Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKata dengan merupakan kata tugas yang dapat mendukung pelbagai fungsi. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
1a. Dia ke pasar dengan ibunya.
1b. Dia dan ibunya ke pasar.
Ayat 1a dan 1b sama ertinya, tetapi struktur ayatnya berbeza. Ayat 1a merupakan ayat tunggal dengan pola Frasa Nama (dia) + Frasa Sendi Nama (ke pasar) + frasa keterangan (dengan ibunya). Dalam hal ini, kata dengan merupakan sendi nama. Ayat 1b pula merupakan ayat majmuk gabungan dengan kata hubung gabungan dan.
2a. Letaknya kampung itu di antara bukit dengan sungai.
2b. *Letaknya kampung itu di antara bukit dan sungai.
Dalam ayat 2a, kata sendi nama dengan digunakan bersama-sama kata sendi nama di dan kata arah antara untuk menjelaskan kedudukan kampung itu. Dalam hal ini, kata sendi nama dengan tidak boleh diganti dengan kata hubung gabungan dan (lihat ayat 2b).
3a. Hubungan antara Ali dengan Abu rapat.
3b. Hubungan antara Ali, Abu dan Ahmad rapat.
Dalam ayat 3a, kata sendi nama dengan dan sendi nama antara menghubungkan Ali dengan Abu. Dalam ayat 3b pula, disebabkan ada tiga pihak yang terlibat, kata hubung gabungan dan dengan kata sendi nama antara digunakan untuk menghubungkan Ali, Abu dan Ahmad.
4a. Baju ini sama cantik dengan baju itu.
4b. Baju ini lebih/kurang cantik daripada baju itu.
Dalam ayat 4a, kata sendi nama dengan digunakan bersama-sama kata bandingan serupa sama untuk menunjukkan perbandingan yang sama cantik. Dalam ayat 4b pula, kata sendi nama daripada digunakan bersama-sama kata bandingan lebih atau kurang untuk menggambarkan perbandingan yang berbeza.
5a. Dia memotong sayur dengan pisau.
5b. Dia mengecat rumahnya dengan bantuan jirannya.
Dalam ayat 5a, frasa dengan pisau ialah frasa keterangan alat yang menyusuli frasa kerja transitif memotong sayur. Dalam hal ini, kata dengan merupakan kata sendi nama. Dalam ayat 5b pula, frasa dengan bantuan jirannya ialah frasa keterangan cara yang menyusuli frasa kerja transitif mengecat rumahnya. Dalam hal ini, kata dengan juga merupakan sendi nama.
6a. Dia benci dengan kekasaran kawannya.
6b. Dia suka dengan warna bilik itu.
7a. Dia membenci kekasaran kawannya.
7b. Dia menyukai warna bilik itu.
Dalam ayat 6a, kata sendi nama dengan digunakan untuk menghubungkan kata adjektif emotif benci dengan frasa nama kekasaran kawannya. Dalam ayat 6b pula, kata sendi nama dengan digunakan untuk menghubungkan kata adjektif emotif suka dengan frasa nama warna bilik itu. Dalam hal ini, rangkaian kata benci dengan dan suka dengan dapat diganti secara paradigmatik dengan kata kerja transitif membenci atau menyukai (lihat ayat 7a dan 7b)
8a. Dia memandu kereta dengan cermatnya.
8b. *Dia memandu kereta dengan kecermatan.
8c. *Dia memandu kereta dengan amat cermatnya.
8d. *Dia memandu kereta dengan amat kecermatan.
9a. Dia memandu dengan berhati-hati.
9b. *Dia memandu dengan berhati-hatinya.
9c. *Dia memandu dengan amat berhati-hatinya.
Bagi sesetengah pihak, frasa kerja transitif dalam ayat 8a memandu kereta dikatakan diikuti frasa keterangan cara. Dalam hal ini, kata sendi nama dengan dikatakan mendahului kata nama cermatnya kerana pembenda -nya telah ditambah pada kata adjektif/adverba cermat. Hal ini bermakna kata cermatnya sama dengan kata nama kecermatan. Namun demikian, ayat 8b bukan ayat sejadi atau ayat yang lazim digunakan dalam bahasa Melayu. Selain itu, jika kata cermatnya sama dengan kata nama kecermatan, kata penguat seperti amat tidak dapat mengiringi kata tersebut (lihat ayat 8c dan 8d). Selain itu, jika kata dengan diikuti oleh kata kerja seperti berhati-hati, kita tidak dapat menambah pembenda -nya padanya dan tidak dapat mengiringinya dengan kata penguat seperti amat (lihat kelompok ayat 9).
10a. Dia memandu kereta dengan cermatnya.
10b. Dia memandu kereta dengan cermat.
10c. Dia memandu kereta dengan amat cermat.
10d. Dia memandu kereta dengan amat cermatnya.
11a. Dia memandu kereta dengan berhati-hatinya.
11b. Dia memandu kereta dengan berhati-hati.
11c. Dia memandu kereta dengan amat berhati-hati.
11d. Dia memandu kereta dengan amat berhati-hatinya.
12a. Dia memandu kereta dengan (amat) cermat.
12b. Dia memandu kereta.
12c. Dia (amat) cermat.
13a. Dia memandu kereta dengan (amat) berhati-hati.
13b. Dia memandu kereta.
13c. Dia (amat) berhati-hati.
Kalau kita membuat analisis yang lain pula, rangkai kata dengan cermatnya boleh kita katakan sebagai terbina daripada kata hubung keterangan gaya dengan + kata adjektif/adverba cermat + kata penekan -nya (lihat ayat 10a). Oleh sebab kata penekan -nya bersifat opsyenal, kata itu boleh kita gugurkan (lihat ayat 10b). Selain itu, kata adjektif/adverba cermat dapat kita iringi dengan kata penguat seperti amat (lihat ayat 10c) dan kata penekan -nya secara opsyenal (lihat ayat 10d). Hal yang serupa juga berlaku jika kata adjektif/adverba cermat diganti dengan kata kerja tak transitif seperti berhati-hati (lihat kelompok ayat 11). Selain itu, kita dapat membuktikan bahawa ayat 12a dan 13a merupakan ayat majmuk keterangan gaya kerana terdapat klausa bebas dan klausa tak bebas yang dihubungkan dengan kata hubung keterangan gaya dengan (lihat kelompok ayat 12 dan 13).
12a. Dia memotong sayur dengan menggunakan pisau.
12b. Dengan memberanikan diri, dia mencabar lawannya.
Dalam ayat 12a, terdapat kata hubung keterangan cara dengan yang berkaitan dengan penggunaan alat pisau. Dalam ayat 12b pula, terdapat kata hubung keterangan cara dengan yang berkaitan dengan cara