Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Bahagian Pengurusan Ilmu dan Maklumat Digital telah menganjurkan Pertandingan Bijak Eja Inovasi 2024 dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk memupuk budaya inovasi dalam bidang kebahasaan dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat melalui inovasi serta bahasa.
Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Sambutan Inovasi 2024 dan Dekad Bahasa Kebangsaan 2024 itu disertai oleh 19 orang peserta dalam kalangan warga MITI dan agensi di bawah pentadbirannya.
Pengarah Kanan Khidmat Pengurusan MITI, Puan Nor Kamisah Che Daud merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak, khususnya DBP dan agensi di bawah MITI kerana memberikan kerjasama yang amat baik dalam merealisasikan pertandingan berkenaan.
Ujar beliau,
Saya berharap kerjasama seumpama ini akan dapat dilaksanakan pada masa hadapan agar aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan dapat dipergiat di MITI.
Sepanjang pertandingan itu berlangsung, para peserta perlu mengeja perkataan yang mempunyai elemen inovasi melalui bahasa dan bersumberkan Kamus Dewan Perdana terbitan DBP.
Para pemenang hadiah utama dalam pertandingan tersebut berpeluang membawa pulang wang tunai dan hamper.
Keputusan akhir pertandingan menunjukkan Encik Ahmad Zamfidi Muhammed dari Collaborative Research in Engineering, Science and Technology (CREST) telah berjaya merangkul tempat pertama, manakala Puan Nuryati Idzfa Zakaria dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memenangi tempat kedua, dan Puan Nurfatin Amirah Azmi dari MATRADE memperoleh tempat ketiga.
Sementara itu, hadiah sagu hati diberikan kepada dua orang peserta yang berjaya melayakkan diri pada peringkat akhir pertandingan berkenaan, iaitu Puan Noor Syakirah Ibrahim dan Encik Firdaus Mahmood @ Ismail.
Sebagai rekod, pertandingan ini merupakan program yang dilaksanakan pada setiap tahun dan mendapat sokongan yang sepenuhnya daripada pihak pengurusan MITI.
Turut hadir ialah Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Roziah Md Yunus dan Pengarah Bahagian Pengurusan Ilmu dan Maklumat Digital, Puan Haslinda Kasim.