terhadap keberadaan BM sebagai bahasa pengantar pendidikan dan ilmu pengetahuan, sekali gus bahasa utama untuk memandaikan anak bangsa Malaysia, golongan prejudis dan cauvinis ekstrem BM itu tetap akan mencari seribu satu alasan serta dalih untuk tidak menerima hakikat yang BM yang moden itu telah berhasil sebagai bahasa pengantar pendidikan dan bahasa ilmu, sekali gus untuk merendah-rendahkan martabat BM dengan menyebarkan mitos bahawasanya “BM itu bahasa yang mundur”. Bagi kelompok minoriti terpelajar yang berfikiran singkat itu, lantaran BM ialah bahasa yang mundur menurut kedangkalan pandangan serta pertimbangan akal mereka yang tidak waras, maka tidak wajarlah BM menjadi bahasa pengantar pendidikan dan bahasa ilmu.
Hatta, memang diakui bahawa BM itu perlu senantiasa dibangunkan dan disempurnakan agar kekal pragmatik sebagai bahasa pendidikan anak bangsa, serta tekal menjadi bahasa ilmu yang berwibawa zaman-berzaman, dan sesuai dengan perkembangan semasa dunia pendidikan serta perubahan persekitaran yang turut mempengaruhi perkembangan dan kemajuan bahasa.
Akhirulkalam, mereka yang berpandangan dangkal terhadap kemajuan BM, baik sebagai bahasa pengantar pendidikan mahupun sebagai bahasa ilmu, seharusnya bermuhasabah diri, serta dengan berfikiran terbuka dan berlapang dada, menerima hakikat bahawa BM yang moden dan maju itu telah terbukti lebih berwibawa, berketerampilan dan berhasil dalam pendidikan anak semua bangsa di tanah air yang tercinta yang tiada duanya ini. Wallahualam!