Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKebanyakan kata kerja dalam bahasa Melayu hanya tergolong sebagai kata kerja transitif atau kata kerja tidak transitif. Namun demikian, ada kata kerja yang mendukung pelbagai fungsi, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
1a. Dia terlanggar kereta itu.
1b. Dia terlanggar oleh kereta itu.
2a. Dia terangkat batu yang besar itu.
2b. Batu yang besar itu terangkat olehnya.
Dalam ayat 1a, kata kerja terlanggar ialah kata kerja transitif dengan maksud “tidak sengaja”, manakala dalam ayat 1b, kata kerja terlanggar ialah kata kerja pasif. Dalam ayat 2a, kata kerja terangkat ialah kata kerja transitif dengan maksud “berupaya”, manakala dalam ayat 2b, kata kerja terangkat ialah kata kerja pasif.
3a. Dia merotan di dalam hutan.
3b. Dia merotan anaknya.
4a. Dia tidak mengambil hati walaupun diejek orang.
4b. Dia cuba mengambil hati gadis itu.
Dalam ayat 3a, kata kerja merotan ialah kata kerja tak transitif yang bermaksud “mencari rotan”, tetapi dalam ayat 3b, kata kerja merotan yang diikuti objek anaknya ialah kata kerja transitif. Dalam ayat 4a, kata kerja majmuk mengambil hati ialah kata kerja tak transitif yang bermaksud “berasa marah”, tetapi dalam ayat 4b, kata kerja majmuk mengambil hati yang diikuti objek gadis itu ialah kata kerja transitif.
Terdapat kata kerja tak transitif yang dapat berdiri sendiri atau mesti diikuti oleh pelengkap, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
5a. Orang itu berada.
5b. Dia berada di luar negara.
6a. Orang itu berasal.
6b. Dia berasal dari Kelantan.
7a. Hasilnya bertambah.
7b. Dia bertambah yakin.
Dalam ayat 5a, kata kerja berada ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “berharta, berwang”, tetapi dalam ayat 5b, kata kerja berada ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti dengan frasa sendi nama pelengkap seperti di luar negara. Dalam ayat 6a, kata kerja berasal ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “berketurunan baik-baik”, tetapi dalam ayat 6b, kata kerja berasal ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti frasa sendi nama pelengkap seperti dari Kelantan. Dalam ayat 7a, kata kerja bertambah ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “menjadi lebih banyak”, tetapi dalam ayat 7b, kata kerja bertambah ialah kata kerja tak transitif yang bererti “semakin” dan perlu diikuti kata adjektif pelengkap seperti yakin.
8a. Tanamannya menjadi.
8b. Dia menjadi guru.
8c. Dia menjadi pandai.
9a. Dia tinggal untuk menjaga adiknya.
9b. Dia tinggal di kampung.
9c. Dia tinggal miskin.
10a. Dia percaya bahawa hantu ada.
10b. Bukunya ada pada kawannya.
10c. Dia ada tanah di kampung.
Dalam ayat 8a, kata kerja menjadi ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “berhasil”, tetapi dalam ayat 8b, kata kerja menjadi ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh kata nama pelengkap seperti guru, dan dalam ayat 8c, kata kerja menjadi ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh kata adjektif pelengkap seperti pandai. Dalam ayat 9a, kata kerja tinggal ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “kekal berada di sesuatu tempat”, tetapi dalam ayat 9b, kata kerja tinggal ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh frasa sendi nama pelengkap seperti di kampung, dan dalam ayat 9c, kata kerja tinggal ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti kata adjektif pelengkap seperti miskin. Dalam ayat 10a, kata kerja ada ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap dengan maksud “wujud”, tetapi dalam ayat 10b, kata kerja ada ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh frasa sendi nama pelengkap seperti pada kawannya, dan dalam ayat 10c, kata kerja ada ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh kata nama pelengkap seperti tanah.
Terdapat kata kerja tak transitif yang tetap berfungsi sebagai kata kerja atau berfungsi sebagai adverba konteks, bergantung pada konteks penggunaannya dalam ayat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
11a. Kasutnya berkilat.
11b. Kasutnya hitam berkilat.
12a. Dia beransur pulih.
12b. Hutannya dibayar beransur.
13a. Dia bersendirian.
13b. Dia ke luar negara bersendirian.
Dalam ayat 11a, kata kerja berkilat ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, tetapi dalam ayat 11b, kata kerja berkilat berfungsi sebagai adverba konteks kepada kata adjektif hitam. Dalam ayat 12a, kata kerja beransur ialah kata kerja tak transitif yang perlu diikuti oleh kata adjektif pelengkap seperti pulih, tetapi dalam ayat 12b, kata kerja beransur berfungsi sebagai adverba konteks kepada kata kerja dibayar. Dalam ayat 13a, kata kerja bersendirian ialah kata kerja tak transitif tanpa pelengkap, tetapi dalam ayat 13b, kata kerja bersendirian berfungsi sebagai adverba konteks kepada frasa sendi nama ke luar negara.
Terdapat juga kata kerja tak transitif yang dapat berfungsi seperti adjektif dan dapat diiringi oleh kata penguat. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
14a. Kejayaannya membanggakan keluarganya.
14b. Kejayaannya sangat membanggakan.
14c. Kejayaannya sangat hebat.
15a. Dia amat berperikemanusiaan.
15b. Dia amat penyayang.
Dalam ayat 14a, kata kerja membanggakan ialah kata kerja transitif yang diikuti oleh objek keluarganya, tetapi dalam ayat 14b, kata kerja membanggakan berfungsi seperti kata adjektif hebat dan dapat diiringi oleh kata penguat seperti sangat. Dalam ayat 15a, kata kerja berperikemanusiaan berfungsi seperti kata adjektif penyayang dan dapat diiringi oleh kata penguat seperti amat.
Terdapat juga kata kerja yang boleh berfungsi sebagai kata sendi nama atau kata pemeri. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
16a. Dia berceramah mengenai kasih sayang.
16b. Mengikut Ali, adiknya tidak bersalah.
16c. Mereka berhubung menerusi/melalui Internet.
17a. Ali merupakan murid yang pintar.
Dalam ayat 16a, kata kerja mengenai berfungsi seperti kata sendi nama tentang. Dalam ayat 16b, kata mengikut berfungsi seperti kata sendi nama bagi. Dalam ayat 16c, kata menerusi atau melalui berfungsi seperti kata sendi nama dengan. Dalam ayat 17a pula, kata kerja merupakan berfungsi seperti kata pemeri ialah.