5 Ogos 2024, 11:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kesantunan berbahasa sangat penting untuk dikembangkan amalannya dalam kalangan masyarakat, khususnya dalam kalangan golongan yang berpengaruh dan dilihat sebagai tokoh masyarakat, termasuklah Ahli-ahli Yang Berhormat dan pemimpin masyarakat, negeri serta negara. Tentu sahaja kesantunan berbahasa harus disemai serta disuburkan dalam kalangan generasi muda sedari zaman kanak-kanak lagi, dan bukannya setelah remaja, sekali gus terdedah dengan pengaruh dan gejala penggunaan bahasa yang tidak santun.

Sesungguhnya, penggunaan bahasa yang santun tidak harus dipandang mudah, apatah lagi tidak diberikan perhatian yang sewajarnya, sama ada oleh ibu bapa dalam pendidikan tidak formal mahupun oleh institusi pendidikan formal yang sangat berpengaruh untuk menentukan kemenjadian atau rupa bentuk insan yang hendak dihasilkan, terutamanya dalam pembentukan keperibadian mereka yang anggun serta berbudi bahasa yang baik.

Syahadan, demi memastikan kesantunan berbahasa dapat dibina dan dikembangkan, tidak dapat tidak, apa-apa yang dimaksudkan sebagai kesantunan berbahasa mesti dimengerti terlebih dahulu. Pada dasarnya, pengertian kesantunan berbahasa mencakupi lima tunjang yang berikut:

  1. Kehalusan budi bahasa dan tingkah laku seseorang.
  2. Kebaikan budi dan keperibadian seseorang.
  3. Adab berbahasa.
  4. Etika berbahasa.
  5. Penggunaan bahasa yang baik dan betul.

Menurut Awang Sariyan dalam bukunya Santun Berbahasa Siri Kedua (DBP, 2015:3), kesantunan bahasa secara umum merujuk penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak yang menjadi teman bicaranya. Kesantunan bahasa menjadi satu daripada ciri penting bangsa yang bertamadun.

Seyogianya, kesantunan berbahasa bernilai sejagat. Dengan erti kata yang lain, kesantunan berbahasa wujud dalam setiap masyarakat, dan dalam kalangan masyarakat Melayu, amalan berbahasa dengan santun amat dituntut kerana itulah lambang peribadi yang mulia dan anggun.

Kendatipun, kesantunan berbahasa dari segi perlakuannya berbeza mengikut masyarakat atau bangsa. Walau bagaimanapun, dari segi amalannya menjadi ukuran sama ada seseorang itu diterima atau sebaliknya dalam kehidupan sosialnya. Hal ini disebabkan keindahan kehidupan bermasyarakat diperlihatkan dengan usaha berterusan umat manusia untuk membina perlakuan yang dapat memenuhi tuntutan sosial mereka sesuai dengan asas kehidupan bermasyarakat yang ditentukan oleh setiap bangsa.

Arakian, peri pentingnya amalan berbahasa yang santun itu juga adalah untuk mewujudkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan bersama sesebuah masyarakat. Dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya pula, kesantunan berbahasa bukan sahaja perlu diutamakan, bahkan hendaknya sentiasa menjadi aspek pendidikan tidak formal dan formal yang signifikan. Hal ini bermakna bahawa pengajaran dan pembelajaran bahasa di sekolah khususnya, tidak hanya tertumpu pada aspek tatabahasa sahaja, tetapi kurikulum standardnya harus memasukkan kesantunan bahasa sebagai satu daripada aspek bahasa yang mesti diajarkan.

Barang diingat, memahami aneka variasi kesantunan dalam kalangan pelbagai bangsa dan kaum, khususnya di negara ini akan mendorong pemupukan sikap saling menghormati serta menghargai dalam kalangan masyarakat tanpa mempersoalkan perbezaan ras, budaya dan agama. Hal ini selari dengan pandangan Asmah Haji Omar dalam Kesantunan Bahasa dalam Pengurusan, Pentadbiran dan Media (DBP, 2007) bahawa kesantunan berbahasa ialah penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kegusaran, kemarahan dan rasa tersinggung kepada pihak pendengar, termasuk dalam konteks hubungan sosial dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya di negara ini.

