Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIstilah belerang merah menjadi popular apabila karya Claude de Addas tentang biografi tokoh besar sufi Andalusia yang terkenal dengan panggilan Ibn Arabi (1165 – 1240) diperkenalkan kepada umum pada tahun 1989. Dengan memakai tajuk Quest for the Red Sulphur, Addas meneliti keseluruhan tulisan tokoh besar sufi itu sama ada dalam bahasa Arab mahupun Parsi, seterusnya merungkai perjalanan yang dilalui oleh Ibn Arabi dari Andalusia ke Damsyik dalam usahanya mematangkan pemikiran dan mengembangkan daya keintelektualan tentang ketuhanan dan kehidupan yang abadi. Dasar yang menjadi titik tolak kepada Addas untuk menggunakan istilah belerang merah itu adalah disebabkan pengaruh yang datang daripada ucapan Ibn Arabi itu sendiri ketika beliau memberikan komentar tentang kehidupan tokoh besar Andalusia sebelumnya, iaitu Ibn Rushd (1126 – 1198) sebagaimana menurut tulisan Yusuf Ali Syafruddin dalam Liga Peradaban pada 6 Julai 2022 menerusi artikelnya yang bertajuk “Mencari Belerang Merah”.
Selanjutnya yang menjadi pertanyaan ialah apakah yang dimaksudkan dengan belerang merah dalam tradisi kesufian? Jawapannya adalah dalam tradisi sufi, belerang merah mempunyai makna simbolik yang mendalam, iaitu merujuk konsep rohani yang sukar difahami atau dimengerti tetapi sangat berharga dan tidak ternilai. Hal ini menjadi lambang kepada tahap kesempurnaan spiritual yang sangat jarang dicapai, seolah-olah menjadi sesuatu yang hampir mustahil untuk diperoleh.
Dengan kata lain, belerang merah menjadi lambang kepada seseorang yang telah mencapai tingkat pencerahan atau maqam yang tinggi dan sangat hampir dengan Tuhan. Mereka yang sampai ke tahap ini dianggap sebagai insan luar biasa yang menyinari dunia dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, akhlak terpuji dan keikhlasan yang sejati sehingga mampu memberikan kesan rohani yang mendalam kepada orang lain di sekelilingnya.
Sama seperti ahli falsafah yang melihat belerang merah sebagai metafora terhadap dimensi kreatif yang berada dalam diri manusia dan ahli psikologi yang melihat sebatian tersebut seolah-olah seperti potensi yang berkembang, belerang merah di sisi ahli sufi disimbolkan sebagai kekuatan transformatif luar biasa yang berlaku dalam diri manusia. Seumpama belerang yang memiliki sifat mudah terbakar dan dapat menghasilkan perubahan kimia yang kuat, seseorang yang telah mencapai tahap belerang merah memiliki keupayaan untuk menghasilkan anjakan dalam kehidupan khususnya dalam membimbing manusia ke arah kebenaran dan kecintaan terhadap Tuhan Yang Maha Esa.
Keupayaan membimbing dan memberikan pencerahan kepada manusia yang lain merupakan ciri yang pada hakikatnya dimiliki oleh seorang guru yang bergelar mursyid. Namun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Ghazali (1057 – 1111) dalam karangannya yang berjudul “Ayyuhal Walad”, kewujudan guru yang mempunyai ciri ini sangat jarang berlaku dan hal ini lebih sukar ditemukan berbanding dengan belerang merah yang merujuk satu perumpamaan bagi sesuatu yang sangat langka.
Mursyid sebagaimana pengertian yang diberikan oleh Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disiarkan di laman web rasminya Maktabah Al-Bakri pada 4 Februari 2024 bermaksud seseorang yang pakar dalam memberi tunjuk ajar terutamanya dalam bidang kerohanian dengan bertanggungjawab memimpin dan membimbing perjalanan rohani murid untuk sampai kepada Allah S.W.T menerusi proses pentarbiyahan yang teratur. Namun begitu, tugas guru yang bergelar mursyid yang sebenar bukan hanya tertumpu pada hal ehwal yang berkisar tentang rohani semata-mata, tetapi juga perlu memiliki pengetahuan yang mendalam tentang selok-belok syariat dan penampilan akhlak yang terpuji seperti mana yang disebut oleh Syeikh ‘Abd Al-Qadir Al-Jilani (1078 – 1166) dalam kitabnya Siyar Al-Masa‘i yang dipetik di laman web Maktabah Al-Bakri pada 4 Februari 2024.
Maka tidak hairanlah apabila Imam Al-Ghazali menyatakan sedemikian kerana seperti belerang merah yang hampir mustahil dapat ditemukan melainkan setelah dicampurkan dengan dua unsur yang berlainan seperti yang dinyatakan di atas, begitu jugalah dengan guru yang diistilahkan sebagai mursyid yang hanya dapat dicapai oleh segelintir manusia pilihan seperti para nabi, wali, atau orang-orang sufi yang benar-benar ikhlas yang bukan sahaja memahami ilmu zahir yakni ilmu syariat, tetapi juga ilmu batin yakni hakikat dan makrifat yang membolehkan mereka mendekati Tuhan dengan seluruh jiwa dan raga.
Kesimpulannya, belerang merah samada dari sudut saintifik mahupun mistik secara istilahnya bukan sahaja melambangkan kedinamikan dari aspek aktif dan kreatif tetapi juga menjadi simbol terhadap kesempurnaan jiwa yang mampu melahirkan personaliti yang dipercayai dan berwibawa.