31 Oktober 2024, 22:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Peribahasa yang menjadi mauduk artikel ini adalah yang bersandarkan gagasan Za’ba (1962) tentang jenis peribahasa yang dikategorikan mengikut ciri-ciri struktur atau bentuknya. Bertitik tolak daripada pandangan bahawa peribahasa, khususnya peribahasa Melayu, merupakan wahana untuk menyampaikan pesan, pemikiran serta cerminan kearifan orang Melayu yang tinggi melalui pengungkapan bahasa yang tersurat dan tersirat, maka artikel ini cuba untuk mengenal pasti nilai yang menunjangi akal budi seperti yang terungkap dalam peribahasa Melayu.

Dalam pada itu, perlu diperihalkan bahawa peribahasa mengandungi pelbagai makna tersurat dan tersirat sesuai dengan genre masing-masing. Menurut Za’ba, peribahasa ialah segala susunan cakap pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya, digunakan dan menjadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Maka peribahasa juga dikatakan bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan kerana tiap-tiap percakapan ini mengandungi segala sifat peribahasa yang telah disebutkan itu.

Perlu diingat bahawa kesusasteraan tradisional merupakan satu daripada genre kesusasteraan, dan peribahasa yang digolongkan sebagai puisi tradisional merupakan satu daripada genre kesusasteraan tradisional yang mempunyai bentuk, ciri dan fungsi tersendiri yang membezakannya dengan genre kesusasteraan moden.

Dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003), maksud peribahasa ialah kelompok kata atau kalimat yang tetap susunannya dan biasanya mengiaskan maksud tertentu berupa perbandingan, contoh, nasihat, prinsip hidup atau aturan tingkah laku. Selain itu, denotasi lain bagi peribahasa ialah pepatah, perumpamaan, simpulan bahasa dan bidalan.

Syahadan, peribahasa ialah satu daripada subgenre puisi tradisional yang tetap malar segar lantaran terus digunakan sejak zaman-berzaman. Peribahasa juga dikategorikan sebagai sastera lisan bercorak bukan cerita. Dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1998), peribahasa ditakrifkan sebagai frasa dan ayat yang mempunyai susunan yang tepat dan mengandungi makna yang khusus.

Menurut Iman Budhi Santosa pula, peribahasa atau sering disebut aforisme ialah kelompok kata atau kalimat yang susunannya tetap untuk mengungkapkan pernyataan tertentu. Isinya ialah perbandingan, perumpamaan, nasihat, prinsip hidup, aturan tingkah laku, baik yang dipuji ataupun yang dilarang dalam adat tradisi setempat. Konstruksi kalimat peribahasa umumnya dibuat singkat, padat dan puitis agar memiliki daya tarik sehingga mudah dihafal dan diingat oleh masyarakatnya. Dalam sejarahnya, peribahasa yang berisi nasihat lahir dan digali daripada pandangan hidup yang bersumber pada agama, kepercayaan, mitos religi, falsafah, serta ajaran para cerdik pandai, pujangga, wali, raja dan datu pada masa lalu yang terbukti ampuh sebagai pedoman hidup mereka.

Selanjutnya, Mohd. Taib Osman berpandangan bahawa genre seperti kesusasteraan, muzik, drama, tarian dan pelbagai bentuk kesenian dan kebudayaan tradisional yang lain memancarkan akal budi Melayu.

Istilah akal budi mempunyai pelbagai pengertian dan takrifan. Kamus Bahasa Melayu Nusantara (2003) memberikan deskripsi akal budi sebagai “fikiran yang sihat”. Begitu juga dengan Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), memberikan pengertian yang sama. Oleh itu, pengertian dan definisi akal budi ialah fikiran atau minda yang sihat.

Fikiran atau minda yang sihat menurut Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (14 Mei 2018) terdiri daripada 10 elemen atau ciri yang digambarkannya sebagai Pokok Minda Sihat. Minda yang sihat juga mempunyai keupayaan dan unsur menangani kemarahan, menyelesaikan masalah, produktiviti, kebahagiaan, bermotivasi, tegas diri, harga diri, matlamat hidup realistik, bertolak-ansur dan menerima hakikat.

Maka itu, dapatlah dirumuskan bahawa akal budi ialah fikiran yang sihat, dan melalui fikiran yang sihat itulah munculnya pelbagai nilai yang baik dan murni dalam pelbagai bentuk nasihat dan peringatan.

Peribahasa bukan sahaja memerlihalkan akal budi orang Melayu yang halus dan tinggi, tetapi juga menggambarkan kearifan orang Melayu dalam pelbagai bidang, sekali gus mencerminkan kehalusan serta ketinggian pemikiran bangsa tersebut. Hakikat tersebut telah dibuktikan dalam beberapa kajian para sarjana dalam bidang kesusasteraan tradisional, terutamanya kajian berkaitan dengan genre dan fungsi peribahasa.

