Diterbitkan pada 6 Januari 2025, 10:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada zaman globalisasi kini, pelbagai ilmu dan budaya mencurah-curah masuk ke negara kita.  Hal ini menuntut kita agar mencari padanan kata atau istilah untuk menyatakan unsur asing tersebut. Unsur asing dapat kita nyatakan dengan meminjam kata asing yang berkenaan dengan atau tanpa penyesuaian ejaan dan sebutan.  Cuba lihat contoh yang berikut:

Tanpa Perubahan Ejaan dan Sebutan

Kata BI Kata BM
import import
hot dog hot dog
kung fu kung fu
stereo stereo

Dengan Perubahan Sebutan

Kata BI Kata BM
audit audit
standard standard
hilum hilum
bonus bonus

Dengan Perubahan Ejaan

Kata BI Kata BM
kinetic kinetik
cosmic kosmik
politic politik
drastic drastik

Dengan Perubahan Ejaan dan Sebutan

Kata BI Kata BM
oxygen oksigen
structure struktur
bumper bampar
voucher baucar

Ada kata asing yang hanya dipinjam dari segi bentuk jamaknya.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM
Mufrad Jamak
bacterium bacteria bakteria
phenomenum phenomena fenomena

Ada kata asing yang hanya ada satu bentuk tetapi dipinjam sebagai dua bentuk dengan konsep yang berbeza.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM
agent ejen, agen
scheme skim, skema
charge caj, cas

Ada juga unsur asing yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.  Dalam hal ini, ada kalanya susunan kata mengikut hukum D-M (unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya) dan ada kalanya tidak.

Mengikut Hukum D-M

Kata BI Kata BM
film premiere tayangan perdana
guided missile peluru berpandu
right angle sudut tepat

Tidak mengikut Hukum D-M

Kata BI Kata BM
prime minister perdana menteri
headquarters ibu pejabat
vice-principal naib pengetua

Ada kata tunggal dalam bahasa Inggeris yang diterjemahkan sebagai akronim dalam bahasa Melayu.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM
bulldozer jentolak (jentera + tolak)
average purata (pukul rata)
brand jenama (jenis + nama)
erode hakis (habis + kikis)

Satu hal yang menarik ialah adanya akronim asing yang juga diterjemahkan sebagai akronim dalam bahasa Melayu.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM
smog (smoke + fog) asbut (asap + kabut)

Ada kalanya satu kata dalam bahasa Inggeris mungkin mempunyai dua terjemahan dalam bahasa Melayu.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Tunggal BI Kata Majmuk BI Kata BM
disposable disposable napkins lampin pakai buang
  disposable income pendapatan boleh guna
Kata BI Kata BM Maksud
flying fox

 

keluang haiwan
luncur keluang

(+ luncur – bergerak laju)

sukan ekstrem

 

Satu lagi cara penterjemahan ialah pemberian makna baharu kepada kata bahasa Melayu yang sedia ada.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata BI Kata BM
friction geseran
resistance rintangan
soluble larut

Selain peminjaman dan penterjemahan, unsur asing dapat dipadankan dengan kata bahasa Melayu melalui perekaciptaan.  Hal ini melibatkan beberapa proses yang berasingan.

Satu daripada cara untuk mencipta istilah adalah melalui penggunaan penggandaan separa.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Tunggal BM Kata Ganda Separa BM Kata BI
jari jejari radius
sekat sesekat valve
rambut rerambut capillary
cair cecair liquid

Istilah baharu turut diperoleh dengan cara yang berikut:

  1. Proses metatesis, iaitu susunan huruf sesuatu kata umum diubah untuk menjadikannya sebagai istilah. Contohnya ialah kata “gelap” diubah untuk menjadi “legap” (opaque).
  2. Penambahan unsur baharu. Contohnya ialah kata “biji” (seed) ditambah dengan bentuk -rin untuk menjadi “bijirin” (cereal)
  3. Perubahan ejaan pada kata umum untuk menjadi istilah baharu.  Contohnya ialah kata “salur” (channel) diubah kepada “salir” (draining), kata “hakis” (erode) diubah kepada “kakis” (corrode) dan kata “serap” (absorb) ditukar kepada “jerap” (adsorb).
  4. Penggunaan dialek. Contohnya ialah kata “jerayawara” (roadshow) yang ada kata dialek Sarawak “jeraya”.
  5. Penciptaan kata baharu yang tidak pernah wujud dalam bahasa Melayu untuk mendukung konsep baharu. Contohnya ialah kata “umpuk” (allot) dan kata “antaman” (subsidence).
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi