Diterbitkan pada 13 Mac 2025, 16:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sifat manusia boleh dihuraikan secara langsung atau secara tidak langsung dengan menggunakan simpulan bahasa.  Dengan itu, gambarannya menjadi lebih halus dan menarik. Terdapat simpulan bahasa tentang sifat manusia yang berkaitan dengan manusia tertentu termasuklah watak dalam cerita rakyat.

Cuba lihat contoh yang berikut:

  1. Mat Jenin – orang yang suka berangan-angan
  2. Pak Pandir – orang yang bodoh
  3. Lebai Malang – orang yang selalu malang
  4. pak turut – orang yang tidak mempunyai pendirian sendiri
  5. pak sanggup – a) orang yang menyanggupi sebarang kerja yang diberikan                          b)  orang yang mengahwini perempuan yang hamil
  6. pak pacak – orang yang tidak penting peranannya dalam sesuatu peristiwa
  7. bangkai bernyawa/mayat hidup – a) orang yang terlibat dalam penagihan dadah sehingga kurus kering, tidak bermaya dan mendatangkan masalah kepada keluarga, masyarakat, dan sebagainya. b) seseorang yang tidak dipedulikan dan dipandang hina oleh keluarga
  8. puteri lilin – orang yang tidak tahan panas
  9. raja agas – orang yang berbadan kecil tetapi berani
  10. raja bola – pemain bola yang handal
  11. raja wang – orang yang sangat kaya
  12. raja cacing – orang yang sangat kurus
  13. raja sehari – pengantin

 

Terdapat simpulan bahasa tentang manusia yang berkaitan dengan anggota badan.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. telinga nipis/tipis – orang yang lekas marah
  2. telinga kuali – orang yang tahan hati walaupun dimarah atau dikata
  3. kaki bangkang – orang yang sering menentang atau tidak bersetuju dengan pandangan, pendapat orang lain
  4. kaki perempuan, kaki botol/tunggang/arak, kaki buli, kaki gaduh, kaki (meng)umpat, kaki tengkar, kaki judi – orang dengan tabiat negatif tertentu
  5. kaki pancing – orang yang suka dan biasanya pandai memancing
  6. kepala angin – (orang yang) mudah berubah perangainya
  7. tangkai hati – kekasih

 

Terdapat pula simpulan bahasa tentang manusia yang berkaitan dengan haiwan ternakan atau haiwan liar, serangga dan sebagainya.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. lembu kasi – orang yang berani dengan musuh kalau berjauhan
  2. lembu dogol – orang yang mengugut tetapi tidak melakukan apa-apa
  3. kambing hitam – orang yang dipersalahkan
  4. kera sumbang – orang yang takut atau tidak gemar bergaul
  5. ayam tambatan – orang yang dianggap sangat hebat dan sangat diharapkan dapat membawa kemenangan dalam sesuatu perlawanan, seperti bola sepak dan sebagainya
  6. bapa ayam – bapa yang tidak mempedulikan anaknya
  7. anjing kurap – orang yang dipandang hina kerana dia miskin
  8. harimau tanpa gigi – orang yang telah tiada kuasa lagi
  9. harimau berantai – orang yang paling handal atau digeruni dalam sesuatu pasukan atau kumpulan
  10. lintah darat – orang yang meminjamkan wang dengan mengenakan bunga yang sangat tinggi
  11. kutu embun – orang yang suka merayau-rayau dengan tidak menentu pada waktu malam
  12. ulat buku – orang yang rajin membaca buku
  13. kutu rayau/jalan – orang yang suka merayau-rayau tanpa tujuan

 

Terdapat simpulan bahasa tentang manusia yang berkaitan dengan benda tertentu.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. tali barut – orang yang menjadi umpama orang lain, barua
  2. tin kosong – orang yang banyak bercakap tetapi tidak berilmu
  3. batu api – penghasut
  4. pisau cukur – perempuan yang suka menghabiskan wang atau harta lelaki
  5. tahi arak, tahi candu, tahi rokok, tahi judi – orang yang ketagih akan sesuatu kerana sudah biasa

 

Terdapat juga simpulan bahasa tentang manusia yang berkaitan dengan tumbuhan tertentu.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. bunga dedap – orang yang rupanya cantik tetapi tidak berbudi bahasa
  2. tangkai jering/kering – orang yang kedekut

 

Jika diperhatikan, kebanyakan simpulan bahasa di atas berkaitan dengan sifat manusia yang negatif.  Walaupun begitu, ada juga simpulan bahasa yang berkaitan dengan sifat manusia yang neutral atau positif.  Sila lihat contoh yang berikut:

  1. ayam tambatan – orang yang dianggap sangat hebat dan sangat diharapkan dapat membawa kemenangan dalam sesuatu perlawanan, seperti bola sepak, dan sebagainya
  2. harimau berantai – orang yang paling handal atau digeruni dalam sesuatu pasukan atau kumpulan
  3. ulat buku – orang yang rajin membaca buku
  4. bintang hati, mata air, emas juita, puspa hati, buah hati, tangkai hati – kekasih
  5. bunga bangsa – pemuda harapan bangsa
  6. raja agas – orang yang berbadan kecil tetapi berani
  7. raja bola – pemain bola yang handal
  8. raja sehari – pengantin
  9. raja wang – orang yang sangat kaya
  10. telinga kuali – orang yang tahan hati walaupun dimarahi atau dikatai oleh orang lain
  11. kaki pancing – orang yang suka dan biasanya pandai memancing
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi