Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHubungan terikat atau bebas menjadi isu yang menarik untuk kita kaji supaya kita lebih memahami kewujudan dan hubungan antara kata dalam bahasa Melayu. Hubungan terikat bererti dua kata atau lebih terikat dari segi kedudukannya dan tidak boleh dipisahkan sesuka hati. Hubungan bebas pula berkaitan dengan entiti bahasa yang bebas dialihkan ke kedudukan lain dalam ayat.
Umum mengetahui bahawa hubungan antara kata kerja transitif dengan objek dalam ayat aktif transitif sememangnya amat erat dan biasanya tidak boleh dipisahkan.
1a. Dia membaca buku.
1b. Membaca buku dia.
1c. *Buku dia membaca.
2a. Keindahan pantai itu mempesonakan.
2b. Pencapaiannya membanggakan.
Dalam kelompok ayat 1, objek buku tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja transitif membaca yang mendahuluinya. Hal ini merangkumi ayat susunan biasa (ayat 1a) atau songsang (ayat 1b). Walau bagaimanapun, bagi kata kerja transitif sifatan yang mempunyai kata dasar adjektif emotif seperti mempesonakan dan membanggakan, ada kalanya objek selepas kata kerja transitif dapat kita gugurkan (lihat ayat 2a dan 2b).
Dalam ayat pasif yang melibatkan kata ganti nama diri orang pertama atau kedua, hubungan yang mengikut hukum aneksi persona antara kata ganti nama tersebut dengan kata kerja pasif tanpa awalan amat erat.
2a. Baju ini sudah saya lipat.
2b. *Baju ini saya sudah lipat.
2c. Sudah saya lipat baju ini.
2d. *Saya sudah lipat baju ini.
Bagi kata kerja tak transitif, hubungan antara kata kerja tak transitif dengan pelengkap kata nama, kata adjektif atau frasa sendi nama juga terikat.
3a. Dia ada harta. Pelengkap Kata Nama
3b. Ada harta dia.
3c. *Harta dia ada.
4a. Dia menjadi miskin. Pelengkap Kata Adjektif
4b. Menjadi miskin dia.
4c. *Miskin dia menjadi..
5a. Dia tinggal di kampung. Pelengkap Frasa Sendi Nama
5b. Tinggal di kampung dia.
5c. *Di kampung dia tinggal.
Dalam kelompok ayat 3, pelengkap kata nama harta tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja tak transitif ada. Dalam kelompok ayat 4, pelengkap kata adjektif miskin tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja tak transitif menjadi. Dalam kelompok ayat 5, pelengkap frasa sendi nama di kampung tidak boleh dipisahkan daripada kata kerja tak transitif tinggal.
Hubungan antara inti frasa nama dengan penerangnya juga sangat erat. Hal ini meliputi penerang yang menghuraikan kata dasar nama pada kata kerja tak transitif.
6a. Dia membeli buku cerita.
6b. Membeli buku cerita dia.
6c. *Cerita dia membeli buku.
7a. Dia membaca buku di perpustakaan.
7b. Membaca buku di perpustakaan dia.
7c. Di perpustakaan dia membaca buku.
8a. Dia berseluar jean.
8b. Berseluar jean dia.
8c. *Jean dia berseluar.
Dalam kelompok ayat 6, penerang nama cerita tidak boleh dipisahkan daripada inti frasa nama buku. Dalam ayat 7a dan 7b, frasa sendi nama di perpustakaan tidak dapat dipisahkan daripada inti frasa nama buku. Hal ini bermaksud buku yang dibacanya sememangnya “buku milik perpustakaan”, bukan sebarang buku sahaja. Sebaliknya, dalam ayat 7c, frasa sendi nama di perpustakaan yang boleh dialihkan ke awal ayat tanpa diiringi kata buku menunjukkan bahawa frasa sendi nama di perpustakaan merupakan frasa keterangan kepada frasa kerja transitif membaca buku, dan bukan frasa penerang kepada inti frasa nama buku. Dalam kelompok ayat 8, kata penerang nama jean yang menghuraikan inti frasa nama seluar dalam kata kerja tak transitif berseluar terikat dari segi kedudukan dengan intinya.
Bagi kata adverba, ada yang dapat dipisahkan daripada kata yang dihuraikan, dan ada yang tidak.
Berkedudukan Bebas
9a. Dia berlari pantas.
9b. Dia pantas berlari.
9c. Pantas dia berlari.
Berkedudukan Terikat
10a. Dia sering bersenam.
10b. Sering bersenam dia.
10c. *Bersenam dia sering.
Dalam kelompok ayat 9, kata adverba pantas bebas kedudukannya dalam ayat. Dalam kelompok ayat 10 pula, kata adverba sering terikat dari segi kedudukannya dengan kata kerja tak transitif bersenam yang dihuraikannya.
Ikatan antara kata bantu dengan kata atau frasa yang dihuraikannya juga biasanya sangat erat. Hal ini mencakupi kata bantu aspek dan kata bantu ragam.
11a. Dia belum bersedia. + Kata Bantu Aspek belum
11b. Belum bersedia dia.
11c. *Bersedia dia belum.
12a. Dia mahu bercuti. +Kata Bantu Ragam mahu
12b. Mahu bercuti dia.
12c. *Bercuti dia mahu.
13a. Belum pernah dia berusaha.
13b. Belum mahu dia ke sana.
13c. Sudahkah dia makan?
13d. Sudahkah dia insaf?
13e. Pernahkah dia ke luar negara?
Dalam kelompok ayat 11, hubungan antara kata bantu aspek belum dengan kata kerja tak transitif bersedia terikat. Dalam kelompok ayat 12, hubungan antara kata bantu ragam mahu dengan kata kerja tak transitif bercuti terikat. Walau bagaimanapun, ada kalanya kata bantu dapat dikedepankan tanpa diiringi kata kerja atau frasa sendi nama untuk tujuan penegasan maksud (lihat kelompok ayat 13).
Hubungan antara kata keterangan dengan kata kerja tak transitif yang mendahuluinya juga bersifat terikat.
14a. Dia bermain bola.
14b. Bermain bola dia.
14c. *Bola dia bermain.
Dalam kelompok ayat 14, ikatan antara kata keterangan bola dengan kata kerja tak transitif tanpa pelengkap bermain adalah erat.
Kebanyakan frasa kerja keterangan berkedudukan bebas, namun ada juga yang terikat dengan kata atau frasa yang dihuraikannya.
Berkedudukan bebas
15a. Dia berusaha untuk keluarganya.
15b. Untuk keluarganya dia berusaha.
16a. Dia ke pasar dengan ibunya.
16b. Dengan ibunya dia ke pasar.
17a. Dia yakin mulai hari ini.
17b. Mulai hari ini dia yakin.
Berkedudukan Terikat
18a. Dia bercakap tentang disiplin.
18b. *Tentang disiplin dia bercakap.
19a. Dia cantik seperti bidadari.
19b. *Seperti bidadari dia cantik.
20a. Dia sayang akan anaknya.
20b. *Akan anaknya dia sayang.
*Ayat 18b, 19b dan 20b bukan ayat sejadi (natural) yang lazim digunakan.