Dalam tesis sarjana Ahmad Fuad Mat Hassan (2010) berjudul “Bahasa dan Pemikiran Peribahasa Melayu dari Sudut Pragmatik” ditemukan bahawa mesej pemikiran orang Melayu dalam peribahasa disampaikan menerusi penggunaan bahasa tersurat dan tersirat. Kajian beliau juga mendapati bahawa penggunaan bahasa dalam peribahasa menyerlahkan aspek kreativiti dan ketinggian pemikiran orang Melayu.

Indrawati Zahid pula dalam tesis sarjananya yang bertajuk “Semantik Leksikal dalam Peribahasa Melayu” (1995) menunjukkan bahawa masyarakat Melayu dahulu amat bijak dalam pemilihan perkataan bagi menghasilkan peribahasa. Kebijaksanaan dalam penggunaan aneka perkataan itu turut menyerlahkan kepekaan masyarakat dahulu mengadaptasi sesuatu makna dengan berbagai-bagai perkataan yang terpilih.

Sementara itu, menurut Ding Choo Ming (2009) dalam artikelnya yang bertajuk “Beberapa Sifat, Asal Usul dan Kepengarangan Peribahasa Melayu”, peribahasa Melayu mempunyai citra atau identiti budaya Melayu lantaran pemikiran, falsafah, akal, budi dan isi lain yang hendak diungkapkan serta diserlahkan itu telah dibaluti dan dikemasi dengan bahasa yang indah dan dalam bentuk yang tetap. Dapatan yang ditemukan oleh Ding dalam kajiannya tidak mengira masa penciptaan peribahasa itu, sama ada lahir daripada masyarakat Melayu pada masa lampau ataupun pada zaman moden ini. Peribahasa Melayu ialah milik orang dan masyarakat Melayu.

Kajian Ding Choo Ming tersebut cukup penting kerana penemuannya jelas memperlihatkan kekreatifan dan ketekalan orang Melayu mengarang peribahasa, sekali gus menunjukkan keunikan dan ketulenan karangan atau ciptaan mereka yang indah dan berpemikiran tinggi itu.

Seyogianya, simpulan bahasa ialah satu daripada jenis peribahasa, dan dalam jurnal “Aspek Kognitif dalam Pembentukan Simpulan Bahasa Kata Makan”, Andia Sarudin (2012) menegaskan bahawa keupayaan akal yang terserlah dalam penciptaan simpulan bahasa dalam kalangan masyarakat Melayu hendaklah dikagumi. Kajiannya juga mendapati bahawa kearifan masyarakat Melayu menggunakan kata-kata sebagai metafora memperlihatkan kekreatifan mereka mengungkapkan sesuatu hal dengan hasrat tertentu yang hendak disampaikan.

Sehubungan dengan itu, Zaitul Azma Zainon Hamzah dan Ahmad Fuad Mat Hassan (2011) dalam kajian mereka yang bertajuk, “Bahasa dan Pemikiran dalam Peribahasa Melayu” pula mendapati bahawa wujud unsur pemikiran yang melatari tiap-tiap peribahasa yang diungkapkan. Kajian itu juga menemukan bahawa bahasa dalam peribahasa Melayu ternyata mempunyai hubungan yang akrab dengan pemikiran orang Melayu dalam lingkungan sejarah, kebudayaan, geopolitik, geobudaya dan alam sekelilingnya. Lima bentuk pemikiran Melayu yang ditemukan dalam kajian itu ialah pemikiran tentang kewujudan (metafizik), pemikiran tentang ilmu pengetahuan (epistemologi), pemikiran tentang tingkah laku dan moral manusia (etika), pemikiran tentang penaakulan manusia terhadap alam (logik) dan pemikiran tentang keindahan (estetika).

Buku Puisi Melayu Tradisional: Satu Pembicaraan Genre dan Fungsi oleh Harun Mat Piah merupakan kajian yang cukup terperinci berkaitan dengan peribahasa Melayu, terutamanya dari aspek genre dan fungsi puisi tradisional. Menurutnya, peribahasa berangkap ialah ungkapan yang dikenali dan berperanan sebagai peribahasa yang secara umumnya meliputi juga perumpamaan, bidalan, pepatah, perbilangan, tamsil, ibarat dan lidah pendeta.

Dengan bersandarkan pandangan Za’ba tentang kedudukan peribahasa dalam kebudayaan sesuatu bangsa, yakni peribahasa sebagai pandangan dunia masyarakat atau bangsa yang mempunyainya, Harun Mat Piah membahagikan fungsi peribahasa kepada tiga kelompok utama, yakni peribahasa sebagai pernyataan etos masyarakat, gambaran sikap dan pegangan hidup, dan pancaran kepelbagaian cara hidup dan persekitaran masyarakat.

