Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangAyat mungkin mempunyai susunan biasa atau susunan songsang. Ayat susunan biasa mempunyai subjek yang mendahului predikatnya, manakala ayat songsang ialah ayat yang mengalami pendepanan predikat atau sebahagian daripada predikat.
Subjek ayat terdiri daripada frasa nama, manakala predikatnya meliputi frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Oleh itu, ayat susunan songsang jelas kelihatan bagi ayat yang didasari pola Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif atau Frasa Nama + Frasa Sendi nama. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Dia belajar.
1b. Belajar dia.
2a. Dia pandai.
2b. Pandai dia.
3a. Dia ke kampung.
3b. Ke kampung dia.
Dalam kelompok ayat 1, ayat 1b ialah ayat susunan songsang kerana frasa kerja predikat belajar dikedepankan. Dalam kelompok ayat 2, ayat 2b ialah ayat susunan songsang kerana frasa adjektif predikat pandai dikedepankan. Dalam kelompok ayat 3, ayat 3b ialah ayat susunan songsang kerana frasa sendi nama predikat ke kampung dikedepankan.
Sesuatu ayat dikatakan bersusunan songsang jika frasa keterangan atau klausa keterangan padanya dikedepankan. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
4a. Dia memotong kek dengan pisau.
4b. Dengan pisau dia memotong kek.
5a. Dia memotong kek dengan menggunakan pisau.
5b. Dengan menggunakan pisau dia memotong kek.
Dalam kelompok ayat 4, ayat 4b ialah ayat susunan songsang kerana frasa keterangan dengan pisau dikedepankan. Dalam kelompok ayat 5 pula, ayat 5b ialah ayat susunan songsang kerana klausa keterangan dengan (dia) menggunakan pisau dikedepankan.
Susunan ayat songsang juga sangat jelas pada ayat tanya yang mengalami pendepanan kata ganti nama tanya, kata tanya atau frasa sendi nama tanya dengan -kah.
6a. Orang itu siapa?
6b. Siapakah orang itu?
7a. Dia tidak hadir mengapa?
7b. Mengapakah dia tidak hadir?
8a. Dia berasal dari mana?
8b. Dari manakah dia berasal?
Dalam kelompok ayat 6, ayat 6b ialah ayat susunan songsang kerana kata ganti nama diri tanya siapa dikedepankan dengan partikel penegas -kah. Dalam kelompok ayat 7, ayat 7b ialah ayat susunan songsang kerana kata tanya mengapa dikedepankan dengan partikel penegas -kah. Dalam kelompok ayat 8, ayat 8b ialah ayat susunan songsang kerana frasa sendi nama tanya dari mana dikedepankan dengan partikel penegas -kah.
Walau bagaimanapun, susunan ayat sama ada biasa atau songsang menampakkan unsur ketaksaan atau ambiguiti kalau melibatkan pola ayat Frasa Nama + Frasa Nama ekuatif. Sila lihat contoh yang berikut:
9a. Beliau salah seorang guru yang amat dedikasi.
9b. Salah seorang guru yang amat dedikasi beliau.
Dalam ayat 9a, subjek ayat ialah beliau dan predikatnya ialah salah seorang guru yang amat dedikasi. Sebaliknya, dalam ayat 9b, subjek ayat ialah salah seorang guru yang amat dedikasi manakala predikatnya ialah beliau. Dalam hal sebegini, memang sukar untuk kita menentukan sama ada ayat 9a atau 9b semestinya ayat susunan biasa atau ayat susunan songsang.
Namun demikian, biasanya ayat 9a merupakan ayat susunan biasa kerana kata beliau ialah subjek atau topik yang dihuraikan oleh predikat salah seorang guru yang amat dedikasi. Selain itu, ayat 9a biasanya merupakan jawapan kepada soalan berikut:
10a. Beliau siapa?
10b. Siapakah beliau?
Walaupun demikian, kita tidak dapat menolak kemungkinan (walaupun kurang biasa) seseorang bertanya seperti yang berikut:
11a. Salah seorang guru yang amat dedikasi siapa?
11b. Siapakah salah seorang guru yang amat dedikasi?
Oleh hal yang demikian, ayat 9b boleh juga dikatakan mempunyai susunan biasa atau susunan songsang.
Tuntasnya, ayat 9a atau 9b mungkin mempunyai susunan biasa atau susunan songsang bergantung pada giliran ayat yang diujarkan dahulu dan disongsangkan kemudiannya.
12a. Beliaulah salah seorang guru yang amat dedikasi.
12b. Salah seorang guru yang amat dedikasi beliau.
13a. *Salah seorang guru yang amat dedikasilah beliau.
Dalam kelompok ayat 12, ayat 12a jelas mempunyai susunan songsang kerana hanya predikat yang dikedepankan dapat ditambah partikel penegas -lah. Bagi ayat 13a pula, bentuk susunan songsangnya bukan ayat yang sejadi dalam bahasa Melayu.
14a. Berenang ialah hobinya.
14b. Aktiviti/kegiatan berenang ialah hobinya.
15a. Putih melambang kesucian.
15b. Warna putih melambangkan kesucian.
Ayat 14a merupakan ayat susunan biasa kerana inti frasa nama seperti aktiviti atau kegiatan yang mendahului penerang berenang telah digugurkan. Subjek asal ayat tersebut ialah aktiviti/kegiatan berenang (lihat ayat 14b). Ayat 15a juga merupakan ayat susunan biasa kerana inti frasa nama warna yang mendahului penerang putih telah digugurkan. Subjek asal ayat tersebut ialah warna putih (lihat ayat 15b).