Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Kinabalu – Christavalenie James dari Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJK(C)) Yick Nam, Inanam dinobatkan sebagai johan pertandingan Buku Skrap dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM700 dan sijil penghargaan.

Pertandingan Buku Skrap yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah bersempena dengan Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2024 Peringkat Negeri Sabah yang bermula dari 4 Jun 2024 hingga 31 Ogos 2024 ini merupakan anjuran kali keempat sejak pertama kali diadakan pada tahun 2020.

Objektif pertandingan ini adalah untuk meningkatkan kreativiti pelajar berdasarkan pembacaan dan pemerhatian berkaitan dengan tema pada tahun ini, iaitu “Kebakaran Hutan di Sabah”.
Sebanyak 33 penyertaan daripada pelajar tahap dua SJK(C) dari sekitar daerah Kota Kinabalu telah diterima oleh pihak urus setia.
Naib johan pertandingan ini pula disandang oleh Muhammad Kely dari SJK(C) Lok Yuk, Menggatal yang menerima hadiah wang tunai RM500 dan sijil penghargaan.

Sementara itu, Fateh Raudhah Sahrin dari SJK(C) St. James muncul sebagai pemenang tempat ketiga dengan menerima wang tunai bernilai RM300 dan sijil penghargaan.

Selain itu, penerima hadiah sagu hati pula dimenangi oleh Jessie Jong Jia Xin dan Shanna Leong Tze Yung dari SJK(C) Chung Hwa, Kota Kinabalu; Elysia Christa Ajik dari SJK(C) St. Peter, Telipok; Deeodree Orchie Hansi dari SJK(C) Lok Yuk, Menggatal; dan Syarifah Ariana Syed Iskandarshah dari SJK(C) Hwa Shiong, Putatan dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM100 dan sijil penghargaan.

Hadiah kepada para pemenang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 Peringkat Negeri Sabah baru-baru ini.


Elysia Christa Ajik dari SJK(C) St. Peter, Telipok penerima hadiah sagu hati.