Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBelerang merah merupakan satu sebatian yang dikatakan terhasil menerusi tindak balas kimia yang menggabungkan antara unsur belerang dan merkuri. Dalam industri, sebatian ini mempunyai kegunaan yang banyak dari sudut komersial misalnya sebagai agen penaik memandangkan sebatian ini memiliki sifat amfoterik sebagai bahan mentah untuk foto, iaitu belerang merah boleh dimanfaatkan sebagai hablur, sebagai baja semula jadi, sebagai pewarna cecair berwarna merah dan untuk tujuan pembuatan kosmetik termasuklah syampu, losyen, alat solek dan produk penjagaan diri seperti sabun dan lilin.
Dalam bidang perubatan, belerang merah digunakan dalam rawatan pemulihan pergigian dan implan ortopedik, manakala dalam industri perusahaan, penggunaannya dimanfaatkan dalam teknologi yang melibatkan sesentuh elektrik, gear transmisi automotif, galas tanpa minyak dan penapis suhu tinggi.
Dalam bidang rawatan kesihatan, sapuan belerang pada kulit dikatakan dapat mengurangkan masalah jerawat, resdung, kemerahan kulit, kelemumur, tompokan kulit bersisik dan jangkitan kulit yang menjadi gatal disebabkan oleh hama (kudis), kutu, kudis, kutil atau terkena daun beracun.
Dalam bidang falsafah, belerang merah adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan gabungan dua unsur yang mewakili dua sisi realiti. Kedinamikan belerang merah menjadi metafora yang sepadan bagi sifat yang kreatif dan cerdas sebagaimana ciri-ciri yang ditunjukkan oleh belerang merah yang aktif apabila dinyalakan dan tepat ketika membakar seiring dengan pengalaman pada saat hal tersebut sedang berlaku. Justeru kedinamikan dimensi kreatif yang tercetus dalam belerang merah ini seolah-olah melambangkan manifestasi kedinamikan dimensi kreatif yang muncul dalam kesedaran diri yang meliputi sisi sifat sebenar dan kualiti yang sejati yang ada dalam diri.
Belerang merah yang lahir daripada “perkahwinan” belerang dan merkuri dari pandangan ahli falsafah menurunkan sifat gabungan maskulin yang dimiliki oleh belerang dan feminin yang dimiliki oleh merkuri. Sifat maskulin merujuk tabiatnya yang aktif, berapi-api dan mudah terbakar, manakala sifat feminin merujuk kelakuannya yang mudah mengalir, menerima dan berubah-ubah. Oleh itu, “perkahwinan” ini mewujudkan dinamisme yang luar biasa apabila diterjemahkan kepada sifat dan kualiti yang sejati yang ada dalam diri manusia. Hal ini termasuklah kecemerlangan, kesucian, kekuatan, belas kasihan, kedamaian, cahaya, kehadiran, kegembiraan, dan permulaan kepada usaha mencari kebenaran.
Pada sisi ahli psikologi khususnya dalam kalangan pengamal teori Jung yang cenderung terhadap penelitian personaliti dan kesedaran individu, belerang merah dilihat sebagai simbolik yang mewakili potensi yang berkembang dalam jiwa manusia dan perjalanan jiwa ke arah kesedaran diri. Belerang merah yang tercetus daripada gabungan proses dan pengetahuan kimia (alkimia) dikiaskan sebagai perlambangan yang mendalam terhadap transformasi psikologi dan individulisasi.
Alkimia itu sendiri dalam konteks psikologi sebagaimana menurut Carl Gustav Jung (1875 – 1961) dalam karyanya yang bertajuk Psychology and Alchemy yang merupakan Jilid ke-12 bagi siri buku beliau yang berjudul Collected Works of C. G. Jung yang diterbitkan buat kali pertama pada tahun 1968 oleh Princeton University Press adalah merujuk satu simbol purba yang memberikan gambaran tentang isu kontemporari identiti dan pemahaman diri. Dengan menganalisis teks dan imejan dalam proses dan pengetahuan tersebut, Jung berusaha untuk meneroka perkaitan antara amalan dalam proses dan pengetahuan berkenaan dengan hubungan serta pandangannya dalam bidang psikologi moden yang kemudiannya dapat dirumuskan seperti yang berikut;
Kepercayaan Jung terhadap dimensi rohani tentang pencarian terhadap makna diri dan alam semesta jelas membuktikan bahawa manusia pada hakikatnya memiliki fitrah atau sifat semula jadi yang tidak dapat lari daripada keinginan untuk mengenal penciptanya, iaitu Tuhan Yang Maha Esa. Maka itu, tidak hairanlah apabila belerang merah mempunyai pengertiannya yang tersendiri dan unik dalam kalangan mereka yang mendalami bidang tasawuf atau mereka yang berkecimpung dalam jalan kesufian.