Oleh Kho Thong Eng
21 November 2024, 17:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengertian “kesangatan” biasanya dinyatakan dengan penggunaan kata penguat bebas sangat, amat atau sungguh.  Sila lihat contoh yang berikut:

Di hadapan kata adjektif

1a.  Dia sangat sopan.

1b.  Dia amat sopan.

1c.  Dia sungguh sopan.

Di belakang kata adjektif

2a.  Dia sopan sangat.

2b.  Dia sopan amat.

2c.  Dia sopan sungguh.

Pengertian “kesangatan” dapat juga dinyatakan dengan kata penguat lain, seperti cukup, benar, betul dan nian.  Sila lihat contoh yang berikut:

Penguat hadapan

3a.  Dia cukup sopan.

Penguat Belakang

4a.  Dia sopan benar.

4b.  Dia sopan betul.

4c.  Dia sopan nian.

Pengertian “kesangatan” juga tergambar melalui penggunaan kata adjektif ganda berima, seperti yang berikut:

 

5a.  Suasananya sangat bising.

5b.  Suasananya riuh-rendah.

5c.  Suasananya hangar-bangar.

5d.  Suasananya hiruk-pikuk.

 

6a.  Cahaya bulan sangat gemilang.

6b.  Cahaya bulan gilang-gemilang.

 

7a.  Keadaannya sangat kacau.

7b.  Keadaannya kacau-bilau.

 

8a.  Gua itu sangat gelap.

8b.  Gua itu gelap-gelita.

 

9a.  Lampu di dewan itu sangat terang.

9b.  Lampu di dewan itu terang-benderang.

 

Pengertian “kesangatan” juga tergambar melalui penggunaan frasa adjektif binaan Adjektif + Adjektif, seperti yang berikut:

 

10a.  Suasananya sangat bising.

10b.  Suasananya hingar bingar.

 

11a.  Dia sangat miskin.

11b.  Dia miskin kedana.

11c.  Dia miskin papa.

 

12a.  Gadis itu sangat cantik.

12b.  Gadis itu cantik molek.

 

13a.  Dia sangat riang.

13b.  Dia riang gembira.

 

14a.  Dia sangat gagah.

14b.  Dia gagah berani.

14c.  Dia gagah perkasa.

 

15a.  Dia sangat kurus.

15b.  Dia kurus kering.

 

16a.  Dia sangat letih.

16b.  Dia letih lesu.

 

Pengertian “kesangatan”  juga dapat digambarkan melalui penggunaan frasa keterangan yang menyusuli kata adjektif atau bandingan semacam.  Sila lihat contoh yang berikut:

17a.  Gadis itu sangat cantik.

17b.  Gadis itu cantik seperti bidadari.

 

18a.  Dia sangat kurus.

18b.  Dia kurus seperti lidi.

 

19a.  Dia sangat angkuh.

19b.  Dia angkuh seperti merak.

 

20a.  Dia sangat bijak.

20b.  Dia bijak seperti pendeta.

 

21a.  Peti itu sangat berat.

21b.  Peti itu berat seperti batu.

 

Pengertian “kesangatan” dapat juga digambarkan dengan penggunaan ungkapan tertentu.  Sila lihat contoh yang berikut:

 

22a.  Askar musuh sangat banyak.

22b.  Askar musuh tidak terpermanai banyaknya.

 

23a.  Sangat kecewa dia.

23b.  Bukan kepalang kecewa dia.

 

24a.  Sangat cantik puteri itu.

24b.  Tiada tolok bandingnya cantik puteri itu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.