Oleh Kho Thong Eng
23 Julai 2024, 09:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Awalan mempeR- boleh ditambah pada sesetengah kata nama, kata adjektif dan kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Dia memperalat kawannya.

1b.  Dia memperisteri gadis itu.

1c.  Dia mempersuami pemuda itu.

1d.  Dia memperkawan lelaki itu.

1e.  Dia memperhamba pekerjanya.

Dalam kelompok ayat 1, awalan mempeR– ditambah pada kata nama dasar untuk menghasilkan kata kerja transitif dengan maksud kausatif, iaitu “menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai atau seperti”. Dalam ayat 1a, memperalat bererti “menjadikan seseorang sebagai alat”. Dalam ayat 1b, memperisteri bererti “menjadikan seseorang sebagai isteri”. Dalam ayat 1c, mempersuami bererti “menjadikan seseorang sebagai suami”. Dalam ayat 1d, memperkawan bererti “menjadikan seseorang sebagai kawan”. Dalam ayat 1e, memperhamba bererti “menjadikan seseorang seperti hamba”.

Namun demikian, ada kalanya awalan mempeR- menerbitkan maksud khusus pada kata nama tertentu. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia memperkacang harta ayahnya.

2b.  Dia memperdaya kawannya.

Dalam ayat 2a, kata memperkacang bererti “menghabiskan harta atau wang orang”, manakala memperdaya bererti “menipu”.

Jika awalan mempeR- ditambah pada kata adjektif, maksudnya ialah “menjadikan sesuatu lebih atau bertambah lagi dengan sifat tertentu”.  Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia memperbesar rumahnya.

3b.  Dia mempercantik wajahnya.

Dalam kelompok ayat 3, awalan mempeR- ditambah pada kata adjektif dasar besar dan cantik.  Maksud memperbesar ialah “menjadikan sesuatu besar lagi”, dan erti mempercantik ialah “menjadikan sesuatu atau seseorang cantik lagi”.

Awalan mempeR- boleh ditambah pada kata tugas. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia memperoleh keuntungan.

4b.  Mereka memperdua keuntungan yang diperoleh.

Dalam ayat 4a, awalan mempeR- ditambah pada kata sendi nama oleh untuk menjadikannya kata kerja transitif memperoleh yang bererti “mendapat sesuatu”.   Dalam ayat 4b, awalan mempeR- ditambah pada kata bilangan dua untuk menjadikannya sebagai kata kerja transitif memperdua yang bermaksud “membahagi dua”.

Apitan mempeR-…-kan boleh ditambah pada sesetengah kata nama, kata kerja dan kata tugas untuk menerbitkan makna yang pelbagai.  Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia memperisterikan anak lelakinya.

5b.  Dia mempersuamikan anak gadisnya.

6a.  Dia memperjodohkan anak lelakinya dengan gadis itu.

6b.  Dia memperjodohkan anak gadisnya dengan pemuda itu.

7a.  Dia memperhambakan dirinya kepada raja itu.

7b.  Dia mempercabangkan syarikatnya.

7c.  Dia memperhutangkan kawannya.

7d.  Dia memperbezakan dua perkara itu.

7e.  Dia mempersendakan perkara itu.

7f.   Dia mempersaudarakan orang itu.

Dalam kelompok ayat 5 hingga ayat 7, apitan mempeR-…-kan yang ditambah pada kata nama dasar membawa maksud kausatif, iaitu “menjadikan sesuatu perkara berlaku”. Dalam kelompok ayat 5, kata memperisterikan bererti “menjadikan seseorang lelaki beristeri”, dan kata mempersuamikan bermaksud “menjadikan seseorang perempuan bersuami”. Dalam kelompok ayat 6, kata memperjodohkan bererti “menjadikan seseorang berkahwin”.  Dalam ayat 7a, kata memperhambakan bererti “menjadikan diri seperti hamba”.  Dalam ayat 7b, mempercabangkan bererti “menjadikan sesuatu bercabang”. Dalam ayat 7c, kata memperhutangkan bererti “menjadikan seseorang berhutang”. Dalam ayat 7d, kata memperbezakan bererti “menjadikan dua atau lebih perkara berbeza”. Dalam ayat 7e, kata mempersendakan bererti “menjadikan seseorang atau sesuatu sebagai bahan untuk bersenda”. Dalam ayat 7f, kata mempersaudarakan bererti “menjadikan seseorang seperti saudara”.

Selain itu, apitan mempeR-…-kan yang ditambah pada kata nama dasar dapat menerbitkan maksud lain. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia memperlakukan orang itu seperti hambanya.

8b.  Dia memperkatakan isu pencemaran alam.

Dalam ayat 8a, kata memperlakukan bermaksud “melayan seseorang dengan cara tertentu”. Dalam ayat 8b pula, kata memperkatakan bererti “berkata tentang sesuatu hal”.

Apitan mempeR-…-kan boleh ditambah pada sesetengah kata kerja dengan  pengertian kausatif, iaitu “menyebabkan sesuatu berlaku”. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Dia ingin memperkembangkan syarikatnya.

9b.  Dia mempertautkan hubungan antara ahli keluarganya.

9c.  Dia mempertemukan adik-beradik yang terpisah itu.

9d.  Dia memperlihatkan bakatnya kepada audiens.

9e.  Dia memperdengarkan lagu kepada audiens.

9f.   Dia memperkenalkan adiknya kepada kawannya.

Dalam ayat 9a, kata memperkembangkan bererti “menjadikan sesuatu berkembang”.  Dalam ayat 9b, kata mempertautkan bererti “menjadikan beberapa pihak atau benda bertaut”.  Dalam ayat 9c, kata mempertemukan bererti “menjadikan dua atau lebih pihak bertemu”. Dalam ayat 9d, kata memperlihatkan bererti “menjadikan sesuatu kelihatan”. Dalam ayat 9e, kata memperdengarkan bererti “menjadikan sesuatu kedengaran”. Dalam ayat 9f, kata memperkenalkan bererti “menjadikan seseorang atau sesuatu dikenali oleh pihak lain”.

Apitan mempeR-…-kan boleh juga ditambah pada kata kerja lain untuk menerbitkan maksud yang pelbagai.  Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Dia sedang mempertimbangkan hal itu.

10b.  Dia memperbandingkan dua pilihan itu.

Dalam ayat 10a, kata mempertimbangkan bererti “memberikan pertimbangan terhadap sesuatu perkara”. Dalam ayat 10b, kata memperbandingkan bererti “melakukan perbandingan terhadap dua atau lebih perkara”.

Apitan mempeR-…-kan boleh juga ditambah pada kata tugas tertentu.  Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Kerajaan memperuntukkan dana untuk projek itu.

11b.  Dia cuba mempersatukan ahli persatuannya.

Dalam ayat 11a, apitan mempeR-…-kan ditambah pada kata tugas untuk untuk menghasilkan kata kerja memperuntukkan. Dalam ayat 11b, apitan mempeR-…-kan ditambah pada kata tugas (kata bilangan) satu untuk menghasilkan kata kerja mempersatukan.

Apitan mempeR-…-i hanya boleh ditambah pada kata nama dasar kawan dan kata kerja dasar ingat.  Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  Dia ingin memperkawani orang itu.

12b.  Mereka berpesta untuk memperingati peristiwa penting pada masa lampau.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.