Oleh Kho Thong Eng
3 Oktober 2024, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam bidang sintaksis, frasa kerja ialah binaan satu kata atau lebih dengan inti kata kerja. Selain meliputi frasa kerja aktif dan pasif, frasa kerja juga menampilkan variasi binaan yang lain.

1a.  Dia duduk.

1b.  Dia belajar.

1c.  Dia melompat.

1d.  Dia terjatuh.

2a.  Dia menjadi guru.

2b.  Dia ada harta.

2c.  Dia berbantalkan lengan.

2d.  Dia tinggal miskin.

2e.  Dia tinggal di kampung.

 

3a.   Dia berseluar jean.

3b.   Dia berseluar baharu.

 

4a.   Dia belajar muzik.

4b.   Dia bermain kasar.

 

Dalam kelompok ayat 1, terdapat contoh frasa kerja tak transitif tanpa pelengkap, iaitu duduk, belajar, melompat dan terjatuh.  Dalam kelompok ayat 2, terdapat contoh frasa kerja tak transitif dengan pelengkap, iaitu kata nama pelengkap guru, harta dan lengan (lihat ayat 2a, 2b dan 2c), kata adjektif pelengkap miskin (lihat ayat 2d) dan frasa sendi nama pelengkap di kampung (lihat ayat 2e).  Dalam kelompok ayat 3, terdapat contoh frasa kerja tak transitif dengan penerang bagi kata dasar kata kerja tak transitif, iaitu kata nama penerang jean (lihat ayat 3a) dan kata adjektif penerang baharu (lihat ayat 3b).  Dalam kelompok ayat 4 pula, terdapat contoh frasa kerja tak transitif dengan penerang langsung bagi kata kerja tak transitif, iaitu kata nama penerang muzik (lihat ayat 4a) dan kata adjektif penerang atau kata adverba kasar (lihat ayat 4b).

5a.  Dia membaca buku.

5b.  Dia menghadiahi adiknya buku.

5c.  Dia memasakkan ibunya gulai.

 

6a.  Buku ini dibaca olehnya.

6b.  Buku ini saya baca.

 

Dalam kelompok ayat 5, terdapat contoh frasa kerja tak transitif membaca dengan satu objek buku (lihat ayat 5a) dan contoh frasa kerja dwitransitif menghadiahi dan memasakkan dengan dua objek adiknya serta buku (lihat ayat 5b) dan dua objek ibunya dan gulai (lihat ayat 5c).  Dalam kelompok ayat 6, terdapat contoh ayat pasif dengan bentuk enklitik kata ganti nama diri orang ketiga -nya (lihat ayat 6a) dan kata ganti nama diri orang pertama saya (lihat ayat 6b).

Frasa kerja dapat juga dibina dengan kata kerja dan kata atau bentuk iringan yang lain.  Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia sering ponteng.

7b.  Dia tidak berbohong.

7c.  Dia belum bangun.

7d.  Dia mahu berjaya.

7e.  Dia sangat memerlukan bantuan.

 

8a.  Dia duduk dengan sopannya.

8b.  Dia belajar untuk lulus.

Dalam kelompok ayat 7, terdapat contoh frasa kerja dengan kata adverba iringan sering (lihat ayat 7a), kata nafi iringan tidak, kata bantu aspek iringan belum, kata bantu ragam iringan mahu dan kata penguat iringan sangat (lihat ayat 7e).  Dalam kelompok ayat 8, terdapat contoh frasa kerja tak transitif dengan frasa keterangan iringan dengan sopannya, dan contoh frasa kerja tak transitif dengan klausa keterangan iringan untuk (dia) lulus.

Frasa kerja boleh juga terbina daripada dua kata kerja.  Sila lihat contoh ayat yang berikut:

9a.  Dia sudah puas jatuh bangun dalam perniagaan.

9b.  Dadanya kembang kempis ketika dia bernafas.

9c.  Harga barang turun naik/naik turun mengikut keadaan pasaran.

9d.  Nasibnya tenggelam timbul selama ini.

Dalam kelompok ayat 9, terdapat binaan frasa kerja yang terdiri daripada dua kata kerja, iaitu jatuh bangun, kembang kempis, turun naik/naik turun dan tenggelam timbul.

Ada kalanya frasa kerja binaan dua kata kerja menjadi kata dasar bagi kata terbitan.  Imbuhannya meliputi awalan dan apitan.  Sila lihat contoh ayat yang  berikut:

10a.  Semua barangnya bercampur aduk.

10b.  Bunyi serangga di hutan bertukar ganti.

10c.  Dia mencaci maki musuhnya.

10d.  Keselamatan dirinya tidak terganggu gugat.

 

11a.  Dia ingin menyebarluaskan berita itu.

11b.  Tentera musuh menghancurmusnahkan negara itu.

11c.  Penjajah cuba memecahbelahkan perpaduan rakyat negara itu.

11d.  Dia cuba memutarbelitkan fakta.

Dalam kelompok ayat 10, terdapat frasa kerja binaan dua kata kerja yang ditambah awalan, iaitu bercampur aduk, bertukar ganti, mencaci maki dan terganggu gugat. Dalam kelompok ayat 11, terdapat frasa kerja binaan dua kata kerja yang ditambah imbuhan apitan seperti menyebarluaskan, menghancurmusnahkan, memecahbelahkan dan memutarbelitkan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.