Hatta, antara prinsip kesantunan berbahasa yang harus diketahui dan difahami oleh kita seperti yang disarankan oleh para sarjana bagi memperindah kehidupan bermasyarakat di negara ini, sekali gus untuk menganggun peribadi bangsa kita, ialah kearifan, kemurahan hati, penghargaan, kesederhanaan, permuafakatan dan simpati.

Dengan mengamalkan prinsip kearifan bererti kita sentiasa bersikap merendah diri dan mengutamakan orang lain dalam setiap perlakuan kita, kerana sikap meninggi diri serta mementingkan diri mencerminkan peribadi yang tidak santun dan anggun. Prinsip kemurahan hati dalam konteks kesantunan berbahasa menuntut agar kita senantiasa menghormati orang lain, misalnya menghormati adat istiadat mereka tanpa membanding-bandingkannya dengan adat istiadat kita yang kononnya lebih baik.

Sementara itu, kesantunan berbahasa dalam sesi perbincangan contohnya menuntut kita menghormati pandangan orang lain, sekali gus menghargai buah fikiran yang dikemukakan oleh mereka dengan mengucapkan kalimat yang ekspresif serta mengungkapkannya dengan nada suara yang santun, tetapi tegas.

Kesantunan berbahasa dalam hubungan sosial, hatta dalam hubungan rasmi yang lain juga menghendaki kita bersikap sederhana, yakni senantiasa rendah hati, di samping senantiasa mengamalkan nilai permuafakatan demi saling membina keserasian dalam kalangan kita. Dalam pada itu, seseorang yang santun bahasanya dan anggun peribadinya juga mempunyai rasa simpati dan empati yang tinggi kerana hal tersebut menggambarkan sifat ihsan yang ada pada dirinya. Sifat dan nilai ihsan sangat penting untuk mewujudkan masyarakat yang harmoni dan saling menghargai.

Selanjutnya, asas dan amalan kesantunan berbahasa juga ditandai oleh ciri-ciri tertentu, yakni usia, pangkat, darjat, jawatan, status sosial dan sistem panggilan hormat dalam sesebuah masyarakat. Kelima-lima ciri ini akan menentukan tingkat kesantunan bahasa yang akan digunakan oleh seseorang, terutama dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, budaya dan agama.

Dalam kalangan masyarakat Malaysia, khususnya masyarakat Melayu, faktor usia amat mempengaruhi tatacara kesantunan berbahasa. Pada peringkat yang paling umum sekalipun, golongan yang muda harus menggunakan bahasa yang santun untuk menyapa golongan yang tua atau berusia. Maka itu, wujudlah kata ganti diri pertama dan kedua dalam bahasa Melayu seperti saya, aku, kami, kita, engkau, kamu, dan awak.  Sebagai pengguna bahasa, kita mesti tahu masa dan dalam situasi yang sesuai untuk kita menggunakan kata ganti diri tersebut, sama ada situasi formal dan rasmi ataupun dalam konteks komunikasi tidak formal.

Tatacara kesantunan berbahasa juga dipengaruhi oleh ciri pangkat atau kedudukan dalam keluarga dan jabatan, institusi, firma, syarikat dan seumpamanya. Oleh itu, muncullah kata ganti diri dalam keluarga Melayu Muslim seperti abah, ayah, atuk, ibu, emak, abang, kakak, adik, along, angah, anjang, ayang, yang, pak cik dan mak cik. Dalam konteks yang lebih rasmi atau formal seperti dalam jabatan kerajaan dan institusi swasta pula, hadirlah kata ganti diri seperti tuan, puan, cik, saya, kami, beliau, encik, cik, ustaz, ustazah, sarjan dan koperal.

Selain itu, kesantunan berbahasa dalam masyarakat Malaysia juga dicirikan oleh darjat seseorang. Antara orang yang tergolong dalam kalangan mereka yang berdarjat ini termasuklah raja, sultan dan kerabat diraja, Yang Dipertua Negeri, bangsawan, dan negarawan. Oleh itu, terdapat kata ganti diri yang khusus digunakan untuk berkomunikasi secara dua hala atau bersemuka dengan golongan tersebut seperti baginda, tuanku, beta, patik, hamba, saya, beliau, kawula atau kola (dalam masyarakat Melayu Sarawak).

