Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSemasa pembentangan Belanjawan 2025 baru-baru ini, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menimbulkan perdebatan masyarakat dengan penggunaan istilah ketimbang dalam ucapannya. Istilah yang jarang digunakan dalam konteks formal ini mencetuskan perbincangan hangat dalam pelantar media sosial dan dalam kalangan masyarakat. Ramai yang mempersoalkan pemilihan istilah berkenaan oleh pemimpin negara tersebut.
Ketimbang merupakan istilah yang membawa maksud yang serupa dengan daripada atau berbanding dengan yang dianggap lebih formal. Ada yang menganggap penggunaan istilah ini sebagai pendekatan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk lebih dekat dengan rakyat biasa dan seterusnya menunjukkan sisi yang lebih santai dan mesra dalam berkomunikasi.
Namun begitu, ada juga yang berpendapat bahawa penggunaan kata ketimbang dalam ucapan rasmi kebangsaan mungkin kurang tepat dan menimbulkan kekeliruan. Fenomena ini memperlihatkan bagaimana pemilihan kata dalam ucapan pemimpin boleh mencetuskan respons yang pelbagai dan menjadi cerminan dinamik bahasa dalam masyarakat kita.
Lebih menarik, sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan mencetuskan polemik nakal, yang menyatakan bahawa ketimbang merupakan singkatan dari kata tertentu seperti “kencing, tipu, dan sembang”, yakni suatu tafsiran sinis sesetengah pihak yang mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial. Sebahagian rakyat menganggapnya sebagai jenaka, sementara yang lain menganggapnya sebagai usaha untuk meremehkan ucapan Perdana Menteri.
Dalam konteks yang lebih luas, isu ini memperlihatkan betapa bahasa dan pilihan kata dalam ucapan rasmi mampu menjadi isu yang menarik perhatian, dan bagaimana tafsiran kreatif atau sindiran masyarakat boleh menghidupkan perbincangan tentang sesuatu istilah. Antara ayat yang melibatkan perkataan ketimbang yang digunakan oleh Perdana Menteri semasa pembentangan tersebut termasuklah:
“Meskipun ekonomi dunia serba galau dek hiruk-pikuk geopolitik tidak berkesudahan, kedudukan ekonomi negara kalis tantangan dan terus mengukuh. Pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, ketimbang 4.2 peratus suku pertama.”
Dan
“Dengan itu, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) 2024 diunjur lebih kukuh antara 4.8 hingga 5.3 peratus; ketimbang antara 4 ke 5 peratus sebelumnya. Malah, Bank Dunia juga menaikkan unjuran pertumbuhan Malaysia kepada 4.9 peratus, ketimbang 4.3 peratus April lalu.”
Sumber: Teks ucapan penuh Belanjawan 2025
Lantas, untuk meredakan keadaan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mengambil tindakan segera dan proaktif dengan menyatakan hasrat untuk mempertimbangkan kemasukan definisi istilah berkenaan ke dalam Kamus Dewan Perdana Edisi Kedua. Malah, penulis turut menyelusuri laman sesawang prpm.dbp.gov.my yang merupakan portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu untuk menyemak definisi sebenar istilah berkenaan.
Menurut DBP, ketimbang merupakan kata sendi nama yang membawa maksud menyatakan atau menunjukkan perbezaan atau perbandingan antara sesuatu. Perkara ini sangat sinonim dengan konsep matematik kerana banyak konsep dalam bidang ini melibatkan analisis antara dua atau lebih elemen bagi memahami hubungan atau nilai relatif mereka. Pada dasarnya, perbandingan adalah asas bagi kebanyakan operasi matematik, dari yang paling asas seperti membandingkan bilangan sehingga ke konsep yang lebih kompleks dalam algebra, geometri, dan statistik.
Perbandingan memberikan konteks untuk mengukur, menilai, atau menentukan sesuatu nilai dengan rujukan kepada nilai lain yang menjadi dasar kepada pemahaman konsep penting dalam matematik. Sebagai contoh, dalam aritmetik asas, kita kerap menggunakan perbandingan untuk menentukan bilangan manakah yang lebih besar, lebih kecil, atau sama dengan bilangan lain. Contohnya, “Lebih mudah untuk menghitung jumlah 12 + 15 secara mental ketimbang mengira 12 × 15 tanpa kalkulator”, atau dalam unit piawai khususnya konsep panjang, “Lebih mudah menukar sentimeter ke meter ketimbang ke kilometer”.
Dalam pecahan, perbandingan membantu kita memahami hubungan antara pembilang dengan penyebut yang seterusnya memberikan makna kepada konsep peratus dan perkadaran. Contohnya, “lebih mudah menukar pecahan 1/2 ke peratus ketimbang menukar 1/3 ke peratus secara mental”.
Dalam bidang statistik pula, perbandingan adalah asas bagi analisis data, yakni kita melihat hubungan antara kumpulan data atau nilai tertentu untuk membuat kesimpulan yang bermakna. Sebagi contoh dalam pentaksiran antarabangsa matematik yang melibatkan murid Malaysia, iaitu Trends in International Mathematics and Science Study (TIMSS) dan Programme for International Student Assessment (PISA) yang melibatkan perbandingan pencapaian matematik murid Malaysia dengan negara lain. Misalnya, “Pencapaian murid Malaysia dalam TIMSS pada tahun 2019 dilihat sedikit menurun ketimbang TIMSS pada tahun 2015”, atau “Pencapaian murid Singapura lebih tinggi ketimbang murid Malaysia dalam kedua-dua pentaksiran berkenaan”.
Penggunaan statistik untuk perbandingan juga membantu kita membuat keputusan berdasarkan bukti, seperti ujian hipotesis dalam analisis statistik inferensi. Hal ini banyak dijelmakan dalam penulisan karya bersifat penyelidikan mahupun tesis. Umpamanya, “Skor ujian pencapaian matematik peserta kajian dalam kumpulan eksperimen dilihat lebih tinggi ketimbang kumpulan kawalan”.
Skala dan nisbah dalam geometri juga tidak terkecuali apabila kedua-duanya menggunakan perbandingan untuk menghubungkan ukuran sebenar dengan model yang lebih mudah diukur atau difahami. Contohnya, “Menggunakan peta dengan skala 1:50,000 lebih terperinci ketimbang skala 1:100,000. Maka itu, hal ini lebih sesuai untuk kajian kawasan kecil.”
Kesimpulannya, walaupun istilah ketimbang ini boleh digunakan dalam situasi harian biasa, umpamanya “Saya lebih suka membaca buku ketimbang menonton televisyen”, namun dalam konteks ucapan YAB Perdana Menteri semasa pembentangan Belanjawan 2025, hal tersebut digunakan untuk membandingkan peruntukan yang diberikan kerajaan dalam sektor tertentu, di samping membandingkan perubahan positif kadar mata wang negara.
Hal ini boleh dilihat apabila penulis menekan butang “Ctrl” serentak dengan butang aksara “F” pada papan kekunci riba dan kemudian menaip perkataan ketimbang, maka terjelmalah sebanyak 59 perkataan ketimbang dalam teks penuh ucapan Belanjawan 2025.
Sehubungan dengan itu, matematik bukan sahaja memberikan asas yang kuat dalam mengukur dan menilai, tetapi juga membantu kita melihat dan memahami pola serta hubungan dalam pelbagai konteks melalui perbandingan yang boleh diwakili dengan istilah ketimbang. Oleh sebab itulah, perbandingan sering dianggap sebagai konsep teras yang menghubungkan pelbagai bidang dalam matematik dan menjadikannya alat yang berguna dalam penyelesaian masalah.