Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangMakna kata adalah tetap dan jelas pada masa tertentu atau secara sinkronik. Namun demikian, makna kata mungkin berubah melalui peralihan masa atau secara diakronik. Hal ini berlaku untuk menjadikan sesuatu bahasa sentiasa relevan dan berkembang seiring dengan zamannya.
Kata menyeberang pada asalnya dikaitkan dengan sungai kerana kebanyakan petempatan orang Melayu dahulu terletak di persisiran sungai, dan sungai merupakan halangan alamiah fizikal yang besar untuk diseberangi. Jalan darat yang ada pada waktu itu kecil-kecil. Namun demikian, dengan kemajuan sains, kini sudah ada jalan raya dan lebuh raya yang ada kalanya perlu kita seberangi. Oleh itu, kata menyeberang sekarang meliputi sungai, jalan raya dan lebuh raya.
Kata kapal pada asalnya merupakan alat pengangkutan di air. Pada zaman ini, kita ada kapal korek di darat (lombong bijih timah), kapal terbang di udara, dan kapal angkasa di angkasa lepas. Pada zaman dahulu, belayar berkaitan dengan kapal layar yang berlayar, tetapi kini, kebanyakan kapal yang belayar tidak mempunyai layar. Pada zaman dahulu, kata melayari berkaitan dengan laut, tetapi sekarang kata melayari juga berkaitan dengan Internet.
Ada kata yang mengalami ameliorasi, iaitu maknanya menjadi lebih elok dan lebih baik melalui masa. Contohnya ialah kata canggih yang bererti terlalu banyak bercakap satu masa dahulu sekarang dikaitkan dengan sesuatu yang moden dan sofistikated. Kata ceramah juga berubah daripada maksud suka bercakap kepada maksud syarahan. Ada kata lain pula mengalami pejorasi, iaitu maksudnya menjadi kurang elok melalui masa. Contohnya ialah kata berkhalwat yang pada asalnya bererti “memencilkan diri di tempat yang sunyi untuk bertafakur, beribadat dan lain-lain” kini berkaitan dengan perbuatan “berdua-duaan dalam keadaan yang sumbang di tempat yang terpencil atau tersembunyi”.
Kata keluarga pada asalnya dikaitkan dengan manusia, tetapi sekarang kata keluarga meliputi kelas atau golongan benda yang sejenis atau berkaitan. Contohnya ialah rumpun bahasa Austronesia meliputi keluarga bahasa Nusantara, keluarga bahasa Mikronesia, keluarga bahasa Melanesia dan keluarga bahasa Polinesia. Keluarga kucing merangkumi harimau, singa, kucing dan sebagainya. Keluarga tumbuhan pula mencakupi tumbuhan yang sama spesies.
Kata saudara pada asalnya merujuk mereka yang sama ayah dan ibu, tetapi kemudiannya makna saudara diperluas untuk meliputi orang yang ada hubungan kekeluargaan atau perkahwinan, orang yang seangkatan, orang yang sama kedudukan atau bersahabat. Kini kata saudara boleh juga digunakan sebagai kata ganti nama diri orang kedua bagi lelaki. Kata abang pada mulanya merujuk “saudara lelaki yang lebih tua” tetapi kini diperluas maknanya untuk merangkumi lelaki yang lebih tua daripada seseorang atau sebagai panggilan kepada suami. Kata kahwin pada asalnya berkaitan dengan “ikatan yang sah di sisi agama atau undang-undang antara lelaki dengan perempuan yang menjadikan mereka suami isteri”. Kini, kata kahwin juga diberi makna “percantuman antara dua spesies tumbuhan yang berlainan untuk menghasilkan baka yang lebih baik”.
Kata klinik pada mulanya bererti “tempat untuk memberikan diagnosis dan “merawat pesakit luar” kini juga bererti tempat atau pusat latihan untuk meningkatkan kemahiran seperti kemahiran berenang atau kemahiran bermain bola. Kata datuk yang pada mulanya bererti “bapa kepada ayah” kini juga bermaksud hantu atau puaka. Kata Datuk yang berpangkalkan huruf besar pula ialah gelaran kurniaan daripada pemerintah. Kata jambu yang asalnya merupakan sejenis buah kini juga merupakan kata adjektif yang bermaksud kiasan “cantik” atau “lawa”.