Status sosial seseorang juga mencirikan tatacara kesantunan berbahasa Melayu dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apabila berbicara dengan golongan yang berstatus sosial seperti penghulu, ketua kaum, temenggung, mufti, imam negeri dan negara, seniman, sasterawan negara, sasterawan negeri, Ahli Yang Berhormat dan senator, mahu tidak mahu, kita harus menggunakan kata sapaan yang santun. Hal ini termasuk kata sapaan seperti Tun, Tan Sri, Toh Puan, Puan Sri, Datuk, Datin, Tuan Haji, dan kata ganti diri seperti saya, kami, tuan, puan, encik dan cik.

Dalam kalangan masyarakat Malaysia, tatacara kesantunan berbahasa juga ditentukan mengikut ciri panggilan hormat yang didasarkan pada gelaran keturunan, gelaran anugerah, sapaan dalam keluarga dan sapaan dalam hubungan sosial. Antara panggilan hormat yang lazimnya digunakan sebagai tanda penggunaan bahasa yang santun termasuklah Megat, Raja, Tengku, Syed, Wan, Syarifah, Awang, Dayang, Abang, Nik, Raden, Pengiran, Syed, Tun, Tan Sri, Toh Puan, Datuk Seri, Datin Seri, Pehin Seri, Datu, Datuk Patinggi, Puan Sri,  Encik , Cik, Puan, Tuan, Pak cik, Mak cik, Uda, Uteh, Atuk, Kakak, Orang Kaya dan Pendeta.

Aspek lain yang turut menandai kesantunan berbahasa ialah penggunaan rujukan kehormat dalam komunikasi, baik dalam komunikasi lisan mahupun komunikasi bertulis mengikut konteks penggunaannya seperti Duli Yang Maha Mulia, Yang Berbahagia, Yang Amat Berbahagia, Yang Berhormat, Yang Arif dan Yang Amat Arif. Penggunaan rujukan kehormat ini mengikut situasi atau siapakah yang dirujuk oleh kita dalam komunikasi tersebut. Misalnya, jika seseorang itu Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara dan Ahli Dewan Undangan Negeri atau Setiausaha Kerajaan Negeri, maka mereka dirujuk sebagai Yang Berhormat. Sekiranya Perdana Menteri, Menteri Besar atau Ketua Menteri, maka mereka akan dirujuk sebagai Yang Amat Berhormat.

Di samping itu, penggunaan bahasa diraja juga boleh dianggap sebagai sebahagian daripada penggunaan laras bahasa yang menekankan aspek kesantunan, sekali gus sebagai satu bentuk penggunaan bahasa Melayu yang khusus untuk golongan tertentu. Menurut Asmah Haji Omar dalam Bahasa Diraja Edisi Baharu (DBP, 2016) maksud bahasa diraja itu dapat dirumuskan seperti yang berikut:

  1. Bahasa yang digunakan dalam perhubungan kebahasaan, yakni sekurang-kurangnya satu daripada pihak itu terdiri daripada keluarga diraja.
  2. Juga dikenali sebagai “bahasa istana”.
  3. Bahasa bukan diraja ialah bahasa yang digunakan dalam perhubungan yang tidak dihadapkan kepada sekatan atau kendala diraja.
  4. Bahasa yang halus, iaitu bahasa yang digunakan dengan penuh sopan santun dan adab tertib walau dalam keadaan apa-apa sekalipun.

Menurut Asmah Haji Omar lagi, bahasa diraja ialah bahasa yang halus. Walau bagaimanapun, tidak semua bahasa halus itu bahasa diraja. Selanjutnya, beliau menjelaskan bahawa bahasa yang halus ialah bahasa yang melibatkan ketelitian dalam pemilihan kata-kata yang halus untuk menyampaikan mesej dan juga perasaan.

Dalam pada itu, perlu diingat bahawa penggunaan bahasa yang santun juga perlu memperhatikan situasi atau konteks sesuatu komunikasi itu. Dengan mengambil kira beberapa pandangan tokoh dalam bidang bahasa dan komunikasi, kesantunan berbahasa menuntut agar perkara yang berikut diberikan perhatian yang sewajarnya:

  1. Perhatikan suasananya.
  2. Perhatikan dengan siapa kita berbicara.
  3. Perhatikan mesej yang disampaikan.
  4. Perhatikan tujuan yang hendak dicapai.
  5. Perhatikan cara penyampaian.
  6. Perhatikan norma dalam masyarakat.
  7. Perhatikan ragam bahasa yang digunakan.
  8. Perhatikan kerelevanan pertuturan itu.
  9. Jagalah martabat dan perasaan teman bicara.
  10. Hindari hal yang kurang elok dengan teman bicara.
  11. Hindari pujian untuk diri sendiri.
  12. Berikan keuntungan kepada teman bicara.
  13. Berikan pujian kepada teman bicara.
  14. Ungkapkan rasa simpati dan empati kepada teman bicara.
  15. Ungkapkan hal yang menyenangkan hati teman bicara.
  16. Buatlah kesefahaman dengan teman bicara.