Sebenarnya, penciptaan peribahasa ialah cerminan akal budi dan pemikiran orang Melayu yang tinggi dan kreatif seperti yang tersurat dan tersirat dalam puisi tradisional Melayu. Aminudin Mansor dalam bukunya, Akal Budi Melayu dalam Pantun dan Sajak mengatakan bahawa akal budi harus didefinisikan berdasarkan aneka pandangan. Menurutnya, konsep akal budi boleh didefinisikan bersandarkan pandangan al-Quran dan sarjana Islam, sarjana Melayu, sarjana Timur dan Barat, dan akal budi sebagai falsafah hidup bangsa Melayu.

Kajiannya yang tertumpu pada akal budi yang terkandung dalam pantun dan sajak mendapati bahawa untuk menyelami akal budi Melayu, kedua-dua subgenre puisi tradisional dan moden itu perlu difahami. Aminudin Mansor menegaskan bahawa “Falsafah akal budi Melayu patut dikekalkan dan diamalkan yang berkaitan rapat dengan nilai budi bahasa dan pemikiran orang Melayu.”

Kendatipun subjek kajian Aminudin Mansor ialah pantun dan sajak, namun hasil kajiannya itu ada hubung kait dengan artikel ini kerana persoalan yang dirungkaikan itu sama, iaitu aspek akal budi Melayu, di samping pantun ialah satu daripada genre tradisi lisan atau kesusasteraan tradisional. Dari segi struktur, peribahasa berbeza daripada pantun kerana pantun dari segi polanya terdiri daripada pembayang dan maksud, sedangkan peribahasa tidak terbina seperti pola itu. Pantun juga mempunyai skema rima yang tetap, iaitu a b a b, manakala peribahasa tidak mempunyai skema rima yang tetap.

Dengan memetik kajian Harun Mat Piah yang mengatakan bahawa peribahasa dalam pantun yang jumlahnya lebih daripada 400 merupakan ekspresi berangkap, lengkap dan bersastera. Kajiannya juga mendapati bahawa pantun peribahasa membawa pengajaran yang boleh difahami, sekali gus pemaparan idea yang tepat melalui pantun peribahasa merupakan suatu bentuk kesinambungan dan pemaparan citra kehidupan masyarakat Melayu.

Syahadan, peribahasa sebagai satu daripada subgenre kesusasteraan tradisional yang berkembang subur dan mekar hingga hari ini mencerminkan pemikiran, keperibadian dan kearifan orang Melayu. Penggunaan peribahasa yang masih kekal dalam kalangan orang Melayu khususnya, merupakan cerminan pemikiran kognisi orang Melayu yang terhasil daripada kearifan pengamatan dan pentafsiran mereka terhadap persekitaran, pengalaman, peristiwa, serta gejala dan kejadian yang mereka alami, dan berlaku dalam lingkungan kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat mereka.

Peribahasa seperti juga hakikat sesuatu bahasa ialah fakta sosial dan budaya, dan kebanyakan bahasa mempunyai unsur kearifan masing-masing. Oleh itu, pembentukan dan penciptaan peribahasa adalah bersandarkan aspek budaya yang melingkari kewujudannya. Bahasa bersifat dinamik, maka bolehlah diandaikan bahawa peribahasa juga dinamik sifatnya.

Peribahasa yang merupakan ungkapan metafora yang terdapat dalam kalangan masyarakat Melayu mengandungi makna tersurat dan tersirat yang memerlukan mata fikir dan mata hati untuk mentafsirkan maknanya. Maka itu, untuk mendeskripsikan atau menghuraikan makna yang tersurat dan tersirat serta aneka elemen estetika dalam peribahasa, beberapa teori dan model perlu diaplikasikan.

Perlu diingat bahawa peribahasa merupakan satu daripada kaedah penggunaan bahasa figuratif dalam kalangan orang Melayu, sekali gus mencerminkan jenis dan bentuk metafora Melayu. Seperti juga pantun, peribahasa memperlihatkan ketinggian akal budi Melayu, khususnya dalam aspek daya cipta dan seni berbahasa.

Hassan Ahmad dalam buku Bahasa dan Pemikiran Melayu menegaskan bahawa metafora Melayu dibentuk melalui kaedah atau proses perumpamaan atau perbandingan, atau jenis yang bersifat analogi, kiasan dan bidalan yang disampaikan melalui pelbagai jenis simpulan bahasa, peribahasa, pepatah, metonimi dan personifikasi. Hal ini tidak bererti bahawa jenis metafora ini mempunyai sempadan pemisahan skema konseptual yang jelas antara satu dengan yang lain, walaupun sebenarnya proses mental yang asas dalam pembentukan metafora Melayu ialah proses analogi atau perbandingan dan perumpamaan.

