Diterbitkan pada 26 Oktober 2024, 22:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah telah mengadakan Wacana Kearifan Tempatan Sabah “Pelestarian Peribahasa Etnik Melalui Penyelidikan” pada 23 Oktober 2024 bertempat di Dewan Amil Jaya, DBP Cawangan Sabah.

Antara objektif pelaksanaan program ini termasuklah untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di samping melestarikan bahasa, sastera, seni dan budaya etnik di Sabah melalui program wacana.

Sesi pembentangan kertas kerja oleh ahli panel Wacana Kearifan Tempatan Sabah “Pelestarian Peribahasa Etnik Melalui Penyelidikan”.

Program ini melibatkan sebanyak 200 peserta daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kolej Teknologi Yayasan Sabah, Maktab Sabah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Likas, Sekolah Menengah (SM) La Salle, SM St. Peter Telipok, SMK Bahang dan guru mata pelajaran Kadazan Dusun.

Panel pembentang kertas kerja wacana ini ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBrs. Dr. Rosliah Kiting; Presiden Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Rungus Malaysia (MOMOGUNSIA), YBrs. Dr. Azlan Shafie Abdullah@Raymond Majumah; dan Penasihat dan Pemegang Amanah Persatuan Kebudayaan Lundayeh Sabah, Encik Ricky Yakub Ganang.

Antara peserta yang hadir dalam Wacana Kearifan Tempatan Sabah “Pelestarian Peribahasa Etnik Melalui Penyelidikan” di DBP Cawangan Sabah.

Ketiga-tiga panel pembicara yang juga merupakan penulis buku Analisis Peribahasa Etnik di Sabah (Dusun Liwan, Dusun Kimaragang, Lundayeh dan Rungus) yang baharu dilancarkan dalam Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan DBP tahun 2023/2024 pada 22 Oktober 2024 di Hotel The Palace, Kota Kinabalu membincangkan hal yang berkaitan dengan peribahasa etnik masing-masing.

Menurut YBrs. Dr Rosliah Kiting, peribahasa dalam etnik Dusun Liwan yang disebut sebagai poinukadan atau tukadan antaranya bertujuan untuk mengelakkan pendengar atau sasaran berasa tersinggung sekiranya seseorang menyampaikan sesuatu secara berterus-terang, terutamanya kata-kata berupa teguran dan nasihat.

Tambah beliau lagi,

Penciptaan peribahasa seperti ini menggambarkan pemikiran masyarakat etnik Dusun Liwan yang mempamerkan amalan sikap, tingkah laku, pegangan hidup, budaya melibatkan semua peringkat struktur sosial yang sentiasa mengutamakan adab.

Antara contoh peribahasa dalam masyarakat etnik Dusun Liwan termasuklah  agayo hakod yang diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai “besar kaki”, iaitu bermaksud seseorang yang rajin, kuat dan cergas.

Sementara itu, YBrs. Dr. Azlan Shafie@Raymond Majumah pula yang berkongsi tentang tradisi lisan kategori puisi lisan yang dimiliki oleh masyarakat etnik Rungus.

“Suribhan dan sambatan pula merupakan dua istilah dalam bahasa Rungus yang merujuk kepada peribahasa,” katanya.

Puan Jennitah Noordin menyampaikan cenderamata kepada YBhg. Datuk Jasni Matlani, iaitu buku Analisis Peribahasa Etnik di Sabah (Dusun Liwan, Dusun Kimaragang, Lundayeh dan Rungus).

Tradisi yang telah berakar-umbi ini dapat memperindah bahasa, memperjelas maksud sesuatu isu yang dibincangkan dan mempunyai fungsinya yang tersendiri.

Antara contoh peribahasa dalam masyarakat etnik Rungus termasuklah ”panau dho” terjemahan dalam bahasa Melayu “jalan seperti pengantin”, iaitu bermaksud kebiasaannya seorang pengantin akan berjalan secara perlahan.

Encik Ricky Yakub Ganang pula menyatakan bahawa fungsi utama peribahasa etnik Lundayeh adalah bertujuan untuk menegur, menyindir dan mengajar seseorang yang tidak tahu akan peranan mereka dalam masyarakat.

Bagi masyarakat etnik Lundayeh, peribahasa amat penting untuk membentuk tingkah laku seseorang.

Meskipun sudah kurang digunakan tetapi nilainya amat penting dan berfungsi sebagai alat komunikasi berbentuk sindiran, teguran dan ajaran.

Turut hadir ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Datuk Jasni Matlani; Timbalan Pengarah I DBP Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin; dan Timbalan Pengarah II DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah Kuli.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi