Oleh Kho Thong Eng
17 Oktober 2024, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dalam usaha kita untuk menguasai bahasa Melayu, kebolehan untuk membanding beza golongan, bentuk, fungsi dan makna kata amat penting.  Hal ini dapat mengelakkan kekeliruan dan menampilkan celik akal tentang bahasa Melayu.

Terdapat kata yang boleh berada pada kedudukan yang sama dengan maksud yang sama tetapi bentuknya berbeza.

1a.  Dia beroleh keuntungan.

1b.  Dia memperoleh keuntungan.

 

2a.  Dia belajar muzik.

2b.  Dia mempelajari muzik.

Dalam kelompok ayat 1, walaupun kata beroleh dan memperoleh dapat berada pada kedudukan yang sama, kata beroleh ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti pelengkap seperti keuntungan tetapi kata memperoleh ialah kata kerja transitif yang dapat diikuti oleh objek seperti keuntungan, dan dapat juga dipasifkan.  Dalam kelompok ayat 2, walaupun kata belajar dan mempelajari dapat berada pada kedudukan yang sama, kata belajar ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap yang dapat diikuti kata keterangan seperti muzik tetapi kata mempelajari ialah kata kerja transitif yang dapat diikuti objek seperti muzik dan dapat dipasifkan.

3a.  Dia terjatuh.

3b.  Dia tersandung akar pokok.

3c.  Dia terlanggar oleh kereta kawannya.

Dalam kelompok ayat 3, walaupun imbuhan teR- dapat ditambah pada kata jatuh, sandung dan langgar, kata terjatuh ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, kata tersandung ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh objek seperti akar pokok, manakala kata terlanggar ialah kata kerja pasif yang didahului oleh objek dia dan diikuti oleh kata sendi nama oleh dan benda yang melanggarnya, iaitu kereta kawannya.

4a.  Adakalanya dia tersilap.

4b.  Ada kalanya dia tersilap.

Dalam kelompok ayat 4, kata adakalanya merupakan kata tugas yang bermaksud “kadang-kadang”, manakala dalam ayat 4b, frasa ada kalanya ialah frasa kerja yang bererti “ada masa atau ketikanya”.

5a.  Dia menjalankan latihan.

5b.  Dia menjalani latihan.

Dalam kelompok ayat 5a, dia ialah jurulatih kerana kata menjalankan bererti “melaksanakan atau mengendalikan”, manakala dalam ayat 5b, dia berperanan sebagai pelatih kerana kata menjalani bermaksud “mengikuti atau mengalami”.

6a.  Dia memberi adiknya buku.

6b.  Dia memberikan buku kepada adiknya.

Dalam ayat 6a, kata memberi ialah kata kerja transitif dengan dua objek, iaitu objek tepat adiknya dan objek sipi buku.  Dalam ayat 6b pula, kata memberikan ialah kata kerja transitif dengan satu objek, iaitu kata buku dan frasa keterangan kepada adiknya.

7a.  Dia merotan di hutan.

7b.  Dia berotan di hutan.

8a.  Dia merotan tangan anaknya.

Dalam kelompok ayat 7, kata merotan dan berotan sefungsi dan seerti, iaitu merupakan kata kerja tak transitif yang bermaksud “mencari rotan”.  Dalam ayat 8a, kata merotan ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh objek tangan anaknya.

 

8a.  Pintu itu berkunci.

8b.  Pintu itu terkunci.

Dalam kelompok 8a dan 8b, kata berkunci dan terkunci sama fungsi dan erti, iaitu “sedia dikunci”.

 

9a.  Dia memperhamba orang bawahannya.

9b.  Dia memperhambakan dirinya.

Dalam ayat 9a, kata memperhamba bererti “menjadikan seseorang seperti hamba”.  Dalam ayat 9b, kata memperhambakan bermaksud “menjadikan diri seperti hamba”.

 

10a.  Dia membesarkan rumahnya.

10b.  Dia memperbesar rumahnya.

Dalam ayat 10a, kata membesarkan bererti “menjadikan yang kecil besar”. Dalam ayat 10b, kata memperbesar bermaksud “menjadikan yang besar lagi besar”.

 

11a.  Dia menghiris timun.

11b.  Dia menebas rumput.

11c.  Dia menebang pokok besar itu.

11d.  Dia memotong timun/rumput/pokok besar.

Dalam ayat 11a, kata menghiris bererti “memotong sesuatu nipis-nipis”.  Dalam ayat 11b, kata menebas sesuai digunakan untuk maksud “memotong tumbuhan yang berbatang lembut atau kecil”.  Dalam ayat 11c, kata menebang sesuai digunakan untuk makna “memotong pokok yang besar-besar”.  Dalam ayat 11d, kata memotong ialah kata umum atau kata superordinat yang dapat dikaitkan dengan perbuatan memotong timun, rumput dan pokok besar sekali gus.

 

12a.  Padi yang ditanamnya menjadi.

12b.  Dia menjadi guru.

Dalam ayat 12a, kata menjadi ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap yang bererti “berhasil”, tetapi dalam ayat 12b, kata menjadi ialah kata kerja tak transitif yang harus diikuti pelengkap seperti guru.

 

13a.  Dia pemalas.

13b.  Dia bersifat pemalas.

13c.  Dia murid yang pemalas.

Dalam ayat 13a, kata pemalas mungkin merupakan kata nama yang bererti “orang yang malas” atau kata adjektif yang bererti “malas”.  Dalam ayat 13b dan 13c pula, kata pemalas ialah kata adjektif yang bermaksud “malas”.

 

14a.  Dia cermat apabila/ketika/semasa bekerja.

14b.  Dia menangis apabila/ketika/semasa terjatuh.

14c.  Besi mengembang apabila/ketika/semasa dipanaskan.

14d.  Dia mengetahui berita semasa.

Dalam ayat 14a, 14b dan 14c, kata apabila, ketika dan sewaktu merupakan kata hubung keterangan waktu yang dapat bertukar ganti dan bererti “pada masa”. Walau bagaimanapun, dalam ayat 14b, kata apabila ada maksud tambahan, iaitu berkaitan dengan reaksi seseorang pada ketika/masa tertentu.  Dalam 14c, kata apabila ada juga maksud tambahan, iaitu berkaitan dengan kesan sesuatu perbuatan pada ketika/masa tertentu.  Dalam ayat 14d pula, kata semasa sebagai penerang inti frasa masa berita tidak dapat diganti dengan apabila atau ketika.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.