Dalam pada itu, makna metafora yang terdapat dalam peribahasa Melayu juga bersifat konotatif, iaitu berkenaan dengan erti, kata, ungkapan dan perkataan yang selain mengandungi makna tersurat, lazimnya mengandungi nilai emosi yang disebabkan oleh pengaruh latar belakang kebudayaan, keagamaan dan sebagainya. Metafora Melayu menurut Za’ba ialah peribahasa yang menyebutkan sesuatu maksud dengan dikiaskan kepada sesuatu perkara yang lain yang menjadikan ertinya dua lapis. (Hassan Ahmad, 2016).

Dengan bersandarkan pandangan Za’ba tentang kedudukan peribahasa dalam kebudayaan sesuatu bangsa, yakni peribahasa sebagai pandangan dunia masyarakat atau bangsa yang mempunyainya, Harun Mat Piah membahagikan fungsi peribahasa kepada tiga kelompok utama, yakni peribahasa sebagai pernyataan etos masyarakat, gambaran sikap dan pegangan hidup, dan pancaran kepelbagaian cara hidup dan persekitaran masyarakat.

Oleh itu, akal budi ada hubung kaitnya dengan minda dan pandangan hidup sesuatu bangsa. Penciptaan peribahasa dan penggunaan metafora yang meluas merupakan cerminan akal budi dan pemikiran orang Melayu yang tinggi dan kreatif seperti yang tersurat dan tersirat dalam satu daripada subgenre puisi tradisional Melayu tersebut.

Sekiranya diteliti pelbagai peribahasa Melayu, didapati makna yang tersirat dan figuratif itulah yang melambangkan akal budi Melayu, khususnya yang berkaitan dengan kebijaksanaan dan ketajaman pemikiran orang Melayu. Kekreatifan orang Melayu dalam pembentukan dan penciptaan peribahasa dapat dilihat dari aspek kebijaksanaan mereka memilih perkataan dan metafora, menyusun serta menganyam perkataan dan metafora yang bersifat konseptual menjadi ungkapan dan kalimat yang indah serta tinggi keintelektualannya.

Bayangkan dengan perkataan “makan” sahaja, orang Melayu dengan daya cipta atau kreativiti mereka yang tinggi dapat menjanakan pelbagai jenis dan bentuk simpulan bahasa yang menyuratkan, menyirat dan mengiaskan aneka makna yang berbeza:

  1. Makan ajar yang bererti mengikut atau menerima ajaran.
  2. Makan angin yang bermaksud pergi ke sesuatu tempat atau negeri yang menarik dalam tempoh tertentu untuk berehat, melawat dan sebagainya.
  • Makan angkat atau makan ampu yang bermaksud suka menerima pujian.
  1. Makan bunga bermaksud mengambil keuntungan atau faedah daripada sesuatu yang dipinjamkan.
  2. Makan dalam yang bererti pendiam, tetapi banyak berfikir atau berpengalaman, dan bersifat suka memendam perasaan.
  3. Makan diri yang bermaksud membawa kebinasaan kepada diri sendiri.
  • Makan duit yang bererti menerima rasuah atau mengambil wang kerajaan atau majikan untuk kegunaan sendiri.
  • Makan luar yang bermaksud mengadakan hubungan seks dengan seseorang yang bukan suami atau isterinya sendiri.
  1. Makan pujuk yang bererti mudah dipujuk apabila merajuk, dan untuk membuat sesuatu.
  2. Makan sumpah bermaksud mendapat kesusahan atau ditimpa bencana kerana tidak mematuhi sumpah yang dilafazkan.

Tegasnya, penggunaan metafora yang dominan dalam peribahasa Melayu jelas memperlihatkan kebijaksanaan bangsa Melayu dalam berkomunikasi. Kesantunan, kesopanan dan kehalusan budi bahasa mereka sesuai dengan nilai budaya serta keagamaan yang diamalkan, dan dijadikan amalan kehidupan mereka. Penggunaan metafora yang ketara dalam pembentukan dan penciptaan peribahasa juga menunjukkan betapa bangsa Melayu begitu berhati-hati dan bersopan santun ketika berbicara. Mereka memilih untuk tidak meluahkan perasaan atau menyatakan niat sebenar mereka secara langsung dan terang-terangan demi menjaga nilai kesantunan bahasa dan kemurnian agama mereka, sekali gus untuk tidak dianggap sebagai kurang sopan dan melanggar adab dalam hubungan sesama manusia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.