Oleh Kho Thong Eng
27 November 2024, 10:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sekali imbas, kata nama majmuk terima kasih terbina daripada kata kerja akar terima dan kata nama kasih, dan hal ini mendukung maksud seperti thank you dalam bahasa Inggeris.  Penggunaan terima kasih dalam ayat adalah seperti yang berikut:

1a.  Dia mengucapkan terima kasih.

Terdapat ahli bahasa yang berpendapat bahawa kata nama majmuk terima kasih pada mulanya digunakan dalam hal berjual beli.  Apabila pelanggan menghulurkan wang bayaran untuk barangan yang dibelinya, penjual mengucapkan terima kasih sebagai pengesahan penerimaan bayaran tersebut, iaitu “terima yang dikasih” (bermaksud “diberikan” dalam bahasa percakapan).  Lama-kelamaan, kata terima kasih yang bermaksud “telah menerima wang diberikan” berubah maknanya untuk menyamai erti thank you.  Oleh itu, pada asalnya kata nama majmuk terima kasih terdiri daripada kata kerja akar terima dan kata kerja akar kasih.

Dalam ayat 1a, kata terima kasih merupakan kata nama majmuk kerana dapat menjadi objek kepada kata kerja transitif mengucapkan.  Sila lihat contoh penggunaan lazim bagi terima kasih, seperti yang berikut:

2a.  Dia mengucapkan ribuan terima kasih.

2b.  Dia mengucapkan jutaan terima kasih.

2c.  Dia mengucapkan beribu-ribu terima kasih kepada Tuhan yang telah

menyelamatkan keluarganya.

2d.  Dia mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih.

 

Dalam ayat 2a, kata terima kasih didahului oleh kata bilangan himpunan ribuan sebagai penentu hadapannya.  Terdapat juga pihak yang menggantikan kata ribuan dengan kata jutaan sebagai penegasan (lihat ayat 2b).  Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), kata beribu-ribu juga digunakan dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua dan Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengiringi kata terima kasih (lihat contoh ayat 2c).  Namun demikian, penggunaan kata bilangan sedemikian melibatkan ungkapan yang terhad, dan tidak terbuka kepada semua angka, seperti belasan, berbelas-belas, ratusan, beratus-ratus, berjuta-juta, bilion, berbilion-bilion, trilion dan bertrilion-trilion.  Bagi ayat 2d, penerang setinggi-tinggi mendahului inti frasa nama terima kasih, iaitu susunannya bersifat M-D, iaitu unsur yang menerangkan tentang sesuatu mendahului unsur yang diterangkannya.

Ayat 2b dapat juga dinyatakan dengan variasi struktur yang lain.

 

3a.  Dia mengucapkan terima kasih yang setinggi-tingginya.

3b.  Dia mengucapkan terima kasih setinggi-tingginya.

Dalam ayat 3a, inti frasa nama terima kasih dihuraikan oleh penerang klausa relatif yang setinggi-tingginya, menurut hukum D-M, iaitu unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya.  Dalam ayat 3b, kata setinggi-tingginya merupakan adverba yang menerangkan frasa kerja mengucapkan terima kasih.

 

Ada juga pihak yang menggunakan bentuk yang lain bagi menyatakan terima kasih.  Sila lihat contoh yang berikut:.

4a.  Dia mengucapkan banyak terima kasih.

4b.  Dia mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih.

4c.  Dia banyak mengucapkan terima kasih.

4d.  Dia mengucapkan terima kasih banyak-banyak.

4e.  Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

4f.   Dia mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga banyaknya.

4g.  Dia mengucapkan terima kasih yang sebanyak-banyaknya.

Dalam ayat 4a,, kata banyak merupakan kata bilangan tak tentu yang menjadi penentu hadapan bagi inti frasa nama terima kasih.  Dalam ayat 4b, kata berbanyak-banyak digunakan sebagai kata bilangan himpunan dan penentu hadapan frasa nama.  Dalam ayat 4c dan 4d, kata banyak dan banyak-banyak merupakan adverba yang menghuraikan frasa kerja transitif mengucapkan terima kasih.  Dalam ayat 4e dan 4f, klausa relatif yang tidak terhingga dan yang tidak terhingga banyaknya ialah penerang yang menghuraikan inti frasa nama terima kasih.  Dalam ayat 4g, penerang klausa relatif yang sebanyak-banyaknya bererti “yang banyak sekali”.

 

Kata terima kasih dapat juga ditambah imbuhan.  Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Dia berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan.

5b.  Dia sangat berterima kasih atas bantuan yang telah diberikan.

Dalam ayat 5a, kata terima kasih ditambah awalan beR- dan mendukung maksud “mengucapkan terima kasih”.  Dalam ayat 5b, kata kerja tak transitif berterima kasih didahului kata penguat sangat.

 

Kata terima kasih dapat juga menjadi penerang kepada inti frasa nama.  Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Dia memberikan buah kepada jirannya sebagai tanda terima kasih atas

bantuan yang diberikan.

6b.  Dia menyampaikan ucapan terima kasih kepada para hadirin.

Dalam ayat 6a dan 6b, kata terima kasih menjadi penerang kepada inti frasa nama tanda dan ucapan.

 

Kata berterima kasih dapat juga diiringi kata tertentu.  Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Dia tidak berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

7b.  Dia kurang berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

7c.  Dia memang berterima kasih atas bantuan yang diberikan.

Dalam ayat 7a, 7b dan 7c, kata nafi tidak, kata bandingan kurang dan kata penegas memang mengiringi kata berterima kasih.

 

Ada kalanya kata terima kasih juga dapat didahului oleh penjodoh bilangan.  Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Sekalung terima kasih kita sampaikan kepada tetamu kehormat atas

kesudian beliau untuk hadir dan menyerikan majlis ini.

Dalam ayat 8a, penjodoh bilangan sekalung dikaitkan dengan terima kasih, sama seperti penggunaannya dalam hal sekalung budi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.