Oleh Kho Thong Eng
27 Disember 2024, 16:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sisipan ialah imbuhan yang diselitkan di tengah-tengah kata dasar. Dalam bahasa Melayu, terdapat empat sisipan, iaitu el-, -er-, – em- dan -in-. Sisipan dapat ditambah pada kata nama, kata kerja atau kata adjektif untuk menghasilkan kata terbitan dengan makna yang sama, berkaitan atau berbeza daripada kata dasar.

Sisipan yang menghasilkan kata nama: -el-, -er- dan -em-

  • Kekal sebagai kata nama
  • -el-
  • tapak              – telapak                   sama erti
  • kangkang      – kelangkang             sama erti
  • -er-
  • gigi                  – gerigi                        makna berkaitan
  • kuping            – keruping                    sama atau berkaitan makna
  • Menjadikan kata kerja sebagai kata nama
  • -el-
  • tunjuk             – telunjuk                   makna berkaitan
  • gembung       – gelembung             makna berkaitan
  • -em-
  • kuncup          – kemuncup               makna berbeza
  • Menjadikan kata adjektif sebagai kata nama
  • -em-
  • kuning           – kemuning                makna berbeza

Sisipan yang menghasilkan kata kerja: -el-, -er-, -em-

  • Kekal sebagai kata kerja
  • -el-
  • menggigit      – menggeligit            makna berkaitan
  • tergenang      – tergelenang             sama erti
  • menggogok   – menggelogok         sama erti
  • -er-
  • cengkam        – cengkeram              sama erti
  • Menjadikan kata adjektif sebagai kata kerja
  • -er-
  • serak              – selerak                   makna berkaitan

Sisipan yang menghasilkan kata adjektif: -er-, -em-, -in-

  • Kekal sebagai kata adjektif
  • -er-
  • ketot                – keretot                     sama erti
  • cengkung        – cengkerung              sama erti
  • -em-
  • ketot                         – kemetot                     sama erti
  • comot                       – cemomot                   sama erti
  • congkah-cangkih     – cemongkah-cemangkih   sama erti
  • Menjadikan kata nama sebagai kata adjektif
  • -em-
  • guruh             – gemuruh                 makna berkaitan
  • gerlap             – gemerlap                 makna berkaitan
  • Menjadikan kata kerja sebagai kata adjektif
  • -er-
  • serbak            – semerbak                makna berkaitan
  • -in-
  • sambung       – sinambung             makna berkaitan

Sisipan -em- juga terdapat dalam kata ganda berima bersisipan seperti yang berikut:

Kata nama

tali-temali, jari-jemari, gunung-gemunung

Kata adjektif

gilang-gemilang, gilap-gemilap

Kata kerja

turun-temurun, gulung-gemulung

Sisipan juga dapat menjadikan morfem terikat sebagai unsur kata ganda berima.  Bagi kata ganda berima pengulangan konsonan “geli-geleman”, kata “geli” ialah kata dasar, manakala bentuk gandaan “geleman” ialah morfem terikat yang ditambah sisipan -el-.  Bagi kata ganda “gilang-gemilang” pula, kata “gemilang” merupakan kata dasar, manakala bentuk “gilang” ialah morfem terikat.

Selain itu, sisipan dapat menghasilkan variasi kata ganda berima.  Contohnya ialah kata ganda berima bebas “geli-geman” yang bervariasi dengan kata ganda berima pengulangan konsonan “geli-geleman”.  Dalam hal ini, kata “geman” ditambah sisipan -el-.  Contoh lain ialah kata ganda berima bebas “guling-gantang” bervariasi dengan kata ganda berima pengulangan konsonan “guling-gelantang”.  Dalam hal ini juga, kata “gantang” ditambah sisipan -el-.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.