Oleh Kho Thong Eng
4 September 2024, 10:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata isi dan daging merupakan dua patah kata yang maknanya menampakkan persamaan dan perbezaan. Oleh itu, ada baiknya untuk kita meneliti makna kedua-dua kata tersebut.  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

1a.  Dia ingin mengetahui isi beg itu.

1b.  Isi buah itu manis.

1c.  Isi ikan itu digorengnya.

1d.  Isi perbualan mereka berkaitan dengan politik.

1e.  Isi kampung itu berkumpul untuk berbincang.

Dalam ayat 1a, kata isi bererti “benda yang termuat di dalam sesuatu”.  Dalam ayat 1b, kata isi bererti “bahagian buah yang terletak di bawah kulit dan boleh dimakan”.  Dalam ayat 1c, kata isi bererti “daging haiwan”.  Dalam ayat 1d, kata isi bermaksud “persoalan”.  Dalam ayat 1e, kata isi bermaksud “ahli atau anggota”.

Kata isi dapat ditambah imbuhan untuk mendukung pelbagai maksud.  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

2a.  Dia menjaga kebajikan seisi keluarganya.

3a.  Buah itu berisi tebal dan manis.

3b.  Perutnya belum berisi.

3c.  Wanita yang sudah berisi itu ditinggalkan oleh pasangannya.

3d.  Kata-katanya berisi.

3e.  Badannya bulat berisi.

3f.   Hidupnya semakin berisi.

3g.  Kata-katanya berisi ugutan.

3h.  Rayuannya berisi tangisan.

4a.  Dia mengisi baldi itu dengan air.

4b.  Syarikat itu akan mengisi jawatan kosong yang ada.

4c.  Dia mengisi borang itu.

5a.  Bakulnya terisi dengan buah-buahan.

5b.  Hajatnya sudah terisi.

6a.  Dia menjadi pengisi pojok akhbar itu.

6b.  Roti itu menjadi pengisi perutnya.

6c.  Dia mendapatkan pinggan pengisi makanan untuk nasinya.

6d.  Angka 1, 2 dan 3 ialah pengisi bagi angka 6.

Dalam ayat 2a, kata seisi bererti “semua anggota”.  Dalam ayat 3a, kata berisi bererti “mempunyai daging buah”.  Dalam ayat 3b, kata berisi bererti “ada makanan di dalamnya”.  Dalam ayat 3c, kata berisi bererti “hamil”.   Dalam ayat 3d, kata berisi bererti “bermanfaat”.  Dalam ayat 3e, kata berisi bermaksud “agak gemuk”.  Dalam ayat 3f, kata berisi bermaksud “sempurna atau bahagia”.  Dalam ayat 3g, kata berisi bermaksud “bersifat, berbau”.  Dalam ayat 3h, kata berisi bermaksud “bercampur dengan”.  Dalam ayat 4a, kata mengisi bererti “menjadikan berisi”.  Dalam ayat 4b, kata mengisi bererti “menjadikan disandang orang”.  Dalam ayat 4c, kata mengisi bermaksud “menulis maklumat pada sesuatu”.  Dalam ayat 5a, kata terisi bererti “sedia diisi”.  Dalam ayat 5b, kata terisi bermaksud “tercapai”.  Dalam ayat 6a, kata pengisi bermaksud “orang yang mengisi ruangan”.  Dalam ayat 6b, kata pengisi bererti “bahan makanan atau minuman”.  Dalam ayat 6c, kata pengisi ialah “alat atau bekas untuk mengisi sesuatu”.  Dalam ayat 6d, kata pengisi ialah “angka yang kalau didarabkan menghasilkan suatu jumlah”.

6a.  Dia mengisikan air ke dalam botol itu.

6b.  Dia mengisikan maklumat pada borang itu.

7a.  Perisian komputer itu sangat berguna.

7b.  Pengisian jawatan itu sudah disempurnakan.

7c.  Pengisian borang itu mengambil masa.

7d.  Pengisian tangki minyak itu sudah selesai.

Dalam ayat 6a, kata mengisikan bererti “memasukkan sesuatu ke dalam bekas dan sebagainya”.  Dalam ayat 6b, kata mengisikan bererti “menulis”.  Dalam ayat 7a, kata perisian bererti “program atau atur cara komputer”.  Dalam ayat 7b, kata pengisian bererti “perbuatan mendapatkan penyandang jawatan untuk”.  Dalam ayat 7c, kata pengisian bermaksud “penulisan maklumat pada”.  Dalam ayat 7d, kata pengisian bererti “perbuatan mengisi”.

8a.  Isian beg itu banyak.

8b.  Isian botol itu ialah 1.5 liter air.

Dalam ayat 8a, kata isian bererti “benda yang diisi”.  Dalam ayat 8b, kata isian bermaksud “ruang yang dapat diisi dengan sesuatu”.

9a.  Daging lembu itu dimasak sampai empuk.

9b.  Daging buah itu manis.

9c.  Daging dan jiwa kita harus kita pelihara.

Dalam ayat 9a, kata daging bererti “isi di antara kulit dengan tulang”.  Dalam ayat 9b, kata daging bererti “isi buah”.  Dalam ayat 9c, kata daging bermaksud “tubuh badan”.

10a.  Kuih itu berdaging.

10b.  Orang itu berdaging.

11a.  Isi buah itu mendaging.

11b.  Lukanya sudah mendaging.

11c.  Ketekunan sudah mendaging dalam jiwanya.

12a.  Lukanya terdaging.

12b.  Sindirannya terdaging.

13a.  Dia menternak ayam pedaging.

Dalam ayat 10a, kata berdaging bererti “mempunyai atau berinti daging”.  Dalam ayat 10b, kata berdaging bermaksud “gemuk” atau “kaya”.  Dalam ayat 11a, kata mendaging bererti “menjadi (seperti) daging”.  Dalam ayat 11b, kata mendaging bererti “mulai sembuh”.  Dalam ayat 11c, kata mendaging bererti “menjadi biasa, bersebati”.  Dalam ayat 12a, kata terdaging bermaksud “sampai pada daging”.  Dalam ayat 12b, kata terdaging bermaksud “sangat melukai hati”.  Dalam ayat 13a pula, kata pedaging bermaksud “diternak untuk mendapatkan dagingnya”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.