Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSebagai manusia, ada kalanya kita cenderung membandingkan orang, benda, haiwan atau perkara di persekitaran kita. Dalam hal ini, perbandingan dapat dinyatakan secara langsung atau secara tidak langsung dengan menggunakan peribahasa.
Dalam peribahasa, perbandingan kita nyatakan dengan menggunakan kata seperti “bagai”, “sebagai”, “seperti”, “umpama”, “seumpama”, “macam”, “bak”, “laksana”. Dengan penggunaan peribahasa, perbandingan dapat dinyatakan secara lebih berseni dan menarik.
Terdapat banyak peribahasa perbandingan yang menyentuh pelbagai sifat manusia. Sila lihat contoh yang berikut:
Sifat | Peribahasa |
tenang | seperti air dalam kolam (terenang) |
sukar diajar | bagai air titik ke batu
bagai air di daun keladi bagai mencurahkan air ke daun keladi |
enggan bekerja | bagai minum air bercacing
bagai kambing diseret ke air bagai kambing dimandikan pagi |
kikir | umpama air digenggam tak tiris |
tidak mengenang budi | bagai guna-guna, alu sesudah menumbuk dicampakkan |
tamak | seperti anjing merebut tulang
bagai Belanda minta tanah seperti anjing menggonggong tulang |
tidak tetap pendirian | bagai pimping di lereng
bagai pancang digoncang arus seperti panji-panji, ditiup angin berkibar-kibaran seperti pucuk eru, ke mana angin yang keras ke sana condongnya |
selalu berbantah | seperti anjing dengan kucing |
sombong | bagai buntal kembung
seperti seludang menolak mayang |
tidak bermuafakat | bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing |
menunjuk-nunjuk | seperti durian menunjukkan pangsa |
takut bergaul | seperti kera sumbang |
menurut semuanya | bagai jawi ditarik keluan
bagai kerbau dicucuk hidung bagai pancang digoncang arus |
tidak berasa kenyang | bagai lukah tak penuh oleh air |
tidak jujur | seperti sakhlat bermuka dua |
selalu cemburu | bagai sumur (di) tepi rawa |
Terdapat juga peribahasa perbandingan yang menunjukkan sesuatu keadaan. Sila lihat contoh yang berikut:
Keadaan | Peribahasa |
tidak adil | bak ajung berat sebelah
bagai membelah betung bagai membelah betung bagai limau masak sebelah bagai perahu karam sekerat |
gembira | seperti anjing berjumpa pasir |
tidak tetap | seperti abu di atas tunggul
seperti embun di hujung rumput |
miskin | seperti ayam, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang
bagai geluk tinggal di air seperti pelita kehabisan minyak bagai rumput di tengah jalan, mati segan hidup tidak mahu seperti sampan hanyut |
sangat gelisah | seperti kera kena belacan
seperti orang kecabaian seperti cacing kepanasan laksana kodok ditimpa kemarau bagai tidur di atas miang |
kusut-masai | bagai benang dilanda ayam |
sangat berbeza | bagai bumi dengan langit
seperti sayur dengan rumput |
dalam kesusahan | seperti orang buta kehilangan tongkat |
cocok sekali | laksana cembul dengan tutupnya
bagai pinang dibelah dua bagai cincin dengan permata bagai tanduk bersendi gading sebagai garam dengan asam bagai lepat dengan daun laksana terung bertunang ikan kering |
lemah | bagai anak dara mabuk andam |
selalu berubah | seperti air di atas daun |
lemah dengan kuat | seperti kambing dengan harimau
seperti mentimun dengan durian |
cepat bergerak | seperti lipas kudung |
sangat bising | bagai bunyi perempuan di air |
sangat banyak | seperti batu di pulau |
sangat gemuk | bagai seruk dihentak |
banyak berhutang | bagai udang tahi di kepala |
buruk rupa | bagai rupa tokak dibasuh |
cantik | seperti emas baru disepuh |
Sesetengah peribahasa perbandingan berkaitan dengan hubungan sesama manusia. Sila lihat contoh yang berikut:
Hubungan | Peribahasa |
rapat | bagai beliung dengan asahan
bagai isi dengan kuku bagai dakwat dengan kertas bagai hempedu lekat di hati bagai inai dengan kuku |
sangat sayang | seperti labah-labah cinta kepada telurnya
bagai menjaga permata intan semasa dicanai |
sangat dimanjakan | seperti ayam sabungan |
sangat mesra | seperti gerup dengan sisir |
Ada juga peribahasa perbandingan yang menyentuh tentang perbuatan manusia. Sila lihat contoh yang berikut:
Perbuatan | Peribahasa |
balik ke tempat asal | seperti belut pulang ke lumpur
ikan pulang ke lubuk setinggi-tinggi terbang bangau, hinggap di belakang kerbau juga |
menjerit kuat-kuat | bagai bunyi orang dikoyak/dicabik harimau |
berhati-hati atau adil | bagai menghela rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan terserak |
ditimbangkan atau dirundingkan sesuatu kerja sebelum dilakukan | bagai jawi makan, dimamah baru ditelan |
Peribahasa perbandingan mengaitkan sesuatu mesej dengan orang, haiwan, benda atau perkara yang dianalogikan. Hal ini menggambarkan pandangan dunia dan kebijaksanaan masyarakat pada masa dahulu.