Kata taman yang pada mulanya bererti “kebun bunga” kini diperluas maksudnya untuk meliputi taman perumahan, taman asuhan kanak-kanak, taman permainan, taman tema, taman negara, taman teknologi dan sebagainya. Kata pasar yang pada mulanya bererti “tempat menjual barang makanan keperluan sehari-hari” kini diperluas maksudnya untuk meliputi pasar mini, pasar raya, pasar borong, pasar tahunan, pasar lambak, pasar gelap, pasar malam, pasar tani, pasar modal dan sebagainya. Wang yang pada mulanya hanya bermaksud “wang tunai” kini mencakupi maksud cek, kiriman wang, kiriman wang pos, draf bank, kad kredit, cek kembara, kad debit dan sebagainya.
Kata merawat pada mulanya bererti “menjaga orang sakit dengan memberinya ubat, dll” kini diperluas maknanya untuk meliputi hal seperti merawat air yang tercemar, merawat pokok yang sakit, memulihkan barang rosak, menjaga barang lama dan menjaga kawasan tertentu. Kata mengandam yang pada asalnya bererti “menyolekkan manusia” kini mencakupi hal seperti mengandam pokok, mengandam taman dan mengandam kawasan yang ada tumbuhan.
Kata menternak yang asalnya bererti memelihara binatang peliharaan seperti ayam, itik, angsa, kambing dan lembu kini diberi maksud yang lebih luas. Sekarang kata menternak berkaitan dengan hal seperti menternak lebah, ikan air tawar, ikan hiasan, udang, rusa, arnab, ulat sutera, burung puyuh, ayam serama, burung unta dan sebagainya.
Ada juga makna kata yang cenderung disempitkan maknanya melalui masa. Namun begitu, maksud asalnya masih wujud. Kata sarjana pada mulanya merujuk “orang yang pandai” atau “cendekiawan” tetapi sekarang dikhususkan untuk maksud kelulusan pada peringkat pengajian tinggi, seperti ijazah Sarjana Muda dan ijazah Sarjana. Kata madrasah yang pada mulanya bersifat umum, iaitu “tempat belajar”, kini mendukung makna tempat belajar bagi agama Islam sahaja atau surau.
Kata pondok yang merujuk “rumah kecil” kini disempitkan maksudnya untuk bererti “madrasah atau asrama tempat mengaji (belajar agama, dll)”. Kata pendeta asalnya bererti “orang yang ada banyak ilmu” kini lebih dikaitkan dengan guru agama yang tinggi ilmunya. Kata tuan yang pada mulanya boleh dikaitkan dengan lelaki atau perempuan sekarang dikaitkan dengan kaum lelaki sahaja atau perempuan yang berjawatan rasmi. Kata encik pada asalnya digunakan untuk lelaki atau perempuan, tetapi sekarang dikaitkan dengan kaum lelaki sahaja.
Kata kitab pada mulanya meliputi semua jenis buku kini dikaitkan dengan buku agama sahaja. Kata daging asalnya merujuk isi pada manusia atau binatang, tetapi sekarang merujuk daging lembu sahaja. Kata ustaz pada mulanya bererti “guru’”tetapi sekarang merujuk guru agama Islam sahaja.
Selain perubahan makna, ada juga kata yang mengalami perubahan bentuk melalui masa. Contohnya ialah kata kereta lereng yang kini disebut sebagai basikal, kereta sombong yang kini disebut sebagai kereta api atau tren, tetuang udara yang kini disebut radio, ilmu alam yang kini disebut geografi, kaji hayat yang kini disebut sebagai biologi dan sebagainya.
Ada juga berlaku perubahan kata untuk memelihara kesopanan dan menjaga hati pihak tertentu. Contohnya ialah kata amah ditukar kepada kata pembantu rumah, kata jaga ditukarkan kepada pengawal keselamatan, kata orang cacat, golongan istimewa atau orang kurang upaya ditukarkan kepada orang kelainan upaya, kata anak haram ditukarkan kepada anak luar nikah, pendatang haram ditukarkan kepada pendatang tanpa izin dan sebagainya.
Perubahan makna dan kata akan terus berlaku dalam bahasa Melayu. Hal ini berlaku disebabkan limpahan ilmu baharu yang menzahirkan laras bahasa yang pelbagai dan disebabkan perubahan sikap dan persepsi masyarakat kita.