Enam belas aspek ini merupakan sebahagian daripada perkara yang cukup penting untuk diperhatikan kerana hal tersebutlah yang akan menentukan kesantunan bahasa yang kita gunakan. Selain memberikan perhatian terhadap aspek kesantunan bahasa, dalam apa-apa juga bentuk atau situasi komunikasi, kita juga perlu mengetahui ciri ketidaksantunan bahasa, khususnya apabila kita berkomunikasi dan berdiskusi dengan orang lain. Antara penyebab ketidaksantunan bahasa termasuklah mengkritik secara langsung dengan kata-kata yang kasar, dorongan emosi yang tidak terkawal, mempertahankan pendapat tanpa kewajaran yang kukuh, serta sengaja memomokkan dan meminggirkan lawan bicara.

Seterusnya, penggunaan bahasa yang santun, terutamanya dalam berdiskusi atau berdialog sangat dituntut kerana hal tersebut akan mencerminkan keperibadian seseorang penutur atau pembicara. Oleh itu, aspek yang berikut tidak harus diabaikan apabila kita berbicara dengan orang lain atau ketika kita menjadi peserta dalam sesuatu diskusi khususnya:

  1. Para peserta diskusi berbicara wajar dengan akal yang sihat.
  2. Para peserta mengedepankan pokok permasalahan.
  3. Penutur bersangka baik kepada lawan bicaranya.
  4. Para peserta bersikap terbuka, dan menyampaikan segala kritikan secara umum.
  5. Para peserta menggunakan bentuk lugas.
  6. Para peserta harus tahu membezakan situasi gurauan dengan situasi serius.

Seboleh mungkin para peserta dalam sesuatu diskusi, perbincangan, mesyuarat dan sebagainya harus menjaga adab atau tertib masing-masing. Antara sikap tidak santun yang perlu dihindari termasuklah bersikap agresif dan menunjukkan reaksi berlebih-lebihan; bersikap menutup diri dan takut mengeluarkan pendapat; terlalu banyak bercakap dan berbelit-belit dalam percakapan; berbisik-bisik dengan rakan sebelah ketika orang lain sedang bercakap; dan bersikap acuh tak acuh.

Umum mengetahui bahawa masyarakat Melayu tradisional khususnya, dan tradisi yang mengutamakan adab serta kesantunan berbahasa sangat dititikberatkan. Hal ini disebabkan orang Melayu secara turun-temurun amat mementingkan maruah dan harga diri bangsa. Maka itu, berbagai-bagai cara dan pendekatan digunakan oleh orang Melayu untuk menyampaikan perutusan serta pesanan mereka yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dengan hujan agar orang Melayu senantiasa memelihara legasi mereka sebagai bangsa yang santun bahasanya dan anggun peribadinya.

Maka itu, lahirlah pelbagai ungkapan berhikmah dan pesanan bertarbiah dalam kalangan orang Melayu seperti yang terpancar dalam pantun, peribahasa, seloka, gurindam dan seumpamanya yang kekal hingga kini, dan selagi Melayu tidak hilang di dunia. Tiga rangkap pantun klasik di bawah jelas memperlihatkan betapa orang Melayu sangat mengambil berat perihal penggunaan bahasa yang santun, dan pembentukan peribadi yang anggun, serta peri pentingnya orang Melayu mempertahankan ketinggian akal budi dan kehalusan hati nurani bangsa mereka:

Tegak rumah kerana sendi,

Runtuh sendi rumah binasa;

Sendi bangsa ialah budi,

Runtuh budi runtuhlah bangsa.

 

Tingkap papan kayu bersegi,

Sampan sakat di Pulau Angsa;

Indah tampan kerana budi,

Tinggi bangsa kerana bahasa.

 

Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Akhir kalam, setiap warganegara Malaysia sewajarnya senantiasa menjaga adab, tertib dan kesantunan dalam berbahasa demi memastikan keperibadian bangsa kita kekal anggun sampai bila-bila.

 

 

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.